Isnin, 9 Mac 2015

Kalam Murabbi

Dr Umar Abdul Aziz Quraisyi dalam kitabnya Tha'un Al-Asr; Al-Furqah Bainal Muslimin Wa ilajuha Fil Kitab Al-Mubin menyatakan tentang sebab pertelingkahan ummah:

"Apabila kita meneliti sejarah, didapati bahawa kebanyakan perpecahan berlaku disebabkan perselisihan dalam perkara politik dan perebutan untuk menjadi pimpinan. Hal ini menjadikan sesetengah umat islam cinta kepada dunia lalu hilanglah kemuliaan dan kekuatan mereka. Keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka mudah ditewaskan sebagaimana hilangnya kekuatan Andalus dan yang seumpama dengannya suatu ketika dahulu.

Adapun cara merawati pertelingkahan ini ialah melalui:

» Mesti canggah syaitan
» Kenal siapa rakan kongsi syaitan
» Tahu jalan petunjuk Allah
» Mendahulukan serta menjaga Agama
» Capai jalinan ukhuwwah mantap
» Iltizam dengan adab ketika khilaf
» miliki ilmu yang bermanfaat beserta kefahaman yang menyeluruh
» Memperbetulkan kefahaman salah
» Ikhlas dan elak daripada ikut hawa nafsu".

Pertelingkahan ini ibarat penyakit taun, ia akan merebak dan mengena sesiapa sahaja yang tidak
menyediakan pertahanan serta pencegahan. Sebagaimana taun boleh menyebabkan kematian maka furqah atau perpecahan yang terhasil dari pertelingkahan ini juga akan menyebabkan kematian hati. Furqah pasti akan menyebabkan kegagalan serta hilang kekuatan. Maka dengan demikian, segala anasir yang membawa kepada furqah mesti dijauhi.

I'tishom atau penyatuan adalah dasar kekuatan dan mana-mana anasir yang meruntuhkan i'tishom mesti dilenyapkan. Jika musuh yang melakukan furqah kepada gerakan islam maka itu adalah perkara sunnah perjuangan yang sudah dilalui oleh pejuang sejak dahulu. Namun jika anggota gerakan islam sendiri yang terlibat dengan agenda furqah, ianya suatu malapetaka dalam gerakan islam. Golongan yang memulakan pertelingkahan ini mesti kembali ke pangkal jalan atau mereka akan menghadapi suatu hukuman Tuhan terhadap kesalahan membebankan perjalanan gerakan islam.

Asri ed-Diwanie
17 Jamadil Awwal 1436

Tiada ulasan:

Catat Ulasan