Memaparkan catatan dengan label Alam Barzakh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alam Barzakh. Papar semua catatan

Rabu, 10 September 2014

Alam Barzakh - Bhg 2




1.    Soalan :

Apabila kita menziarahi kubur, adakah mereka yang berada di dalam kubur itu menyedari siapa yang datang? Dan adakah kita membaca al-Fatihah kepadanya, adakah dia menerima al-Fatihah itu?

Jawapan :

Seperti hadith-hadith yang diriwayatkan di atas, jelas bahawa mereka yang berada di Alam Barzakh itu mengetahui siapakah dikalangan mereka yang berada di Alam Dunia yang menziarahi mereka dan berdoa untuk mereka.

Dalam riwayat yang lain  daripada al-Baihaqi bahawa Rasulullah SAW bersabda : 

اذا مر الرجل بقبر يعرفه فسلم عليه رد عليه السلام وعرفه،
واذا مر بقبر لا يعرفه فسلم عليه رد عليه السلام.

Ertinya : Apabila seseorang melalui sebuah kubur yang dikenali (penghuninya) lalu ia memberi salam kepadanya, maka orang itu akan menjawab salamnya dan dia kenal kepadanya, dan apabila seseorang itu melalui sebuah kubur yang tidak dikenalinya lalu ia memberi salam kepadanya, maka orang itu juga akan menjawab salamnya”.

Dalam persoalan adakah sampai dan diterima bacaan al-fatihah atau bacaan-bacaan lain, doa dan ibadah yang dibuat oleh orang hidup dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati, maka para ulamak berbeza pandangan.

Menurut sebahagian ulamak mazhab syafie, pahala bacaan al-Quran sampai kepada si mati jika dibacakan untuk dihadiahkan dan diniatkan pahalanya kepada si mati.

Dr. Wahbah al-Zuhaili juga ada menyatakan bahawa para ulamak memutuskan secara ijmak bahawa si mati akan mendapat manfaat daripada doa dan istighfar yang dibacakan untuknya.

Allah SWT berfirman  maksudnya :

“Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan ) berkata : Wahai Tuhan kami ampunkahlah dosa kami  dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami di dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu. (Surah al-Hasyr : 10)
 
Allah SWT berfirman maksudnya :

“Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah dan mohonlah pengampunan bagi dosamu dan bagi dosa orang-orang mukmin lelaki dan perempuan dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu”.(Surah Muhammad :19) 
 
Dalam sebuah hadith Nabi SAW bersabda :

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولدٍ صالح يدعو له
Ertinya : apabila matinya anak adam terputuslah segala amalannya melainkan 3 perkara : 1) sedekah jariah (wakaf, derma dan seumpamanya), 2) ilmu yang dimanfaatkan, 3) anak yang soleh yang mendoakannya.
Justeru, anak-anak yang soleh yang membuat wakaf, yang berdoa, yang membuat kebaikan dan pahalanya dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya, maka semua itu akan diterima sebagai pemberat amal timbangan mereka insyaallah.

Nabi Saw bersabda :

استغفروا لأخيكم  وسلوا له التثبيت فإنه الآن يسأل
Ertinya : Mohonlah kamu keampunan dosa bagi saudara-saudaramu (yang telah meninggal dunia), dan mintalah dari Allah akan keteguhan bagi si mati untuk menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir, kerana pada waktu ini dia sedang disoal.

Maka, perbanyakkanlah berdoa untuk si mati, kerana doa itu juga akan member pertolongan untuk meringankan azab yang sedang dihadapi.

2.    Soalan :

Bagaimana pula dengan bunga dan air mawar yang kita siram di atas kubur? Apa yang dirasai oleh mereka di dalam kubur?

Jawapan :

Dalam riwayat daripada Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW telah merenjis-renjis air ke atas kubur Ibrahim anak Baginda. Maka perbuatan merenjis atau membasahi tanah kubur dengan menyiram air ke atasnya adalah sunat.

Perbuatan menyiram air di atas kubur ini dilakukan dengan harapan semoga tempat persemadian jenazah berkenaan, berada di dalam keadaan sejuk dan dicucuri rahmat . disamping itu, penyiraman juga bertujuan untuk mengelakkan tanah daripada berselerak.

Air yang digunakan untuk menyiram kubur pula ialah air biasa. Makruh menggunakan air yang diperolehi melalui pembelian seperti air mawar kerana itu satu pembaziran. Walaubagaimanapun Imam al-Subki berpendirian bahawa tidak mengapa menggunakan air mawar yang sedikit jika diharapkan semoga dengan keharuman air mawar itu akan membawa kehadiran malaikat ke kubur berkenaan ini kerana malaikat gemar kepada bau-bau harum. (Muhammad al-Syarbini al-Khatib, Juz.1 hlm.364)

Malah disunatkan juga meletakkan pelepah kurma atau dahan pokok yang masih hijau dan segar di atas kubur. Tindakan ini diharapkan semoga keberkatan tasbih dari dahan tersebut dapat meringankan penderitaan roh pemilik kubur berkenaan. Sebagai ganti pelepah kurma, bolehlah ditaburkan bunga yang masih segar ke atas kubur. Malah menurut sebahagian ulamak hukumnya adalah haram mengalihkan dahan yang masih basah dari kubur berkenaan sebelum dahan itu kering kerana pemiliknya mengharapkan manfaat daripada dahan yang basah itu iaitu pengampunan Allah untuk roh si mati.

Kesimpulannya, perbuatan menyiram air mawar dan menaburkan bunga ke atas kubur ada sandarana dan asasnya dengan pengharapan ianya memberi keberkatan dan rahmat kepada si mati.

3.    Soalan :

Apakah perkara dan perbuatan yang terbaik yang kita boleh lakukan untuk mereka yang telah meninggal dunia? Misalnya kita bersedekah, niat pahala diberikan kepada mereka?

Jawapan :

Nabi SAW bersabda :

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولدٍ صالح يدعو له
Ertinya : apabila matinya anak adam terputuslah segala amalannya melainkan 3 perkara : 1) sedekah jariah (wakaf, derma dan seumpamanya), 2) ilmu yang dimanfaatkan, 3) anak yang soleh yang mendoakannya.
Bersandarkan kepada hadith ini, maka antara perkara yang terbaik boleh kita lakukan untuk mereka yang telah meninggal dunia ialah :

1)   Mewakafkan harta dengan diniatkan pahalanya kepada si mati. Harta yang diwakafkan untuk jalan Allah, maka si mati akan terus menerus mendapatkan pahala darinya selagi perkara tersebut dimanfaatkan oleh orang yang masih hidup. Contohnya mewakafkan duit untuk pembinaan masjid, maka selagi mana masjid itu dimanfaatkan oleh umat Islam, berterusanlah pahala itu mengalir dan memberi manfaat kepada mereka yang telah meninggal dunia.

2)   Selain berwakaf dan bersedekah, anak-anak yang soleh mestilah sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya yang telah mendahuluinya. Doa dan amalan anak yang soleh akan terus mengalirkan pahala kepada si mati. Malah amalan anak soleh juga akan membantu ibu bapanya yang berada di Alam Barzakh.

3)   Kita juga boleh membaca al-Quran dan menyedekahkan pahalanya kepada simati. Malah mengupah orang untuk membacakan al-Quran dan mohon agar pahalanya dihadiahkan kepada simati pun hukumnya dibolehkan menurut sebahagian ulamak.

Dalam Hadith yang lain, Baginda Nabi SAW bersabda :

"أمـتي أمة مرحومة تدخل قبورها بذنوب كالجبال، وتخرج من القبوروقد غفرلها باستغفارالأحياء  للأموات والصدقات والدعاء وقراءة  القرآن ،تأتيهم  بها الملائكة في أطباق من نورمخمرة بمناديل من سندس وتقول لأحدهم هذه الهداية بعثها إليك فلان فيسره ويفرح  به"

Ertinya : Umatku adalah umat yang dirahmati, mereka masuk ke dalam kubur dengan dosa seperti gunung, dan keluar daripadanya sedang mereka telah diampunkan dari dosa-dosa itu, iaitu dengan istighfar orang yang hidup kepada si mati, sedekah, doa dan bacaan al-Quran untuk mereka, para malaikat membawa semua itu dalam pinggan-pinggan besar yang bercahaya, ditudung pula dengan kain sutera, kemudian para malaikat itu berkata kepada tuan yang punya : “inilah hadiah yang dikirimkan si pulan untuk mu, maka penerima itu akan merasa senang dan gembira”.

4.    Soalan :

Sebelum seseorang itu meninggal dunia, adakah dia tahu yang dia tidak akan lama lagi di dunia?

Jawapan :

Beruntungnya umat Nabi Saw kerana kematian tidak datang secara tiba-tiba, tetapi di datangkan peringatan demi peringatan.

Antara bentuk peringatan yang secara normal semula jadi manusia ialah keadaan usia dan umurnya yang semakin meningkat dan fizikalnya yang semakin lemah dan tiada upaya (tua).

Allah Berfirman di dalam al-Quran :

...  ثم  جعل  من  بعد  قوة  ضعفا  وشيبة  يخلق  ما  يشاء  وهوالعليم القدير.

Ertinya :  … kemudian dia menjadikan setelah dari keadaan kuat itu kepada lemah semula dan beruban rambut di kepala. Dialah Allah yang menjadikan apa yang Dia kehendaki dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Justeru itu, perubahan fizikal dari kuat kepada lemah, pertambahan usia, dan sebagainya, itu juga merupakan bentuk-bentuk amaran dan peringatan daripada Allah SWT.

Selain itu, sakit juga merupakan tanda-tanda kematian.

Baginda Nabi SAW bersabda :

Ertinya : apabila Allah SWt menguji seseorang muslim dengan di datangkan kesakitan pada tubuhnya, maka Allah SWt berfirman kepada Malaikat : Tulislah bagi muslim tersebut akan amal soleh yang dia telah lakukan (sewaktu sihatnya) dan sekiranya dia sembuh bersih dan sucikan dirinya daripada dosa, dan sekiranya dicabut nyawanya, nescaya dia mendapat keampunan dan mendapat rahmat dari Allah SWT.

Ada lagi satu keadaan iaitu seseorang itu juga kemungkinan akan menghadapi kematian yang datang tiba-tiba atau dinamakan kematian mengejut.

Rasulullah SAW bersabda :
موت  الفجأة   راحة  للمؤمن  واسف  على  الفاجر
(  رواه  أحمد  عن  عائشـة  )
Ertinya : Mati terkejut itu adalah kerehatan bagi orang yang beriman dan kesedihan keatas orang yang menanggung dosa.

Mati terkejut bagi orang mukmin itu adalah rahmat dan kerehatan daripada menanggung kesakitan sakaratul maut. manakala mati terkejut bagi orang yang menanggung dosa merupakan satu kesedihan dan penyesalan kerana tiada sempat untuknya bertaubat kepada Allah.

Kesimpulannya, setiap orang pada hakikatnya dia mengetahui bahawa dia akan mati. Namun istimewanya umat Nabi Muhammad Saw ini ada bentuk-bentuk peringatan sebelum datangnya kematian walaupun ada di sana keadaan mereka yang dimatikan dalam keadaan mengejut.

Justeru, tidak ada siapa pun mengetahui bila akan datang ajal bagi dirinya, namun tanda-tanda ajal itu Allah swt nyatakan dalam bentuk semula jadi kejadian manusia dari bayi, kanak-kanak, dewasa, tua, dan akhirnya mati. Dan ada juga tanda-tanda dengan di datangkan penyakit dan sebagainya.

5.    Soalan :

Macamanakah perasaan seseorang yang sedang naza’? Adakah dia tahu malaikat maut sudah pun datang dan akan mencabut nyawanya?

Jawapan :

Firman Allah S.W.T :
فرمان الله : وجآءت سكرة الموت بالحق ذلك ما كنت منه تحيد  -سورة ق:19
Ertinya : Dan apabila sampai ajal seseorang, maka datanglah mabuk kematian yang membawa kebenaran yang di janjikan dan di beritahu kepada orang yang mengingkari : inilah perkara yang kamu selalu kamu cuba mengelak diri daripadanya . 

رسول الله برسبدا: حضر ملك الموت رجلا يموت فنظر فى قلبه فلم يجد فيه شيئا ففك لحييه فوجد  طرف لسانه لاصقا بحنكه يقول لا اله إلا الله فغفرله بكلمة الإخلاص.( رواه الطبراني عن أبي هريرة)

Ertinya : Telah datang malaikat maut kepada  seseorang lelaki , maka malaikat maut itu melihat di dalam hati lelaki tersebut , maka tidak didapati didalam hatinya akan sesuatu , lantas malaikat maut itu memerhatikan pula di hujung lidahnya yang berusaha untuk menyebut kalimah ‘ Tiada tuhan yang sebenarnya di sembah melainkan Allah ‘ nescaya di beri pengampunan dengan kalimah ikhlas tersebut .
رسول  الله برسبدا   :
"إنَّ الشَّيْطاَنَ يَأْتِي أَحَدَكُمْ قَبْلَ  مَوْتِهِ فَيَقُوْلُ متْ يَهُوْدِيًّا متْ نصْراَنِيًّا"

Ertinya : Bahawasanya syaitan itu datang kepada seseorang daripada kalangan kamu sebelum matinya , dan syaitan berkata : matilah kamu dalam agama yahudi ! matilah kamu dalam agama nasrani ( kristian ) !
Daripada dalil-dalil di atas, menjelaskan kepada kita bahawa, orang yang dalam ke adaan nazak akan merasai kesakitan sakaratul maut. Dan kesakitan ini akan di rasai oleh setiap manusia yang berhadapan dengan kematian.

Ketika dalam keadaan sakaratul maut dan nazak untuk mati, seseorang itu akan dapat melihat malaikat maut yang akan datang untuk mencabut nyawanya, malah bukan sekadar itu, tetapi syaitan juga akan turut muncul untuk menyesatkan mereka yang sedang nazak.

Oleh sebab itu, sunat bagi mereka yang menziarahi orang yang hamper mati dan dalam keadaan nazak, dibacakan ayat-ayat suci al-Quran seperti yang disabdakan oleh Baginda Nabi SAW :

إقرأوا يس عند موتكم
Ertinya : Bacakanlah (surah) Yaasiin di sisi mereka yang sedang nazak hendak mati dikalangan kamu.

Dan sunatkan juga kita mengajar mereka yang sedang nazak agar mengucap dua kalimah syahadah.

Selasa, 9 September 2014

Alam Barzakh - Bhg 1




1.    Soalan : Apakah “Alam Barzakh”?

Jawapan :

“Alam Barzakh”  ialah pemisah. Alam Barzakh merupakan sebuah alam yang mula-mula di tempuh antara alam-alam Akhirat, dan dinamakan juga sebagai “Alam Kubur”. Alam Kubur merupakan alam yang dilalui oleh orang yang telah mati dan akan berpanjangan hingga hari kiamat.

Allah SWt berfirman dalam surah al-Mukmin, ayat 46 :

Ertinya : Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut- pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat- beratnya!"
Ada yang diseksa dan ada yang dilepaskan dari seksaan kubur. Ada yang disoal oleh Mungkar dan Nangkir dan ada yang tidak. Ada yang dibuka pintu neraka dan ruhnya diseksa. Ada yang dibuka pintu syurga dan ruhnya diberi nikmat. Ada yang menghadapi fitnah kubur (Dihimpit).

Imam Mujahid berkata :

" الـبـرزخ  هـو  الــحـاجـز  مـا  بـيـن  الـدنـيـا  و  الآخـرة  "
Ertinya : Alam Barzakh itu tembok pemisah di antara Dunia dan Akhirat.

Alam Barzakh juga diumpamakan suatu garisan yang menceraikan antara bayangan dan matahari, dan garisan yang menceraikan antara air tawar dengan air masin. Allah SWT berfirman :

مَرَجَ البَحرَينِ يَلتَقِيَانِ (19)
Ertinya : “Dia membiar (melepaskan) dua lautan mengalir yang keduanya (kemudian) bertemu (antara laut air masin dengan air tawar di muka kuala) antara keduanya ada batas (benteng) yang tidak dilampaui oleh masing-masing”.
(Surah Ar-Rahman : 19)

Tiadalah yang satu melampaui yang lain sehingga bercampur antara keduanya.  Demikianlah ibarat Alam Barzakh itu. Alam Barzakh merupakan alam di antara Alam Dunia dan Alam Akhirat . Disitulah manusia akan menetap dan menjalani kehidupan yang tiada lagi amal melainkan perhitungan kecil sementara menunggu saat dibangkitkan semula ke Alam Akhirat untuk perhitungan yang lebih besar.

Firman Allah SWT :

Ertinya : (Orang kafir itu) hingga apabila seseorang mereka didatangi kematian dia berkata : “ Wahai Tuhanku, kembalikan aku agar aku berbuat baik dalam perkara yang telah aku lalaikan”, sesekali tidak, sesungguhnya itu sekadar perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada Barzakh (kehidupan baru yang membatasi antara Dunia dan Akhirat) sampai hari mereka dibangkitkan.
(Surah Al-Mukminuun : 99-100)

2. Soalan :Apakah yang berlaku setelah seseorang itu meninggal dunia?  Badannya ? Rohnya?

Jawapan :

Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka badan (jasad) dan roh akan berpisah. Dalam erti kata yang lain,  Jasad akan mati, kaku dan tidak lagi bernyawa, tetapi roh yang keluar dari jasad itu kekal dan ia hanya berpindah dari alam dunia ke Alam Barzakh.

Imam al-Ghazali menyatakan : Mati itu ibarat menghentikan pergerakan semua sekali anggota, sedangkan segala anggota itu adalah menjadi alat, manakala roh mempergunakannya untuk kepentingannya.

Ibnu Arabi pula menyatakan : orang-orang yang mati itu ialah orang yang berpindah, sedangkan hidupnya masih kekal, tidak musnah, cuma yang hilang itu ialah Pemerintah (Wali iaitu Roh) daripada kerajaannya (Kerajaan Badan), di mana Allah SWT telah menyerahkan kepada Roh mentadbir Badan dalam masa pemerintahannya. Dan bila telah tamat tempoh masa pemerintahannya, maka terlepaslah kekuasaannya kepada pemerintahannya (Badan) dan kembalilah ia kepada kehidupan yang lain yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Dalam kitab Al-Hikam ada menyatakan : 

"اِنَّكُم خُلِقْتُم لِلأَبَدِ لَكِنَّكُم تَنْتَقِلُوْنَ مِنْ دَارٍ إلى دَارٍ حَتَّى يَسْتَقِرَّ بِكُمُ القَرَارِ.
Ertinya : “Sesungguhnya anda dijadikan untuk hidup kekal, akan tetapi anda pastilah berpindah dari sebuah negeri (alam) ke sebuah negeri (alam) yang lain (menurut perkembangan alam itu : sunnah yang ditetapkan Allah) sehingga anda ditetapkan di negeri yang kekal (Akhirat)”.

Kesimpulannya, bila seseorang itu meninggal dunia, maka akan bercerailah roh dan jasad. Jasad akan mati dan kaku serta keadaannya terserahlah kepada Allah SWT samada dihancurkan atau dipelihara olehNya sebagai kemuliaan atau penghinaan, manakala roh pula akan hidup di alam lain iaitu alam barzakh yang tidak ada lagi kekuasaan baginya untuk menguasai dan mentadbir jasad. Dan roh akan hidup dalam keadaan mendapat nikmat atau azab bergantung kepada amalan kehidupannya di Alam Dunia.

3.  Soalan :Apa yang berlaku di Alam Kubur? Dan bagaimanakah rupa kubur itu kepada orang yang ditanam di dalamnya?

Jawapan :

Rasulullah SAW bersabda :

القَبْرُ اِمَّا رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ اَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Ertinya : Kubur itu samada taman dari taman-taman syurga atau
lubang dari lubang-lubang neraka.

Kubur akan menjadi taman-taman syurga bagi orang yang beriman dan menjadi lubang-lubang neraka bagi mereka yang menderhakai Allah SWT, yang menyekutukannya dengan yang lain.

Dalam sebuah hadith riwayat daripada Imam al-Tirmizi ada menceritakan:

“Kubur itu juga akan ditaqdirkan oleh Allah SWT berkata-kata. Ia akan berkata : Akulah rumah dagang, akulah rumah menyendiri, akulah rumah tanah dan akulah rumah cacing”.

Manakala apabila seseorang mukmin dikuburkan, kubur pun berkata kepadanya :
"Marhaban wa Ahlan  Wasahlan, Engkaulah orang yang paling aku sukai, siapa yang berjalan di atasku (dipermukaan bumi) menuju ke arahku (masuk ke dalam kubur). Hari ini akulah penguasamu dan engkau telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang akan aku lakukan terhadapmu”. Maka pada ketika itu juga, diluaskan kuburnya sejauh mata memandang dan dibukakan pintu baginya menuju ke syurga.

Sementara jika yang dikuburkan itu seorang yang derhaka atau kafir, kubur itu berkata kepadanya : "La Marhaban Wala Ahlan Wasahlan, sesungguhnya engkaulah orang yang paling aku benci, siapa yang pernah berjalan di atasku (dipermukaan bumi) menuju ke arahku (masuk ke dalam kubur). Hari ini akulah penguasamu dan engkau telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang akan aku lakukan terhadapmu”. Lalu pada ketika itu juga, kedua tepi kubur menyempit sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.

Dalam riwayat daripada Ibnu Abi al-Dunya daripada Abdullah bin Ubaid, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya seorang mayat itu ketika berada di dalam kubur dan dia mendengar langkah kaki orang yang menghantarnya. Tidak ada yang lebih awal bercakap dengannya daripada lubang kuburnya. Ia berkata : “betapa kasihannya engkau wahai anak Adam! Bukankah engkau telah diperingatkan supaya berhati-hati tentang diriku, juga tentang kesempitan, himpitan, bau busuk,kengerian dan cacing-cacingku? Sudahkah engkau mempersiapkan diri untuk itu? Dan apa pula yang engkau persiapkan untukku?

Lagi riwayat dari Ibnu Abi al-Dunya dan Ibnu Mandah, daripada Umar bin Zar, dia menyatakan bahawa : “Jika seorang Mukmin memasuki lubang kuburnya, bumi akan berseru : “Apakah dia orang yang taat atau derhaka?”.

Jika dia orang yang soleh, maka akan datang yang berseru dari sudut kubur : “Berubahlah engkau wahai kubur kepada hijau dan jadilah engkau penyayang terhadapnya. Dia adalah benar-benar orang baik bagi Allah dan sebaik-baik hamba yang dikembalikan kepadamu”.

Maka berkatalah bumi : “ sekarang adalah saatnya dia memperolehi kemuliaan”.

Diriwayatkan daripada al-Khatib dalam kitabnya al-Tarikh, dari Yazid al-Raqasyi, beliau menceritakan : “Pernah sampai kepada saya satu berita, bahawa apabila seseorang mayat diletakkan di dalam kuburnya, dia akan dikelilingi oleh amalannya. Kemudian amalan-amalan itu ditaqdirkan oleh Allah dapat bercakap, katanya : “Wahai orang yang bersendirian di dalam kuburnya, telah terputuslah sudah engkau daripada teman-teman dan keluargamu, lalu tidaklah ada lagi yang lebih lemah lembut terhadapmu selain kami (amalannya)”.

Kemudian Yazid pun menangis sambil berkata : “Bahagia dan beruntunglah bagi siapa yang temannya orang soleh, dan celaka bagi siapa yang temannya orang jahat”.

Nabi Saw bersabda :

استغفروا لأخيكم وسلوا له التثبيت فإنه الآن يسأل
Ertinya : Mohonlah kamu keampunan dosa bagi saudara-saudaramu (yang telah meninggal dunia), dan mintalah dari Allah akan keteguhan bagi si mati untuk menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir, kerana pada waktu ini dia sedang disoal.

Kesimpulannya, riwayat-riwayat di atas telah menjelaskan kepada kita tentang keadaan-keadaan yang akan berlalu di  Alam Kubur. Persoalan malaikat Mungkar dan Nakir, seksa dan azab bagi yang derhaka dan menyekutukan Allah, nikmat dan kebahagian bagi mereka yang beriman kepada Allah, kesempitan dan keluasan kubur, semuanya pasti berlaku dan termasuk dalam perkara al-Samiyyat yang wajib diimani.

4.  Soalan :Adakah mereka di Alam Barzakh mengetahui atau menyedari apa yang berlaku di dunia seperti keluarganya?

Jawapan :

Ramai beranggapan, bahawa setelah seseorang meninggal dunia, tidaklah akan ada apa-apa lagi melainkan hanya tinggal kenangan sahaja. Ini sebenarnya satu kesilapan. Kita berbeza alam. Alam bagi kita orang hidup dipanggil Alam Dunia, sementara Alam bagi orang mati dipanggil Alam Barzakh. Di antara dua alam ini, Alam Barzakhlah yang lebih ajaib. Kita di Alam Dunia langsung tidak mempunyai maklumat tentang penghuni Alam Barzakh, sedangkan penghuni-penghuni Alam Barzakh, mereka itu mengetahui hal keadaan kita di Alam Dunia, bahkan lebih mendalam lagi pengetahuan dan pendengaran mereka itu terhadap orang hidup.
Banyak riwayat menerangkan perkara ini antaranya :

Riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik r.h katanya : Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : “Sesungguhnya semua amalan kamu diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kamu yang telah meninggal dunia. Jika amal-amal itu baik, mereka pun merasai gembira, tetapi jika sebaliknya, mereka berdoa : “Ya Allah janganlah engkau matikan mereka sehingga Engkau berikan kepada mereka petunjuk, sebagaimana Engkau telah berikan kepada kami petunjuk”. – Hadith Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi dalam Nawadir al-Usul

Riwayat daripada Abdul Ghafur Bin Abdul Aziz daripada bapanya yang menerima riwayat daripada datuknya katanya: Rasulullah SAW bersabda : “Diperlihatkan segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis kepada Allah dan kepada Para Nabi serta ibu bapa pada hari Jumaat. Mereka senang dan gembira dengan perbuatan-perbuatan yang baik dan menjadikan wajah-wajah mereka tambah berseri-seri. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah dan jangan kamu menyakiti orang-orang yang telah meninggal di antara kamu (dengan amal perbuatan buruk kamu)”.

Dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, al-Marwazi dan Ibn Abi al-Dunya, daripada Abi Said al-Khudri memberitakan bahawa Nabi SAW :

إِنَّ المَيِّتَ يَعْرِفُ مَن يَغْسِلُهُ وَيَحْمِلُهُ وَيَدِيْلُهُ فِي قَبْرِهِ
Ertinya : Sesungguhnya orang yang mati itu mengetahui orang yang memandikannya, orang yang mengusungnya ke kubur, dan mengenal orang yang menurunkannya ke dalam kubur.

Dalam suatu hadith riwayat daripada Saidatina Aisyah r.ha, Rasulullah SAW bersabda :

ما من رجل يزور قبررأخيه ويجلس عليه إلا استأنس به ورد عليه حتى يقوم
Ertinya : Tiadalah seorang lelaki yang menziarahi kubur saudaranya dan ia duduk disampingnya, melainkan saudaranya itu akan merasa terhibur atau beramah mesra dengannya dan dia menjawab salamnya sehingga ia berdiri (berangkat balik).

Hadith Riwayat daripada Abu Daud al-Tayaalisi, daripada Jaabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Baginda Nabi SAW bersabda :

ان اعمالكم تعرض على عشائركم وعلى اقربائكم في قبورهم، فإن كانوا خيرا استبشروا به، وان كان غير ذلك، قالوا : اللهم الهمهم ان يعملوا بطاعتك
Ertinya : Sesungguhnya amalan-amalan kamu itu akan dilaporkan kepada kerabat-kerabat kamu yang sedang di dalam kubur. Seandainya amalan atau perbuatan kamu itu baik, maka mereka akan bergembira dengan sebabnya, sebaliknya jika tidak demikian maka mereka akan berdoa : “Wahai Allah, ilhamkanlah mereka agar mereka beramal atau melakukan ketaatan kepada Engkau”.

Kesimpulannya, mereka yang telah meninggal dan berada di Alam Barzakh mengetahui apa yang dilakukan dan dibuat oleh ahli keluarganya yang berada di Alam Dunia.