Memaparkan catatan dengan label Fadhilat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fadhilat. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Januari 2015

Kelebihan Selawat

Bab Pada Menyatakan Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi SAW

Berkata Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a " Selawat ke atas Nabi SAW lebih kuat untuk menghapuskan dosa dari air mata menghapuskan warna hitam lauh"

Sebahagian sahabat r.hm bertanya kepada Rasulullah saw :" Adakah selawat itu diganjari dengan kehadiran hati?". Baginda Rasulullah SAW menjawab :" Tidak, bahkan Allah SWT akan berselawat ke atas semua yang berselawat ke atasku dan memberikan mereka pahala sebesar bukit dan para malaikat akan berdoa serta memohon keampunan untuk mereka yang berselawat. Manakala mereka yang berselawat dengan menghadirkan hatu, tidak diketahui berapa banyakkah ganjaran yang akan diberikan kepadanya melainkan Allah SWT.

Baginda Nabi SAW bersabda :

1) "Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali selawat, nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali selawat".

2) "Barang siapa yang berselawat ke atasku seribu kali selawat, nescaya dia tidak akan mati sehinggalah dibawakan berita gembira mengenai syurga untuknya".

3) "Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali selawat, nescaya Allah SWT akan selawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali, dan barang siapa yang berselawat ke atasku sepuluh kali, nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya seratus kali, dan barang siapa yang berselawat ke atas ku seratus kali, nescaya Allah SWT berselawat ke atasnya seribu kali, dan barang siapa yang berselawat ke atasku seribu kali, maka dia tidak akan disentuh oleh api neraka".

4) " Barang siapa yang lupa untuk berselawat ke atasku, maka sesungguhnya dia telah tersalah jalan untuk menuju ke syurga".

5) "Sesungguhnya orang yang paling berhak bersamaku pada hari kiamat nanti ialah yang paling banyak berselawat ke atasku".

6) "Selawat kamu ke atasku akan menghapuskan dosa-dosa kamu seperti air memadamkan api".

7) Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak empat puluh kali pada setiap hari jumaat, nescaya Allah SWT akan memadamkan dosa-dosanya".

8) "Tidaklah terdapat apap-apa dari satu doa itu melainkan di antaranya dan langit itu terdapat hijab (penghalang) , sehinggalah dia berselawat ke atasku. apabila dia berselawat ke atasku, maka terbukalah hijab (penghalang) utu dan doa tersebut diangkat ke langit."

9) "Barang siapa berselawat ke atasku dalam satu hari seratus kali selawat, nescaya Allah SWT tunaikan seratus hajatnya. 70 hajat untuk akhiratnya dan 30 hajat untuk dunianya".

10) "Barang siapa berselawat ke atasku dengan satu kali selawat, nescaya Allah SWT dan Malaikatnya akan berselawat ke atasnya sebanyak dua puluh kali selawat, dan dia tidak akan mati sehinggalah ia diberikan berita gembira masuk ke dalam syurga".

SEPULUH kelebihan selawat ini dinukilkan dari kitab Lubab al-Hadith karangan Imam al-Suyuti rhm.

Antara cara dan kecintaan kita kepada Nabi SAW ialah dengan kita memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda Nabi SAW.

Marilah kita memperbanyakkan berselawat, setiap hari dan setiap masa, lazimilah lidah kita dengan berselawat, semoga rahmat ALlah SWT sentiasa bersama kita, Syafaat Nabi SAW mengiringi kehidupan, kematian dan kehidupan yang kekal selepas kematian kita, semoga para Malaikat sentiasa memohon keampunan untuk kita... berkat dengan selawat dan salam ke tas Baginda Nabi SAW...

Salam Maulidur Rasul SAW... Sollu 'Ala Nabiy...

Selasa, 23 September 2014

Bulan Zulhijjah

Kelebihan yang terdapat dalam bulan Zulhijjah ini disebut oleh Allah swt di dalam Al-Quran, dan Hadith-hadith Baginda Nabi Muhammad saw, dan para ulamak salaf mahupun khalaf.

1) Baginda Nabi saw bersabda :

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله عزوجل من هذه الأيام - يعني أيام العشر- قالوا : يا رسول الله ولا جهاد في سبيل الله؟ قال : ولا جهاد في سبيل الله إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء 
 - رواه البخاري و أبو داود و الترمذي و ابن ماجه -

Ertinya : Tidak ada hari di mana  suatu amal soleh lebih dicintai Allah melebihi amal soleh yang dilakukan di hari-hari ini (iaitu 10 hari awal dalam bulan Zulhijjah). Para Sahabat bertanya : Wahai Rasulallah! Walaupun jihad di jalan Allah? Nabi saw bersabda : Walaupun jihad di jalan Allah kecuali mereka yang keluar dengan diri dan hartanya kemudian ia tidak ada suatu pun yang kembali (ia mati syahid) 



 2) Firman Allah swt dalam surah al-Fajr :

والفجر (1) وليال عشر (2) - سورة الفجر

Ertinya : Demi waktu Fajr , Dan Malam yang Sepuluh.

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa 10 malam yang disebut dalam ayat di atas itu merujuk kepada 10 malam yang awal dari bulan Zulhijjah. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair dan Mujahid.

3) Diperintahkan oleh Allah swt agar memperbanyakkan bertasbih, bertahlil, bertakbir, dan bertahmid pada hari-hari yang dimaklumi.

Firman Allah swt dalam surah al-Hajj ayat 22:

ويذكروا اسم الله في أيام معلومات على ما رزقهم من بهيمة الأنعام

Ertinya : Dan mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan (tanda syukur) di atas rezeki yang telah dikurniakan kepada mereka daripada binatang-binatang ternakan.

Sayyidina Ibnu Abas r.a berkata bahawa yang dimaksudkan hari-hari yang ditentukan dalam ayat di atas ialah 10 hari awal dari bulan Zulhijjah.

4) Hari di mana umat Islam berhimpun di padang 'Arafah melaksanakan tuntutan manasik haji.

Baginda Nabi saw bersabda :

الحج عرفة 
Ertinya : Haji itu 'Arafah (wuquf di arafah)

5) Hari di mana umat Islam melaksanakan ibadah korban dengan binatang-binatang al-An'am ternakan. 

Firman Allah swt dalam surah al-Kauthar ayat 2 :

فصل لربك وانحر
Ertinya : Maka Solatlah kerana Tuhanmu dan Sembelihlah

6) Hari di mana umat Islam bersedekah dengan daging binatang-binatang yang telah dibuat korban, serta menjalinkan hubungan silaturrahim.

Firman Allah swt dalam surah al-Hajj :36

... وأطعموا القانع والمعتر....

Ertinya : Dan Berikanlah makan (Daging Korban) itu kepada yang tidak meminta dan yang meminta...

Firman Allah swt dalam surah al-Hajj :28

... وأطعموا البائس والفقير...
Ertinya : Dan Berikanlah makan (Daging Korban) itu kepada yang miskin dan yang fakir.


7) Bulan Zulhijjah bulan yang terkumpul di dalamnya ibadah-ibadah utama iaitu : Solat, Puasa, Sedekah, dan Haji.

Ahad, 7 September 2014

Kelebihan Surah Yaasiin

Amalan turun temurun yang dianjurkan oleh tok-tok guru dan orang tua-tua zaman dahulu yang sehingga sekarang masih diteruskan amalannya pada setiap Khamis malam Jumaat ialah bacaan surah Yaasiin. Ia merupakan amalan BID'AH yang HASANAH (baik).

Saya ingin berkongsi akan Hadith-hadith kelebihan surah Yaasiin dan sebahagian daripada pandangan para ulamak tentang kehebatan dan mukjizat surah Yaasiin.


Hadith Pertama :

Riwayat daripada Sayyidina Anas r.a, Rasulullah saw bersabda :


"إن لكل شيء قلبا ، وقلب القرآن يس ، ومن قرا يس كتب الله له قراءتها قراءة القرآن عشر مرات

Ertinya : Sesungguhnya bagi tiap sesuatu itu ada hati, maka hati bagi al-Quran ialah surah Yaasiin. Sesiapa yang membaca surah Yaasiin, Allah swt akan menulis baginya dengan bacaan surah Yaasin itu seumpama ia membaca al-Quran 10 kali. 

- Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Abu Isa al-Tirmizi. Terdapat juga riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. dengan sanad yang lain. Hadith ini dikatakan Hadith Gharib dengan sanad yang Dhoif.

Hadith Kedua :

Riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda :

"من قرأ يس في ليلة أصبح مغفورا له ، ومن قرأ حم التي يذكر فيها الدخان أصبح مغفورا له"

Ertinya : Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada malam hari, bangkit ia dalam keadaan diampunkan dosa baginya. dan barang siapa yang membaca surah Dhukhan, bangkit ia dalam keadaan diampunkan dosa baginya.

- Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hafidz Abu Ya'la dengan sanad yang baik. Terdapat juga riwayat yang mempunyai maksud yang sama tetapi lafaz yang sedikit berbeza yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dalam sohihnya, daripada Jundub bin Abdullah r.a, Rasulullah saw bersabda :

"من قرأ يس في ليلة ابتغاء وجه الله عز وجل غفر له
Ertinya : Sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam hari dengan tujuan mengharap redha Allah, diampunkan dosa baginya.

Hadith Ketiga :

Riwayat daripada Ma'kil bin Yasaar r.a, Rasulullah saw bersabda :

إقرءوها على موتاكم -أي يس

Ertinya : Bacalah kamu akannya (surah Yaasiin) ke atas orang yang mati dikalangan kamu.

- Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, dan al-Nasaie.

 
Kelebihan surah Yaasin ini juga disebut oleh para ulamak, seperti yang dinaqalkan oleh Imam Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya :

Pertama :

انها لا تقرأ عند أمر عسير إلا يسره الله تعالى 

Maksudnya : Sesiapa yang membaca Yaasin ketika dalam kesusahan, nescaya Allah swt akan memudahkan urusan baginya.

Kedua :

قراءتها عند الميت لتنزل الرحمة والبركة

Maksudnya : sekiranya dibaca pada jenazah, nescaya akan diturunkan Rahmat dan Keberkatan.

Ketiga :

ليسهل عليه خروج الروح

Maksudnya : Untuk memudahkan keluarnya ruh (ke atas orang yang sedang nazak)

والله أعلم

Kesimpulannya

Membaca Yaasin seperti yang dibuat di Masjid dan Surau atau tempat-tempat tertentu di malam Jumaat itu suatu yang sangat baik dan ada asasnya walaupun dikatakan Bid'ah, maka ia termasuk dalam kategori BID'AH HASANAH. Walaupun hari Jumaat disunatkan membaca Surah al-Kahfi, namun membaca surah Yaasin pada malamnya juga tidaklah dilarang dan terdapat nas dan dalil secara umum "bagi sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam hari akan dibangkitkan dalam keadaan diampuni dosa-dosanya". 

Alangkah beruntungnya mereka yang terus menerus membaca surah Yaasin pada malam Jumaat dengan harapan dibangkitkan pada pagi penghulu segala hari iaitu hari Jumaat dengan diampunkan dosa-dosanya, kemudian disambung terus dengan amalan-amalan sunat Jumaat seperti subuh berjemaah dengan membaca surah al-Sajadah, kemudian berwirid dan membaca surah al-Kahfi yang disunatkan untuk menghidari fitnah Dajjal, memperbanyakkan Salam dan Selawat ke atas Baginda Rasulullah saw, dan lain-lain amalan sunat Jumaat.

Semoga kita semua dapat mengambil manfaat... teruskan beramal semoga diberkati...


Rujukan : Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 3, Surah Yaasin