Rabu, 14 Januari 2015

Sabar itu Kebahagian

 
Dikisahkan ada seorang Wali Allah ﷻ bernama Ibrahim Ibnu Ali yg bekerja sebagai penjaga kebun.
Diceritakan pada suatu hari dtg seorang samseng di kebun yg dijaga oleh Ibrahim lalu berkata;

"Saya mahu buah-buahan yg terdapat di kebun ini,dgn nada yg kasar kerana ingin menunjukan kekuatan beliau lalu Ibrahim mengatakan sy adalah penjaga kebun ini dan sy tiada hak memberi suatu buah pun lalu samseng td berkata; "Kamu tidak tahu siapa saya?lalu Ibrahim pun berkata sy mohon maaf dan tidak dapat memberikan.

Lalu ditampar oleh samseng td..dan ditampar utk kali yg kedua tetapi tetap dia berkata sy tidak mengizinkan kamu mengambil satu buah pun drp kebun ini.

Dan apabila ditampar utk kali yg ketiga samseng itu pun melihat Ibrahim orang nya tegar tetap tidak memberikan apa yg diinginkan lalu ia pun berlalu meninggalkan Ibrahim sendirian.

Kejadian ini telah disaksikan oleh seseorang lalu samseng itu dipanggil..lalu org itu bertanya;

"Apa yg kamu buat td?samseng itu berkata sy ingin meminta buah dikebun ini tetapi tidak diberi oleh dia..lalu org itu pun berkata kpd samseng itu; "Kamu tahu tidak siapa dia org kamu tampar td?ia berkata;
"Saya tidak tahu,ia adalah Ibrahim Bin Ibnu Ali org besar namanya dikenal tetapi wajahnya tidak tahu bagaimana..Lalu samseng itu berasa malu dan berkata; .

"Aku meminta maaf kpd kamu kerana menampar kamu berkali-kali,lalu Ibrahim Ibnu Ali mengatakan; "Sy maafkan kamu bermula kamu mengangkat tangan dan memukul kpd sy dan sy sudah memaafkan kpd kamu..lalu ia berkata;

"Bagaimana sy tidak memaafkan kamu kerana setiap kali kamu mengangkat kan tangan dan memukul kepada sy,Allah ﷻ mengampun kan dosa sy kerna sy sabar menghadapi sikap kamu,dengan sebab kamu,Allah ﷻ mengampunkan sy,tak kan sy tidak mahu memaafkan kamu?kerna kamu telah membawa kebaikan kpd sy lalu sy membalas kebaikan-kebaikan yg pasti kebaikan yg lebih besar diberi kpd kamu.
سبحان الله.

 
Muhasabah diri :
 
- Bagaimana kita ingin mengukur hati kita?

- Sesungguhnya Orang yang sabar itu akan diganjari dengan pahala yang tidak terhitung banyaknya...

 

Selasa, 13 Januari 2015

al-Hafi

Allahumma Solli Wa Sallim 'Ala Rasulillah SAW...

Pada suatu hari Imam Bisyr Al Hafi ada beli sepasang selipar baru,seliparnya itu digunakan untuk ke masjid dan beliau letak seliparnya dihadapan masjid .

Selepas sembahyang,selipar nya hilang lalu Imam Bisyir Al Hafi menangis,Kata orang ramai yang solat dimasjid tu "Tak layak kau ini menangis,Engkau ini orang besar" .

Lalu jawab Imam Bisyr, saya menangis bukan sebab hilang selipar itu tetapi saya menangis kerana disebabkan saya,orang itu berdosa kerana mencuri selipar saya, kerana saya ! orang lain yang tanggung dosa ! maka mulai hari ini aku akan jalan tanpa selipar .


Sejak peristiwa ini,orang gelarinya dengan (Al Hafi) bermakna orang yang jalan tak berselipar.Ini namanya orang yang warak sangat takut kepada Penghisaban di akhirat tapi zaman sekarang cerita sebegini hanya sekadar cerita,jarang sekali berlaku.

Muhasabah dan renungan untuk diri :

Berapa banyak sudah amal perbuatan kita menyebabkan orang lain berbuat dosa... & Berapa banyak pula amal perbuatan kita menyebabkan orang lain berbuat kebaikan?

Semoga kita sentiasa dipilih untuk menjadi sebab kepada kebaikan umatnya Nabi Muhammad SAW, bukan kemaksiatan...

Isnin, 12 Januari 2015

Tangisan Sebatang Tamar


Sedu sedan itu bak ratapan si kecil
Yang rindu belaian dan perhatian
Yang mendambakan kasih dan sayang
Dari seorang insan yang penyayang

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul
Tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru
Kerna keuzurannya

Kisah tangisan sebatang tamar
Menyentuh hati melonjak belasan
Benarkah aku cinta
Benarkah aku rindu
Sedangkan tak pernah gugur airmataku
Mengenangkanmu

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul
Tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru
Kerna keuzurannya

Betapa gelapnya hatiku ini
Untuk menghayati perjuanganmu
Betapa angkuhnya diriku ini
Untuk menghargai perjuanganmu

Ya Rasulullah ingin aku menjadi
Sebatang tamar yang menangis
Rindu kepadamu

Ya Rasulullah biarlah aku hanya
Sebatang tamar
Namun dapat bersamamu
Di dalam syurga

Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul
Tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru
Kerna keuzurannya

Lagu : Tangis Sebatang Tamar
Artis : Dakmie

Jumaat, 9 Januari 2015

Kelebihan Selawat

Bab Pada Menyatakan Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi SAW

Berkata Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a " Selawat ke atas Nabi SAW lebih kuat untuk menghapuskan dosa dari air mata menghapuskan warna hitam lauh"

Sebahagian sahabat r.hm bertanya kepada Rasulullah saw :" Adakah selawat itu diganjari dengan kehadiran hati?". Baginda Rasulullah SAW menjawab :" Tidak, bahkan Allah SWT akan berselawat ke atas semua yang berselawat ke atasku dan memberikan mereka pahala sebesar bukit dan para malaikat akan berdoa serta memohon keampunan untuk mereka yang berselawat. Manakala mereka yang berselawat dengan menghadirkan hatu, tidak diketahui berapa banyakkah ganjaran yang akan diberikan kepadanya melainkan Allah SWT.

Baginda Nabi SAW bersabda :

1) "Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali selawat, nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali selawat".

2) "Barang siapa yang berselawat ke atasku seribu kali selawat, nescaya dia tidak akan mati sehinggalah dibawakan berita gembira mengenai syurga untuknya".

3) "Barang siapa yang berselawat ke atasku sekali selawat, nescaya Allah SWT akan selawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali, dan barang siapa yang berselawat ke atasku sepuluh kali, nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya seratus kali, dan barang siapa yang berselawat ke atas ku seratus kali, nescaya Allah SWT berselawat ke atasnya seribu kali, dan barang siapa yang berselawat ke atasku seribu kali, maka dia tidak akan disentuh oleh api neraka".

4) " Barang siapa yang lupa untuk berselawat ke atasku, maka sesungguhnya dia telah tersalah jalan untuk menuju ke syurga".

5) "Sesungguhnya orang yang paling berhak bersamaku pada hari kiamat nanti ialah yang paling banyak berselawat ke atasku".

6) "Selawat kamu ke atasku akan menghapuskan dosa-dosa kamu seperti air memadamkan api".

7) Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak empat puluh kali pada setiap hari jumaat, nescaya Allah SWT akan memadamkan dosa-dosanya".

8) "Tidaklah terdapat apap-apa dari satu doa itu melainkan di antaranya dan langit itu terdapat hijab (penghalang) , sehinggalah dia berselawat ke atasku. apabila dia berselawat ke atasku, maka terbukalah hijab (penghalang) utu dan doa tersebut diangkat ke langit."

9) "Barang siapa berselawat ke atasku dalam satu hari seratus kali selawat, nescaya Allah SWT tunaikan seratus hajatnya. 70 hajat untuk akhiratnya dan 30 hajat untuk dunianya".

10) "Barang siapa berselawat ke atasku dengan satu kali selawat, nescaya Allah SWT dan Malaikatnya akan berselawat ke atasnya sebanyak dua puluh kali selawat, dan dia tidak akan mati sehinggalah ia diberikan berita gembira masuk ke dalam syurga".

SEPULUH kelebihan selawat ini dinukilkan dari kitab Lubab al-Hadith karangan Imam al-Suyuti rhm.

Antara cara dan kecintaan kita kepada Nabi SAW ialah dengan kita memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda Nabi SAW.

Marilah kita memperbanyakkan berselawat, setiap hari dan setiap masa, lazimilah lidah kita dengan berselawat, semoga rahmat ALlah SWT sentiasa bersama kita, Syafaat Nabi SAW mengiringi kehidupan, kematian dan kehidupan yang kekal selepas kematian kita, semoga para Malaikat sentiasa memohon keampunan untuk kita... berkat dengan selawat dan salam ke tas Baginda Nabi SAW...

Salam Maulidur Rasul SAW... Sollu 'Ala Nabiy...

Isnin, 15 Disember 2014

Allah Menerima Hanya Yang Baik

Bismillah
عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ( إن الله تعالى طيب لا يقبل إلا طيبا وإن الله أمر المؤمنين بما أمر به المرسلين فقال تعالى: ( يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ). وقال تعالى: ( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ). ثم ذكر الرجل يطيل السفر أشعث أغبر يمد يديه إلى السماء يا رب يارب ومطعمه حرام ومشربه حرام وملبسه حرام وغذي بالحرام فأنى يستجاب له) -  رواه مسلم -.
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta’ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu)”.

Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!

Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”.

(Hadis riwayat al-lmam Muslim)

Huraian Hadith :
1) Dalam Hadith ini, Allah swt itu disifatkan dengan طيب iaitu طاهر suci dan bersih.
Ini membawa maksud, suci dan bersihnya Allah swt itu dari segala sifat kekurangan dan kelemahan.

Hadith ini juga membawa maksud bahawa Allah swt tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang baik, bersih, suci dari segala bentuk kemaksiatan, kefasadan, keburukkan. Allah swt juga tidak menerima dari harta yang dimanfaatkan melainkan diambil dari jalan yang halal dan baik.

Sesungguhnya sifat  الطيب itu sifat yang mesti ada pada amal perbuatan, kata-kata, dan iktiqod seseorang mukmin.

Allah swt berfirman :

(ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ)
.( إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ)
( الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ)

Ayat-ayat di atas menyatakan bahawa Allah swt menyifatkan kebaikan itu mesti ada pada kata-kata, perbuatan dan iktiqod seorang mukmin.

Seorang mukmin itu mestilah mempunyai sifat kebaikkan, baik pada hatinya iaitu iktiqodnya, baik pada lidahnya iaitu kata-katanya, dan baik pada jasadnya iaitu amal perbuatannya. Inilah yang dinamakan buah iman الطيبات yang ada pada diri seorang mukmin yang diterima di sisi Allah swt.

2) Hadith ini juga menerangkan kepada kita, bahawa mencari rezeki dan sesuatu yang baik itu adalah sunnah para nabi dan orang soleh terdahulu.

Allah swt berfirman :

(كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا)
Maksudnya : "Makanlah kamu dari perkara yang baik dan beramallah dengan amal soleh".

3) Hadith ini juga menerangkan, bahawa menjadi suatu kewajipan bagi kita berusaha mencari rezeki dan pendapatan yang halal, malah dalam berinfak pun kita diperintahkan mengguna hasil dari sumber yang halal. 

( يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ..)
( لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ)

Dalam ayat ini Allah swt memerintahkan kita agar menginfakkan harta yang Allah swt berikan kepada kita dari sumber yang baik dan yang kita sendiri sukai.

Daripada Sayyidina Ibnu Umar r.hm, Baginda Nabi saw bersabda :

لا يقبل الله صلاة بغير طهور ولا صدقة من غلول - رواه مسلم
Maksudnya : Allah swt tidak menerima solat tanpa bersuci, dan tidak menerima sedekah seseorang yang datang dari sumber yang tidak baik.

Ditanya kepaa Sayyidina Ibnu Abbas r.hm : "Bagaimanakah amalan seseorang yang menzalimi dan mengambil harta orang lain secara haram kemudian dia bertaubat dan menggunakan harta yang diambil secara haram tadi itu untuk menunaikan haji, membebaskan hamba, dan bersedekah? maka di jawab oleh Sayyidina Ibnu Umar r.hm :
إن الخبيث لا يكفر الخبيث
"Sesungguhnya yang buruk (keji) itu tidak boleh (digunakan) untuk menghapuskan yang buruk (keji)".

Berkata al-Hasan :
أيها المتصدق على المسكين ، يرحمه ارحم من قد ظلمت
"Wahai yang bersedekah kepada si miskin, kasihilahnya (si miskin) dan kasihilah siapa yang telah engkau zalimi".


4) Persoalan bersedekah dengan harta yang haram itu ada dua keadaan :

i) Orang yang menggunakan harta yang haram kemudian dia menyedekahkan harta itu atas dirinya, maka hukum menyedekahkan itu adalah haram kerana dia tidak ada hak untuk mengagihkan harta tersebut dan itu bukan miliknya.

ii) Orang yang menggunakan harta orang lain dan disedekahkan dengan niat untuk orang tersebut kerana dia tidak mampu untuk memulangkan harta itu disebabkan tuan empunya harta itu tidak dapat dijumpai dan diketahui, maka itu dibolehkan.


5) Hadith ini juga menerangkan bahawa, Amal seseorang itu tidak akan diterima dan tidak dapat mensucikan diri melainkan dengan makanan dan minuman yang halal. Makanan dan minuman yang haram, akan merosakkan amal dan ibadah seseorang.

Daripada Musnad Imam Ahmad, daripada Ibnu Umar rhm :

من اشترى ثوبا بعشرة دراهم في ثمنه درهم حرام ، لم يقبل الله له صلاة ما كان عليه

Maksudnya : "Sesiapa yang membeli pakaian dengan 10 dirham yang bercampur dengan dirham yang haram, nescaya Allah swt tidak menerima sembahyangnya dengan pakaian tersebut".


Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a :

إذا خرج الرجل حاجا بنفقة طيبة ووضع رجله في الغرز فنادى لبيك اللهم لبيك ناداه مناد من السماء لبيك وسعديك زادك حلال وراحلتك حلال وحجك مبرور غير مأزور وإذا خرج الرجل بالنفقة الخبيثة فوضع رجله في الغرز فنادى لبيك اللهم لبيك ناداه منادي من السماء لالبيك ولا سعديك زادك حرام ونفقتك حرام وحجك غير مبرور).

Maksudnya : "Apabila seseorang itu keluar untuk melaksanakan ibadah Haji dengan nafkah yang baik, dan apabila ia menjejakkan kakinya dan menyeru لبيك اللهم لبيك , akan disahut dan seru oleh penduduk langit, لبيك وسعديك زادك الحلال وراحلتك حلال وحجك مبرور غير مأزور, sebaliknya apabila seseorag yang keluar untuk melaksanakan ibadah haji dengan nafkah yang haram, bila mana dia menjejakkan kakinya, dan berkata لبيك اللهم لبيك , maka seruan itu akan disahut oleh penduduk langit لالبيك ولاسعديك زادك حرام وراحلتك حرام وحجك غير مبرور

Berkata Ibnu Abbas rhm :

"لا يقبل الله صلاة امرئ في جوفه حرام"

Maksudnya : Tidak diterima solat seseorang yang ada pada dirinya perkara yang haram. 

6) Diantara ibadah yang mulia yang mendekatkan diri kepada Allah swt ialah berdoa.

Allah swt berfirman :

( وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ )
(وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ )


Ayat di atas menunjukkan perintah daripada Allah swt agar kita memperbanyakkan berdoa dan sentiasa berdoa.


Baginda Nabi saw bersabda :


"الدعاء هو العبادة"
Maksudnya : Doa itu ialah Ibadah

Antara sebab doa seseorang itu diterima disisi Allah swt ialah :

i-  Berpegang teguh dengan sunnah

Baginda Nabi Saw bersabda :
(إن الله أمر المؤمنين بما أمر به المرسلين)

ii- Mereka yang dalam pemusafiran yang baik
iii-Doa yang diulang-ulang
iv-Memperelokkan makanan dan minuman

Baginda Nabi Saw bersabda :
(يا سعد أطب مطعمك تجب دعوتك)

v- Ikhlaskan niat dan kuatkan keyakinan

Baginda Nabi Saw bersabda :
(دعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة، واعلموا أن الله لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاه)

vi-Menjaga ibadah yang fardhu dan yang sunnah

Baginda Nabi Saw bersabda :
(تعرف إلى الله في الرخاء يعرفك في الشدة)

7) Perkara yang menghalang doa diterima :

i-   Makan, minum, dan pakai dari sumber yang haram
ii-  Meminta disegerakan makbul, tidak sabar dalam meminta
iii- Meminta perkara yang tidak baik dan maksiat

Baginda Nabi saw bersabda :
"لايزال يستجاب للعبد ما لم يدع بإثم أو قطيعة رحم"

iv- Meninggalkan amal makruf dan nahi mungkar

Baginda Nabi saw bersabda :
"والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله أن يبعث عليكم عذابا منه ثم تدعونه فلا يستجيب لكم"

iv- Tidak merendah diri dan khusyuk

Allah swt berfirman :
(ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعاً وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ).

v-  Mensyirikkan Allah dalam berdoa


8) Sunnat-sunat dan adab dalam berdoa

i-    Bersuci
ii-   Menghadap kiblat
iii-  Mengangkat kedua tangan
iv-  Puji-pujian kepada Allah
v-   Selawat dan salam ke atas Rasul
vi   Membaca doa yang warid
vii- Bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah serta amalan orang soleh
viii-Keyakinan dalam bedoa / husnu zhon
ix-   Hadirkan hati / khusyuk

9) Waktu mustajab doa

i-    Sujud dalam solat
ii-   1/3 malam
iii-  Antara azan dan iqomah
iv-  Ketika turun hujan
v-   Ketika musafir
vi-  Jihad fi sabilillah
vii- Hari jumaat / akhir hari jumaat antara asar dan maghrib
viii-Hari di arafah / wuquf
ix-  Lailatul qadar
x-   Ketika berbuka puasa
 
10) Bertawassul dalam berdoa kepada Allah

i-  Boleh bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah swt
ii- Tawassul dengan iman, dan amal soleh yang dilakukan
iii-Bertawassul dengan orang soleh dan aulia Allah

Waallahu 'alam

Jumaat, 12 Disember 2014

Berjiwa Besar & Menjaga Kemuliaan Agama


Bismillah…

1) Diceritakan pada suatu hari, Khalifah Harun al-Rashid mengutuskan pegawainya untuk bertemu dengan Imam Malik r.a agar menyampaikan pesanan dan hajatnya supaya Imam Malik r.a datang ke istananya dan mengajar Hadith-hadith dari kitab Muwattho’ yang dikarangnya. Utusan tadi pun pergi menemui Imam Malik r.a dan menyampaikan pesanan Khalifah. Lalu dijawab oleh Imam Malik r.a kepada utusan Khalifah “Sekiranya tuan Khalifah hendak mempelajari hadith-hadith, jemputlah dating ke Masjid Nabawi”. Imam Malik r.a enggan mendatangi ke istana sebaliknya menyuruh Khalifah Harun al-Rashid untuk dating ke pengajian yang sentiasa dijalankan di Masjid Nabawi.

“Sesungguhnya Ilmu itu hendaklah dicari dan didatangi bukan tunggu ilmu itu mendatangi kita”.

Mendengar jawapan Imam Malik r.a, maka Khalifah Harun al-Rashid telah memerintahkan agar semua pegawai-pegawainya dating ke Masjid Nabawi untuk menghadiri pengajian hadith bersama Imam Malik r.a. Diceritakan bahawa pada hari pengajian hendak dilangsungkan terdapat lebih 700 tunggangan (kenderaan) yang digunakan oleh pegawai-pegawai Khalifah Harun al-Rashid diletakkan disekitar Masjid Nabawi.

Sementara menantikan ketibaan Imam Malik, Harun al-Rashid yang turut hadir di dalam majlis ilmu tersebut meminta kepada pegawai-pegawainya menyediakan suatu tempat khusus untuknya dan pegawai-pegawai kanannya. Lalu disediakan tempat khas yang agak tinggi sedikit (yang boleh dilihat oleh orang ramai) untuk Khalifah Harun al-Rashid bersama pegawai-pegawai kanannya.

Setelah menunggu beberapa waktu, masuklah Imam Malik r.a untuk mengajar dan memulakan pengajian. Di saat pengajian bermula, Imam Malik r.a seperti biasa memulakan dengan puji-pujian kepada Allah swt dan Selawat serta Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Nabi saw, kemudian Imam Malik terlebih dahulu menceritakan adab dan akhlak dalam menuntut ilmu serta kewajipan bagi seseorang yang ingin menuntut ilmu itu, terlebih dahulu dia memuliakan ilmu lebih daripada diri dan kedudukannya. Mendengar syarahan Imam Malik r.a itu, Khalifah Harun al-Rashid menjadi malu lalu sedikit demi sedikit turun dari tempat yang tinggi yang disediakan khas untuknya tadi dan duduk sama rendah dengan pegawai-pegawainya dan penuntut-penuntu ilmu yang lain.

Itulah yang dikehendaki oleh Imam Malik r.a agar Khalifah Harun al-Rashid duduk sama rendah dengan penuntut-penuntut ilmu yang lain.

Sesungguhnya mereka yang hadir dalam majlis ilmu itu mempunyai kelebihan yang berbea serta qudrah yang berlainan. Orang yang hadir, tidak sama dari segi kekuatan daya fikir, ingatan, pemahaman, dan sebagainya. Justeru, sesiapa yang terlebih dahulu bertawadhuk dengan ilmu nescaya dia akan mendapat kebaikan dan dikurnaikan kefahaman.


2) Diceritakan suatu hari Raja Bukhara meminta agar Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari hadir ke Istana untuk mengajarkan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab karangannya al-Jamik al-Sohih.

Lalu Imam al-Bukhari enggan hadir ke Istana dan meminta sekiranya Sang Raja yang berkehendak kepada mempelajari hadith, maka sang Rajalah yang perlu hadir dan datang kepadanya, sekiranya tidak mahu terpulanglah kepada tuan Raja. Raja boleh sekat kelas-kelas pengajian Imam al-Bukhari atau terpulang kepadanya untuk  berbuat apa sahaja (mungkin menarik tauliah J ). Aku akan ikut dan taat, tetapi nanti aku juga akan meminta tuan Raja untuk jawab dihadapan Allah swt kenapa aku disekat dan dihukum.


3) Diceritakan pada suatu masa tentera parsi telah bersiap sedia untuk menyerang umat Islam. Lalu mendengar perkhabaran tersebut, Raja Zahir Babras mengarahkan tentera umat Islam untuk membuat persiapan dan semboyan jihad dilancarkan. Namun tentera umat Islam masih tidak mempunyai kelengkapan yang cukup. Lalu Raja Zahir mengumpulkan semua para ulamak dan meminta pandangan agar dikeluarkan fatwa membolehkan baginya mengenakan cukai kepada rakyat untuk menanggung kos ketenteraan, membeli senjata dan sebagainya. Lalu semua ulamak ketika itu bersetuju dan mengeluarkan fatwa akan keharusan untuk Raja mengenakan cukai kepada rakyatnya untuk menghadapi peperangan dan jihad.

Namun, ketika tida giliran Imam al-Nawawi rhm, Imam al-Nawawi mengharamkan dan tidak membenarkan sang Raja mengenakan cukai kepada rakyat. Imam al-Nawawi dengan tegas menyatakan, keharusan itu boleh dilakukan sekiranya Sang Raja terlebih dahulu mengeluarkan kekayaan-kekayaan dan kemewahan yang ada di dalam istana untuk mencukupi keperluan jihad. Imam al-Nawawi meminta agar dayang-dayang istana yang memakai barang kemas, menanggalkan emas dan perhiasan mereka. Kenyataan Imam al-Nawawi ini telah menyebabkan Raja Zahir murka dan memerintahkan agar Imam al-Nawawi dihalau keluar dari Dimasq.

Imam al-Nawawi pun keluar dari Dimasq dan kembali ke kampungnya Nawa. Fatwa imam al-Nawawi dan kembalinya ke Nawa telah menyebabkan berlaku kekecohan dan buah mulut dikalangan para ulamak agar membuat kajian dan pandangan semula tentang fatwa yang mereka sepakat keluarkan yang berlainan dengan Imam al-Nawawi rhm. Akhirnya mereka bersepakat menyatakan bahawa fatwa imam al-Nawawi itu benar dan tepat dan mereka tersilap.

Maka, diutuskan beberapa orang untuk bertemu dengan imam al-Nawawi di kampungnya Nawa dan memujuknya agar Imam al-Nawawi kembali ke Dimasyq dan mengajar di sana. Lalu dijawab oleh Imam al-Nawawi “aku bersumpah, selagi Raja Zahir masih hidup, aku tidak akan kembali ke Dimasyq”. Tidak sampai sebulan, Raja Zahir mati dan penduduk Dimasyq mendapat manfaat dengan kembalinya Imam al-Nawawi ke Dimasyq.

3 cerita di atas ini diceritakan oleh Yang dikasihi TG Syeikhuna Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari Hafizhohullah di Masjid al-Azhar Kuis, Selangor.

Muliakanlah Ilmu dan letakkanlah para ulamak itu ditempat dan kedudukan yang mulia. Kita tidak akan mendapat ilmu dan agama sekiranya tidak ada para ulamak yang berjuang dan bersungguh menyampaikan risalah Nabi saw dari satu zaman ke satu zaman.

Sesungguhnya Ulamak itu adalah pewaris Nabi yang takut kepada Allah swt.

Waallahu a’lam.

Ziarah-menziarahi

Bismillah..
Kitab Riyadu al-Solihin, Bab 45 : Ziarah orang yang baik, Majlis mereka, Bersahabat dengan mereka, mencintai mereka. Dan tuntutan menziarahi mereka dan meminta doa daripada mereka dan menziarahi tempat yang baik.
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda maksudnya :
“Siapa yang mendatangi orang sakit dan meniarahi saudaranya kerana Allah swt, Malaikat akan menyeru (berdoa) semoga Allah memperluaskan rezekinya dan diberikan dengan ganjaran yang baik serta ditempatkan di syurga”.- Hadith Hasan, riwayat Imam al-Tirmizi rhm.
Diriwayatkan, selepas kewatan Rasulullah saw, Sayyidina Abu Bakr al-Sidq dan Sayyidina Umar al-Khattab r.hm telah menziarahi Sayyidatina Ummu Aiman. Ketika menziarahi Sayyidatina Ummu Aiman, di dapati beliau sedang menangis. Lalu ditanya “Kenapa kamu menangis wahai Ummu Aiman, adakah kamu bersedih dengan kewafatan Nabi saw?”. Lalu Sayyidatina Ummu Aiman menjawab : “Aku bersedih dengan kewafatan Nabi saw, tetapi aku menangis ini kerana mengenangkan wahyu yang telah terputus”. Lalu Sayyidina Abu Bakar al-Sidq dan Sayyidina Umar al-Khattab r.hm turut menangis.
Suatu hari ditanya kepada Habibana Umar bin Salim Ben Hafidz Hafizhohullah “kenapa habib sering menziarahi maqam dan tanah perkuburan?, membuat majlis-majlis hol  (memperingati kematian-kematian ulamak terdahulu)”. Lalu dijawab oleh Habibana Umar “ Dengan menziarahi orang yang mati itu akan menghidupkan hati yang mati, sedangkan mendatangi orang yang hidup itu banyak mematikan hati”.
Diriwayatkan bahawa, Sayyidina Umar al-Khattab r.a berjalan jauh untuk menziarahi Sayyidina Uwais bin ‘Amir al-Qarani r.a semata-mata untuk meminta doa daripada Sayyidina Uwais r.a dan ingin mengambil kesempatan dengan kemulian dan keberkatan yang ada padanya. Sedangkan Ijmak ulamak menyatakan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab r.a adalah lebih afdhal kedudukannya daripada Sayyidina Uwais al-Qarani r.a.
Baginda Nabi saw pernah meminta berkata kepada Sayyidina Umar al-Khattab: “Jangan kamu lupa kepada kami dalam doamu wahai saudaraku”.
Diumpamakan mereka yang duduk dengan orang soleh itu umpama duduk mereka dengan penjual minyak wangi, walaupun tidak dibeli, tetapi harumannya dapat dimanfaati. Sebaliknya diumpakan mereka yang duduk dengan orang yang jahat itu umpama duduknya mereka dengan tukang besi, walaupun tidak menempa besi, tetapi bau busuknya akan tetap terkena padanya.
Diriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu Umar r.hm sering pergi ke Masjid Quba pada setiap hari sabtu kerana itulah yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw dimasa hayat Baginda saw.
Diceritakan bahawa, pada suatu hari Imam Abu Hanifah r.a terserempak dengan seorang anak kecil yang berjalan dengan mengenakan sepatu (terompah) kayu. Lalu Imam Abu Hanifah pun berkata kepada anak kecil itu “Hati-hati wahai anak kecil dengan sepatu kayumu itu, jangan sampai kau tergelincir jatuh”.
Anak kecil itupun tersenyum dan mengucapkan terima kasih atas pemerhatian Imam Abu Hanifah.
Anak kecil itu pun bertanya “Boleh saya tahu nama tuan?”. Lalu dijawab oleh Imam Abu Hanifah “Namaku Nukman”. Anak kecil itu pun berkata “Jadi tuanlah yang selama ini terkenal dengan gelaran al-Iman al-‘Azhom itu?”. Jawab Imam Abu Hanifah dengan tawadhuk “Bukan aku yang  member gelaran itu, tetapi masyarakat yang berprasangka baik kepada ku dan memberikan ganjaran itu padaku”.
Anak kecil itu berkata “Wahai Imam, hati-hati dengan gelaranmu itu, jangan sampai tuan tergelincir ke neraka dengan gelaran itu. Sepatu kayuku ini mungkin hanya menggelincirkan aku di dunia, tetapi gelaran mu itu dapat menjerumuskanmu ke dalam api neraka yang kekal, jika kesombongan an keangkuhan menyertaimu”.
Imam Abu Hanifah terkedu dan tersungkur menangis sambil bersyukur. Siapa sangka peringatan itu dating dari lidah seorang anak kecil yang mantap iman dan akidahnya pada janji-janji Allah swt. Betapa ramai manusia yang tertipu kerana pangkat, jawatan, dan jabatannya. Tertipu kerana kedudukan dan maqamnya. Jangan jadikan gelaran di dunia untuk keangkuhan diri.
Hidup ini manusia ini sering lalai, leka dan tertarik dengan dunia sehingga lupa kepada Allah swt. Justeru , apa yang dinyatakan adalah cara untuk kita memperkukuhkan hati dan iman kita dengan cara sentiasa menziarahi orang-orang soleh, duduk dalam majlis yang baik-baik, menziarahi orang sakit, menziarahi kubur, meminta doa kebaikan daripada mereka yang soleh, para ulamak dan aulia, serta menghadirkan diri ditempat-tempat yang baik dan barakah.
Wallahu’alam