Selasa, 9 September 2014

Alam Barzakh - Bhg 1




1.    Soalan : Apakah “Alam Barzakh”?

Jawapan :

“Alam Barzakh”  ialah pemisah. Alam Barzakh merupakan sebuah alam yang mula-mula di tempuh antara alam-alam Akhirat, dan dinamakan juga sebagai “Alam Kubur”. Alam Kubur merupakan alam yang dilalui oleh orang yang telah mati dan akan berpanjangan hingga hari kiamat.

Allah SWt berfirman dalam surah al-Mukmin, ayat 46 :

Ertinya : Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut- pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat- beratnya!"
Ada yang diseksa dan ada yang dilepaskan dari seksaan kubur. Ada yang disoal oleh Mungkar dan Nangkir dan ada yang tidak. Ada yang dibuka pintu neraka dan ruhnya diseksa. Ada yang dibuka pintu syurga dan ruhnya diberi nikmat. Ada yang menghadapi fitnah kubur (Dihimpit).

Imam Mujahid berkata :

" الـبـرزخ  هـو  الــحـاجـز  مـا  بـيـن  الـدنـيـا  و  الآخـرة  "
Ertinya : Alam Barzakh itu tembok pemisah di antara Dunia dan Akhirat.

Alam Barzakh juga diumpamakan suatu garisan yang menceraikan antara bayangan dan matahari, dan garisan yang menceraikan antara air tawar dengan air masin. Allah SWT berfirman :

مَرَجَ البَحرَينِ يَلتَقِيَانِ (19)
Ertinya : “Dia membiar (melepaskan) dua lautan mengalir yang keduanya (kemudian) bertemu (antara laut air masin dengan air tawar di muka kuala) antara keduanya ada batas (benteng) yang tidak dilampaui oleh masing-masing”.
(Surah Ar-Rahman : 19)

Tiadalah yang satu melampaui yang lain sehingga bercampur antara keduanya.  Demikianlah ibarat Alam Barzakh itu. Alam Barzakh merupakan alam di antara Alam Dunia dan Alam Akhirat . Disitulah manusia akan menetap dan menjalani kehidupan yang tiada lagi amal melainkan perhitungan kecil sementara menunggu saat dibangkitkan semula ke Alam Akhirat untuk perhitungan yang lebih besar.

Firman Allah SWT :

Ertinya : (Orang kafir itu) hingga apabila seseorang mereka didatangi kematian dia berkata : “ Wahai Tuhanku, kembalikan aku agar aku berbuat baik dalam perkara yang telah aku lalaikan”, sesekali tidak, sesungguhnya itu sekadar perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada Barzakh (kehidupan baru yang membatasi antara Dunia dan Akhirat) sampai hari mereka dibangkitkan.
(Surah Al-Mukminuun : 99-100)

2. Soalan :Apakah yang berlaku setelah seseorang itu meninggal dunia?  Badannya ? Rohnya?

Jawapan :

Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka badan (jasad) dan roh akan berpisah. Dalam erti kata yang lain,  Jasad akan mati, kaku dan tidak lagi bernyawa, tetapi roh yang keluar dari jasad itu kekal dan ia hanya berpindah dari alam dunia ke Alam Barzakh.

Imam al-Ghazali menyatakan : Mati itu ibarat menghentikan pergerakan semua sekali anggota, sedangkan segala anggota itu adalah menjadi alat, manakala roh mempergunakannya untuk kepentingannya.

Ibnu Arabi pula menyatakan : orang-orang yang mati itu ialah orang yang berpindah, sedangkan hidupnya masih kekal, tidak musnah, cuma yang hilang itu ialah Pemerintah (Wali iaitu Roh) daripada kerajaannya (Kerajaan Badan), di mana Allah SWT telah menyerahkan kepada Roh mentadbir Badan dalam masa pemerintahannya. Dan bila telah tamat tempoh masa pemerintahannya, maka terlepaslah kekuasaannya kepada pemerintahannya (Badan) dan kembalilah ia kepada kehidupan yang lain yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Dalam kitab Al-Hikam ada menyatakan : 

"اِنَّكُم خُلِقْتُم لِلأَبَدِ لَكِنَّكُم تَنْتَقِلُوْنَ مِنْ دَارٍ إلى دَارٍ حَتَّى يَسْتَقِرَّ بِكُمُ القَرَارِ.
Ertinya : “Sesungguhnya anda dijadikan untuk hidup kekal, akan tetapi anda pastilah berpindah dari sebuah negeri (alam) ke sebuah negeri (alam) yang lain (menurut perkembangan alam itu : sunnah yang ditetapkan Allah) sehingga anda ditetapkan di negeri yang kekal (Akhirat)”.

Kesimpulannya, bila seseorang itu meninggal dunia, maka akan bercerailah roh dan jasad. Jasad akan mati dan kaku serta keadaannya terserahlah kepada Allah SWT samada dihancurkan atau dipelihara olehNya sebagai kemuliaan atau penghinaan, manakala roh pula akan hidup di alam lain iaitu alam barzakh yang tidak ada lagi kekuasaan baginya untuk menguasai dan mentadbir jasad. Dan roh akan hidup dalam keadaan mendapat nikmat atau azab bergantung kepada amalan kehidupannya di Alam Dunia.

3.  Soalan :Apa yang berlaku di Alam Kubur? Dan bagaimanakah rupa kubur itu kepada orang yang ditanam di dalamnya?

Jawapan :

Rasulullah SAW bersabda :

القَبْرُ اِمَّا رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ اَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Ertinya : Kubur itu samada taman dari taman-taman syurga atau
lubang dari lubang-lubang neraka.

Kubur akan menjadi taman-taman syurga bagi orang yang beriman dan menjadi lubang-lubang neraka bagi mereka yang menderhakai Allah SWT, yang menyekutukannya dengan yang lain.

Dalam sebuah hadith riwayat daripada Imam al-Tirmizi ada menceritakan:

“Kubur itu juga akan ditaqdirkan oleh Allah SWT berkata-kata. Ia akan berkata : Akulah rumah dagang, akulah rumah menyendiri, akulah rumah tanah dan akulah rumah cacing”.

Manakala apabila seseorang mukmin dikuburkan, kubur pun berkata kepadanya :
"Marhaban wa Ahlan  Wasahlan, Engkaulah orang yang paling aku sukai, siapa yang berjalan di atasku (dipermukaan bumi) menuju ke arahku (masuk ke dalam kubur). Hari ini akulah penguasamu dan engkau telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang akan aku lakukan terhadapmu”. Maka pada ketika itu juga, diluaskan kuburnya sejauh mata memandang dan dibukakan pintu baginya menuju ke syurga.

Sementara jika yang dikuburkan itu seorang yang derhaka atau kafir, kubur itu berkata kepadanya : "La Marhaban Wala Ahlan Wasahlan, sesungguhnya engkaulah orang yang paling aku benci, siapa yang pernah berjalan di atasku (dipermukaan bumi) menuju ke arahku (masuk ke dalam kubur). Hari ini akulah penguasamu dan engkau telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang akan aku lakukan terhadapmu”. Lalu pada ketika itu juga, kedua tepi kubur menyempit sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.

Dalam riwayat daripada Ibnu Abi al-Dunya daripada Abdullah bin Ubaid, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya seorang mayat itu ketika berada di dalam kubur dan dia mendengar langkah kaki orang yang menghantarnya. Tidak ada yang lebih awal bercakap dengannya daripada lubang kuburnya. Ia berkata : “betapa kasihannya engkau wahai anak Adam! Bukankah engkau telah diperingatkan supaya berhati-hati tentang diriku, juga tentang kesempitan, himpitan, bau busuk,kengerian dan cacing-cacingku? Sudahkah engkau mempersiapkan diri untuk itu? Dan apa pula yang engkau persiapkan untukku?

Lagi riwayat dari Ibnu Abi al-Dunya dan Ibnu Mandah, daripada Umar bin Zar, dia menyatakan bahawa : “Jika seorang Mukmin memasuki lubang kuburnya, bumi akan berseru : “Apakah dia orang yang taat atau derhaka?”.

Jika dia orang yang soleh, maka akan datang yang berseru dari sudut kubur : “Berubahlah engkau wahai kubur kepada hijau dan jadilah engkau penyayang terhadapnya. Dia adalah benar-benar orang baik bagi Allah dan sebaik-baik hamba yang dikembalikan kepadamu”.

Maka berkatalah bumi : “ sekarang adalah saatnya dia memperolehi kemuliaan”.

Diriwayatkan daripada al-Khatib dalam kitabnya al-Tarikh, dari Yazid al-Raqasyi, beliau menceritakan : “Pernah sampai kepada saya satu berita, bahawa apabila seseorang mayat diletakkan di dalam kuburnya, dia akan dikelilingi oleh amalannya. Kemudian amalan-amalan itu ditaqdirkan oleh Allah dapat bercakap, katanya : “Wahai orang yang bersendirian di dalam kuburnya, telah terputuslah sudah engkau daripada teman-teman dan keluargamu, lalu tidaklah ada lagi yang lebih lemah lembut terhadapmu selain kami (amalannya)”.

Kemudian Yazid pun menangis sambil berkata : “Bahagia dan beruntunglah bagi siapa yang temannya orang soleh, dan celaka bagi siapa yang temannya orang jahat”.

Nabi Saw bersabda :

استغفروا لأخيكم وسلوا له التثبيت فإنه الآن يسأل
Ertinya : Mohonlah kamu keampunan dosa bagi saudara-saudaramu (yang telah meninggal dunia), dan mintalah dari Allah akan keteguhan bagi si mati untuk menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir, kerana pada waktu ini dia sedang disoal.

Kesimpulannya, riwayat-riwayat di atas telah menjelaskan kepada kita tentang keadaan-keadaan yang akan berlalu di  Alam Kubur. Persoalan malaikat Mungkar dan Nakir, seksa dan azab bagi yang derhaka dan menyekutukan Allah, nikmat dan kebahagian bagi mereka yang beriman kepada Allah, kesempitan dan keluasan kubur, semuanya pasti berlaku dan termasuk dalam perkara al-Samiyyat yang wajib diimani.

4.  Soalan :Adakah mereka di Alam Barzakh mengetahui atau menyedari apa yang berlaku di dunia seperti keluarganya?

Jawapan :

Ramai beranggapan, bahawa setelah seseorang meninggal dunia, tidaklah akan ada apa-apa lagi melainkan hanya tinggal kenangan sahaja. Ini sebenarnya satu kesilapan. Kita berbeza alam. Alam bagi kita orang hidup dipanggil Alam Dunia, sementara Alam bagi orang mati dipanggil Alam Barzakh. Di antara dua alam ini, Alam Barzakhlah yang lebih ajaib. Kita di Alam Dunia langsung tidak mempunyai maklumat tentang penghuni Alam Barzakh, sedangkan penghuni-penghuni Alam Barzakh, mereka itu mengetahui hal keadaan kita di Alam Dunia, bahkan lebih mendalam lagi pengetahuan dan pendengaran mereka itu terhadap orang hidup.
Banyak riwayat menerangkan perkara ini antaranya :

Riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik r.h katanya : Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : “Sesungguhnya semua amalan kamu diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kamu yang telah meninggal dunia. Jika amal-amal itu baik, mereka pun merasai gembira, tetapi jika sebaliknya, mereka berdoa : “Ya Allah janganlah engkau matikan mereka sehingga Engkau berikan kepada mereka petunjuk, sebagaimana Engkau telah berikan kepada kami petunjuk”. – Hadith Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi dalam Nawadir al-Usul

Riwayat daripada Abdul Ghafur Bin Abdul Aziz daripada bapanya yang menerima riwayat daripada datuknya katanya: Rasulullah SAW bersabda : “Diperlihatkan segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis kepada Allah dan kepada Para Nabi serta ibu bapa pada hari Jumaat. Mereka senang dan gembira dengan perbuatan-perbuatan yang baik dan menjadikan wajah-wajah mereka tambah berseri-seri. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah dan jangan kamu menyakiti orang-orang yang telah meninggal di antara kamu (dengan amal perbuatan buruk kamu)”.

Dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, al-Marwazi dan Ibn Abi al-Dunya, daripada Abi Said al-Khudri memberitakan bahawa Nabi SAW :

إِنَّ المَيِّتَ يَعْرِفُ مَن يَغْسِلُهُ وَيَحْمِلُهُ وَيَدِيْلُهُ فِي قَبْرِهِ
Ertinya : Sesungguhnya orang yang mati itu mengetahui orang yang memandikannya, orang yang mengusungnya ke kubur, dan mengenal orang yang menurunkannya ke dalam kubur.

Dalam suatu hadith riwayat daripada Saidatina Aisyah r.ha, Rasulullah SAW bersabda :

ما من رجل يزور قبررأخيه ويجلس عليه إلا استأنس به ورد عليه حتى يقوم
Ertinya : Tiadalah seorang lelaki yang menziarahi kubur saudaranya dan ia duduk disampingnya, melainkan saudaranya itu akan merasa terhibur atau beramah mesra dengannya dan dia menjawab salamnya sehingga ia berdiri (berangkat balik).

Hadith Riwayat daripada Abu Daud al-Tayaalisi, daripada Jaabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Baginda Nabi SAW bersabda :

ان اعمالكم تعرض على عشائركم وعلى اقربائكم في قبورهم، فإن كانوا خيرا استبشروا به، وان كان غير ذلك، قالوا : اللهم الهمهم ان يعملوا بطاعتك
Ertinya : Sesungguhnya amalan-amalan kamu itu akan dilaporkan kepada kerabat-kerabat kamu yang sedang di dalam kubur. Seandainya amalan atau perbuatan kamu itu baik, maka mereka akan bergembira dengan sebabnya, sebaliknya jika tidak demikian maka mereka akan berdoa : “Wahai Allah, ilhamkanlah mereka agar mereka beramal atau melakukan ketaatan kepada Engkau”.

Kesimpulannya, mereka yang telah meninggal dan berada di Alam Barzakh mengetahui apa yang dilakukan dan dibuat oleh ahli keluarganya yang berada di Alam Dunia.

Isnin, 8 September 2014

Jawami' al-Kalim

Apa itu Jawami' al-Kalim (جوامع الكلم)? Jawami' al-Kalim merujuk kepada perbahasan Hadith, maka ia membawa maksud "Hadith-hadith atau sabdaan Baginda Nabi saw yang diungkapkan dengan lafaz yang pendek (hanya beberapa patah perkataan sahaja) tetapi mempunyai maksud, huraian, dan perbahasan yang sangat luas. 

Hadith-hadith Jawami' al-Kalim ini terlalu banyak, dan sebenarnya mudah dihafaz sebab kekadang hanya 2 patah perkataan, kekadang ada yang 3 patah perkataan... ringkas dan padat. Jadi, dalam pengisian kali ini, saya hendak kongsikan 5 Hadith yang dikategorikan sebagai Hadith Jawami' al-Kalim. Semoga kita dapat ambil manfaat dan menghafaz sabdaan-sabdaan Baginda Nabi saw ini untuk panduan kehidupan kita. Tetapi syarahnya dan maksudnya yang panjang lebar itu saya tak nak syarah. Tuan-tuan bolehlah cari kitab-kitab yang mensyarahkannya nanti, atau kalau ada kesempatan, saya akan syarah nanti insyaAllah...

Hadith pertama :
 عن أبي هريرة رضي الله عنه، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
 تهادَوا تحابُّوا
-رواه ابو يعلى ، والبخاري في الأدب المفرد ، والبيهقي-

Ertinya : Berikanlah hadiah dan berkasih sayanglah.

Hadith Kedua :
عن ابن عمر رضى الله عنه ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
الحَياءُ من الإيمان
-رواه مسلم ، الترمذي-

Ertinya : Malu itu sebahagian daripada iman.

Hadith Ketiga :

عن ابن عمر رضى الله عنه ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
الدِّين النصيحة
-رواه البزار-

Ertinya : Agama itu nasihat.

Hadith Keempat :
عن أبي موسى رضى الله عنه ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
الصَّبر رضا
-رواه الحاكم-

Ertinya : Sabar itu redha.

Hadith Kelima :
عن جابر رضى الله عنه ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
كلُّ معروفٍ صدقةٌ
 -رواه البخاري-

 Ertinya : Tiap yang baik itu sedekah.

p/s : Semoga apa yang dikongsikan ini dapat sama-sama kita mengambil manfaat, menghafal dan memahami maksudnya. Jadikan sabdaan Nabi saw ini sebagai panduan kehidupan kita semoga berbahagia kehidupan dunia akhirat kita...

Ahad, 7 September 2014

Kelebihan Surah Yaasiin

Amalan turun temurun yang dianjurkan oleh tok-tok guru dan orang tua-tua zaman dahulu yang sehingga sekarang masih diteruskan amalannya pada setiap Khamis malam Jumaat ialah bacaan surah Yaasiin. Ia merupakan amalan BID'AH yang HASANAH (baik).

Saya ingin berkongsi akan Hadith-hadith kelebihan surah Yaasiin dan sebahagian daripada pandangan para ulamak tentang kehebatan dan mukjizat surah Yaasiin.


Hadith Pertama :

Riwayat daripada Sayyidina Anas r.a, Rasulullah saw bersabda :


"إن لكل شيء قلبا ، وقلب القرآن يس ، ومن قرا يس كتب الله له قراءتها قراءة القرآن عشر مرات

Ertinya : Sesungguhnya bagi tiap sesuatu itu ada hati, maka hati bagi al-Quran ialah surah Yaasiin. Sesiapa yang membaca surah Yaasiin, Allah swt akan menulis baginya dengan bacaan surah Yaasin itu seumpama ia membaca al-Quran 10 kali. 

- Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Abu Isa al-Tirmizi. Terdapat juga riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. dengan sanad yang lain. Hadith ini dikatakan Hadith Gharib dengan sanad yang Dhoif.

Hadith Kedua :

Riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda :

"من قرأ يس في ليلة أصبح مغفورا له ، ومن قرأ حم التي يذكر فيها الدخان أصبح مغفورا له"

Ertinya : Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada malam hari, bangkit ia dalam keadaan diampunkan dosa baginya. dan barang siapa yang membaca surah Dhukhan, bangkit ia dalam keadaan diampunkan dosa baginya.

- Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hafidz Abu Ya'la dengan sanad yang baik. Terdapat juga riwayat yang mempunyai maksud yang sama tetapi lafaz yang sedikit berbeza yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dalam sohihnya, daripada Jundub bin Abdullah r.a, Rasulullah saw bersabda :

"من قرأ يس في ليلة ابتغاء وجه الله عز وجل غفر له
Ertinya : Sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam hari dengan tujuan mengharap redha Allah, diampunkan dosa baginya.

Hadith Ketiga :

Riwayat daripada Ma'kil bin Yasaar r.a, Rasulullah saw bersabda :

إقرءوها على موتاكم -أي يس

Ertinya : Bacalah kamu akannya (surah Yaasiin) ke atas orang yang mati dikalangan kamu.

- Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, dan al-Nasaie.

 
Kelebihan surah Yaasin ini juga disebut oleh para ulamak, seperti yang dinaqalkan oleh Imam Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya :

Pertama :

انها لا تقرأ عند أمر عسير إلا يسره الله تعالى 

Maksudnya : Sesiapa yang membaca Yaasin ketika dalam kesusahan, nescaya Allah swt akan memudahkan urusan baginya.

Kedua :

قراءتها عند الميت لتنزل الرحمة والبركة

Maksudnya : sekiranya dibaca pada jenazah, nescaya akan diturunkan Rahmat dan Keberkatan.

Ketiga :

ليسهل عليه خروج الروح

Maksudnya : Untuk memudahkan keluarnya ruh (ke atas orang yang sedang nazak)

والله أعلم

Kesimpulannya

Membaca Yaasin seperti yang dibuat di Masjid dan Surau atau tempat-tempat tertentu di malam Jumaat itu suatu yang sangat baik dan ada asasnya walaupun dikatakan Bid'ah, maka ia termasuk dalam kategori BID'AH HASANAH. Walaupun hari Jumaat disunatkan membaca Surah al-Kahfi, namun membaca surah Yaasin pada malamnya juga tidaklah dilarang dan terdapat nas dan dalil secara umum "bagi sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam hari akan dibangkitkan dalam keadaan diampuni dosa-dosanya". 

Alangkah beruntungnya mereka yang terus menerus membaca surah Yaasin pada malam Jumaat dengan harapan dibangkitkan pada pagi penghulu segala hari iaitu hari Jumaat dengan diampunkan dosa-dosanya, kemudian disambung terus dengan amalan-amalan sunat Jumaat seperti subuh berjemaah dengan membaca surah al-Sajadah, kemudian berwirid dan membaca surah al-Kahfi yang disunatkan untuk menghidari fitnah Dajjal, memperbanyakkan Salam dan Selawat ke atas Baginda Rasulullah saw, dan lain-lain amalan sunat Jumaat.

Semoga kita semua dapat mengambil manfaat... teruskan beramal semoga diberkati...


Rujukan : Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 3, Surah Yaasin

Khamis, 4 September 2014

Mutiara Hikmah

Hari ini, terlalu banyak fahaman yang mengelirukan, sehingga fahaman yang benar iaitu Akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah juga jadi keliru dek kerana masing-masing menyatakan diri mereka ASWJ. Ramai yang bertanya, mana satu yang betul? Memang sukar untuk dijawab dalam dunia yang serba sarat dengan fitnah ini. Apa pun jom perhalusi dan fahami kata ulamak di bawah ini :

"Pertemuan dengan PARA ULAMAK dan mempunyai guru yang banyak akan memberikan kemampuan kepada penuntut ilmu untuk membezakan istilah yang dianggap berbeza dalam kalangan mereka. Ia akan dapat membebaskan mereka daripada perkara tersebut dan ia akan sedar bahawa istilah-istilah tersebut merupakan kaedah pembelajaran dan jalan untuk mencapai keberhasilan".

أن الرحلة في طلب العلوم ولقاء المشيخة ومزيد كمال في التعليم

 p/s : Berjalanlan mencari guru, pilihlah guru, mintalah petunjuk dariNya agar tidak tersalah memilih guru. ASWJ ada gurunya, AHBASH ada gurunya, WAHABI ada gurunya, SYIAH ada gurunya, LIBERAL ada gurunya... Celaka binasalah iman dan akidah jika tersalah memilih guru...

Rabu, 3 September 2014

Jadual Kuliah 1435 / 2014

Berkata Imam Ibnu Khaldun :

أن الرحلة في طلب العلوم ولقاء المشيخة ومزيد كمال في التعليم
Sesungguhnya perjalanan menuntut ilmu dan menemui para ulamak dapat menambah kesempurnaan belajar

Saya mengajar bukan untuk mengajar, tetapi mengajar saya untuk belajar... Saya datang bukan untuk mengajar, tetapi datang saya untuk menumpang barakah orang-orang soleh...

Salam Perkenalan

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Ukhuwah dan salam persahabatan...

Nama diberi Mohd Hafiz Bin Mansor , dilahirkan di Johor Bahru Johor, Sekarang menetap di Bandar Putra Kulaijaya. dan telah berkhidmat di Jabatan Mufti Johor, Unit Istinbat Bahagian Fatwa (2008-2014). Aktif menyampaikan kuliah, ceramah, pengajian berkitab di sekitar Johor Bahru.

Akidah bermazhab Asyairah wa Maturidiah, Feqh bermazhab Syafie, Akhlak dan Tasawufnya bermazhab Imam al-Ghazali rhm

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir (2002-2006)

Telah mendirikan rumah tangga dengan kekasih hati Siti Raudah binti Mohamad empunya blogspot raudhahmuhamad.blogspot.com