Bismillah…
1) Diceritakan pada suatu hari,
Khalifah Harun al-Rashid mengutuskan pegawainya untuk bertemu dengan Imam Malik
r.a agar menyampaikan pesanan dan hajatnya supaya Imam Malik r.a datang ke istananya
dan mengajar Hadith-hadith dari kitab Muwattho’ yang dikarangnya. Utusan tadi
pun pergi menemui Imam Malik r.a dan menyampaikan pesanan Khalifah. Lalu
dijawab oleh Imam Malik r.a kepada utusan Khalifah “Sekiranya tuan Khalifah
hendak mempelajari hadith-hadith, jemputlah dating ke Masjid Nabawi”. Imam
Malik r.a enggan mendatangi ke istana sebaliknya menyuruh Khalifah Harun
al-Rashid untuk dating ke pengajian yang sentiasa dijalankan di Masjid Nabawi.
“Sesungguhnya Ilmu itu hendaklah
dicari dan didatangi bukan tunggu ilmu itu mendatangi kita”.
Mendengar jawapan Imam Malik r.a,
maka Khalifah Harun al-Rashid telah memerintahkan agar semua pegawai-pegawainya
dating ke Masjid Nabawi untuk menghadiri pengajian hadith bersama Imam Malik
r.a. Diceritakan bahawa pada hari pengajian hendak dilangsungkan terdapat lebih
700 tunggangan (kenderaan) yang digunakan oleh pegawai-pegawai Khalifah Harun
al-Rashid diletakkan disekitar Masjid Nabawi.
Sementara menantikan ketibaan
Imam Malik, Harun al-Rashid yang turut hadir di dalam majlis ilmu tersebut meminta
kepada pegawai-pegawainya menyediakan suatu tempat khusus untuknya dan
pegawai-pegawai kanannya. Lalu disediakan tempat khas yang agak tinggi sedikit
(yang boleh dilihat oleh orang ramai) untuk Khalifah Harun al-Rashid bersama pegawai-pegawai
kanannya.
Setelah menunggu beberapa waktu,
masuklah Imam Malik r.a untuk mengajar dan memulakan pengajian. Di saat
pengajian bermula, Imam Malik r.a seperti biasa memulakan dengan puji-pujian
kepada Allah swt dan Selawat serta Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Nabi
saw, kemudian Imam Malik terlebih dahulu menceritakan adab dan akhlak dalam
menuntut ilmu serta kewajipan bagi seseorang yang ingin menuntut ilmu itu,
terlebih dahulu dia memuliakan ilmu lebih daripada diri dan kedudukannya. Mendengar
syarahan Imam Malik r.a itu, Khalifah Harun al-Rashid menjadi malu lalu sedikit
demi sedikit turun dari tempat yang tinggi yang disediakan khas untuknya tadi
dan duduk sama rendah dengan pegawai-pegawainya dan penuntut-penuntu ilmu yang
lain.
Itulah yang dikehendaki oleh Imam
Malik r.a agar Khalifah Harun al-Rashid duduk sama rendah dengan
penuntut-penuntut ilmu yang lain.
Sesungguhnya mereka yang hadir
dalam majlis ilmu itu mempunyai kelebihan yang berbea serta qudrah yang
berlainan. Orang yang hadir, tidak sama dari segi kekuatan daya fikir, ingatan,
pemahaman, dan sebagainya. Justeru, sesiapa yang terlebih dahulu bertawadhuk
dengan ilmu nescaya dia akan mendapat kebaikan dan dikurnaikan kefahaman.
2) Diceritakan suatu hari Raja
Bukhara meminta agar Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari hadir ke Istana untuk
mengajarkan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab karangannya al-Jamik
al-Sohih.
Lalu Imam al-Bukhari enggan hadir
ke Istana dan meminta sekiranya Sang Raja yang berkehendak kepada mempelajari
hadith, maka sang Rajalah yang perlu hadir dan datang kepadanya, sekiranya
tidak mahu terpulanglah kepada tuan Raja. Raja boleh sekat kelas-kelas
pengajian Imam al-Bukhari atau terpulang kepadanya untuk berbuat apa sahaja (mungkin menarik tauliah J ). Aku akan ikut dan
taat, tetapi nanti aku juga akan meminta tuan Raja untuk jawab dihadapan Allah
swt kenapa aku disekat dan dihukum.
3) Diceritakan pada suatu masa
tentera parsi telah bersiap sedia untuk menyerang umat Islam. Lalu mendengar
perkhabaran tersebut, Raja Zahir Babras mengarahkan tentera umat Islam untuk
membuat persiapan dan semboyan jihad dilancarkan. Namun tentera umat Islam
masih tidak mempunyai kelengkapan yang cukup. Lalu Raja Zahir mengumpulkan
semua para ulamak dan meminta pandangan agar dikeluarkan fatwa membolehkan
baginya mengenakan cukai kepada rakyat untuk menanggung kos ketenteraan,
membeli senjata dan sebagainya. Lalu semua ulamak ketika itu bersetuju dan
mengeluarkan fatwa akan keharusan untuk Raja mengenakan cukai kepada rakyatnya
untuk menghadapi peperangan dan jihad.
Namun, ketika tida giliran Imam
al-Nawawi rhm, Imam al-Nawawi mengharamkan dan tidak membenarkan sang Raja
mengenakan cukai kepada rakyat. Imam al-Nawawi dengan tegas menyatakan,
keharusan itu boleh dilakukan sekiranya Sang Raja terlebih dahulu mengeluarkan
kekayaan-kekayaan dan kemewahan yang ada di dalam istana untuk mencukupi
keperluan jihad. Imam al-Nawawi meminta agar dayang-dayang istana yang memakai
barang kemas, menanggalkan emas dan perhiasan mereka. Kenyataan Imam al-Nawawi
ini telah menyebabkan Raja Zahir murka dan memerintahkan agar Imam al-Nawawi
dihalau keluar dari Dimasq.
Imam al-Nawawi pun keluar dari
Dimasq dan kembali ke kampungnya Nawa. Fatwa imam al-Nawawi dan kembalinya ke
Nawa telah menyebabkan berlaku kekecohan dan buah mulut dikalangan para ulamak
agar membuat kajian dan pandangan semula tentang fatwa yang mereka sepakat
keluarkan yang berlainan dengan Imam al-Nawawi rhm. Akhirnya mereka bersepakat
menyatakan bahawa fatwa imam al-Nawawi itu benar dan tepat dan mereka tersilap.
Maka, diutuskan beberapa orang
untuk bertemu dengan imam al-Nawawi di kampungnya Nawa dan memujuknya agar Imam
al-Nawawi kembali ke Dimasyq dan mengajar di sana. Lalu dijawab oleh Imam
al-Nawawi “aku bersumpah, selagi Raja Zahir masih hidup, aku tidak akan kembali
ke Dimasyq”. Tidak sampai sebulan, Raja Zahir mati dan penduduk Dimasyq
mendapat manfaat dengan kembalinya Imam al-Nawawi ke Dimasyq.
3 cerita di atas ini diceritakan
oleh Yang dikasihi TG Syeikhuna Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari Hafizhohullah
di Masjid al-Azhar Kuis, Selangor.
Muliakanlah Ilmu dan letakkanlah
para ulamak itu ditempat dan kedudukan yang mulia. Kita tidak akan mendapat
ilmu dan agama sekiranya tidak ada para ulamak yang berjuang dan bersungguh
menyampaikan risalah Nabi saw dari satu zaman ke satu zaman.
Sesungguhnya Ulamak itu adalah
pewaris Nabi yang takut kepada Allah swt.
Waallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan