Bismillah..
Kitab Riyadu al-Solihin, Bab 45 : Ziarah orang yang baik,
Majlis mereka, Bersahabat dengan mereka, mencintai mereka. Dan tuntutan
menziarahi mereka dan meminta doa daripada mereka dan menziarahi tempat yang
baik.
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda
maksudnya :
“Siapa yang mendatangi orang sakit dan meniarahi saudaranya
kerana Allah swt, Malaikat akan menyeru (berdoa) semoga Allah memperluaskan
rezekinya dan diberikan dengan ganjaran yang baik serta ditempatkan di syurga”.-
Hadith Hasan, riwayat Imam al-Tirmizi rhm.
Diriwayatkan, selepas kewatan Rasulullah saw, Sayyidina Abu
Bakr al-Sidq dan Sayyidina Umar al-Khattab r.hm telah menziarahi Sayyidatina
Ummu Aiman. Ketika menziarahi Sayyidatina Ummu Aiman, di dapati beliau sedang
menangis. Lalu ditanya “Kenapa kamu menangis wahai Ummu Aiman, adakah kamu
bersedih dengan kewafatan Nabi saw?”. Lalu Sayyidatina Ummu Aiman menjawab : “Aku
bersedih dengan kewafatan Nabi saw, tetapi aku menangis ini kerana mengenangkan
wahyu yang telah terputus”. Lalu Sayyidina Abu Bakar al-Sidq dan Sayyidina Umar
al-Khattab r.hm turut menangis.
Suatu hari ditanya kepada Habibana Umar bin Salim Ben Hafidz
Hafizhohullah “kenapa habib sering menziarahi maqam dan tanah perkuburan?,
membuat majlis-majlis hol (memperingati
kematian-kematian ulamak terdahulu)”. Lalu dijawab oleh Habibana Umar “ Dengan
menziarahi orang yang mati itu akan menghidupkan hati yang mati, sedangkan
mendatangi orang yang hidup itu banyak mematikan hati”.
Diriwayatkan bahawa, Sayyidina Umar al-Khattab r.a berjalan
jauh untuk menziarahi Sayyidina Uwais bin ‘Amir al-Qarani r.a semata-mata untuk
meminta doa daripada Sayyidina Uwais r.a dan ingin mengambil kesempatan dengan
kemulian dan keberkatan yang ada padanya. Sedangkan Ijmak ulamak menyatakan
bahawa Sayyidina Umar al-Khattab r.a adalah lebih afdhal kedudukannya daripada
Sayyidina Uwais al-Qarani r.a.
Baginda Nabi saw pernah meminta berkata kepada Sayyidina
Umar al-Khattab: “Jangan kamu lupa kepada kami dalam doamu wahai saudaraku”.
Diumpamakan mereka yang duduk dengan orang soleh itu umpama
duduk mereka dengan penjual minyak wangi, walaupun tidak dibeli, tetapi
harumannya dapat dimanfaati. Sebaliknya diumpakan mereka yang duduk dengan
orang yang jahat itu umpama duduknya mereka dengan tukang besi, walaupun tidak
menempa besi, tetapi bau busuknya akan tetap terkena padanya.
Diriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu Umar r.hm sering pergi ke
Masjid Quba pada setiap hari sabtu kerana itulah yang dilakukan oleh Baginda
Nabi saw dimasa hayat Baginda saw.
Diceritakan bahawa, pada suatu hari Imam Abu Hanifah r.a
terserempak dengan seorang anak kecil yang berjalan dengan mengenakan sepatu
(terompah) kayu. Lalu Imam Abu Hanifah pun berkata kepada anak kecil itu “Hati-hati
wahai anak kecil dengan sepatu kayumu itu, jangan sampai kau tergelincir jatuh”.
Anak kecil itupun tersenyum dan mengucapkan terima kasih
atas pemerhatian Imam Abu Hanifah.
Anak kecil itu pun bertanya “Boleh saya tahu nama tuan?”. Lalu
dijawab oleh Imam Abu Hanifah “Namaku Nukman”. Anak kecil itu pun berkata “Jadi
tuanlah yang selama ini terkenal dengan gelaran al-Iman al-‘Azhom itu?”. Jawab
Imam Abu Hanifah dengan tawadhuk “Bukan aku yang member gelaran itu, tetapi masyarakat yang
berprasangka baik kepada ku dan memberikan ganjaran itu padaku”.
Anak kecil itu berkata “Wahai Imam, hati-hati dengan
gelaranmu itu, jangan sampai tuan tergelincir ke neraka dengan gelaran itu.
Sepatu kayuku ini mungkin hanya menggelincirkan aku di dunia, tetapi gelaran mu
itu dapat menjerumuskanmu ke dalam api neraka yang kekal, jika kesombongan an
keangkuhan menyertaimu”.
Imam Abu Hanifah terkedu dan tersungkur menangis sambil
bersyukur. Siapa sangka peringatan itu dating dari lidah seorang anak kecil
yang mantap iman dan akidahnya pada janji-janji Allah swt. Betapa ramai manusia
yang tertipu kerana pangkat, jawatan, dan jabatannya. Tertipu kerana kedudukan
dan maqamnya. Jangan jadikan gelaran di dunia untuk keangkuhan diri.
Hidup ini manusia ini sering lalai, leka dan tertarik dengan
dunia sehingga lupa kepada Allah swt. Justeru , apa yang dinyatakan adalah cara
untuk kita memperkukuhkan hati dan iman kita dengan cara sentiasa menziarahi
orang-orang soleh, duduk dalam majlis yang baik-baik, menziarahi orang sakit,
menziarahi kubur, meminta doa kebaikan daripada mereka yang soleh, para ulamak
dan aulia, serta menghadirkan diri ditempat-tempat yang baik dan barakah.
Wallahu’alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan