
Ilmu tasawuf bukan ilmu baru, tetapi ilmu ini telah ada sejak zaman Nabi kita Muhammad saw, para sahabat, salafuna soleh, dan berterusan diamalkan oleh ahlinya hingga ke hari ini.
Ilmu Tasawuf yang dipelajari akan membolehkan kita mengetahui kelakuan hati berbanding kelakuan zahir yang sememangnya nampak dipandangan mata kasar.
Kelakuan hati yang baik menjadikan manusia bersifat tawadhuk, menunduk, sentiasa berasa hina dihadapan Allah swt. Menjadikan manusia sabar. Sabar bukan sekadar menahan kemarahan dan ujian, tetapi sabar dengan makna الربط mengikat nafsu dari perbuatan keji dan ianya memerlukan sifat mujahadah yang tinggi.
Ikat Nafsu tidak seperti kita mengikat lembu dan kambing yang nampak ada talinya, tetapi nafsu diikat dengan Iman dana mal yang tidak dapat dilihat dengan zahir.
Tasawuf juga akan mengenalkan kita dengan penyakit-penyakit hati dan sifat-sifat tercela, membesar diri, takabbur, dengki dan sifat-sifat yang dimurkai oleh Allah swt.
Sifat Takabbur dan Berbangga itu hanya sifat yang khusus milik Allah swt dan tidak boleh ada dalam diri manusia, jika ada, ia akan membawa kepada kecelaan dan dosa.
Hati manusia sering berbolak balik sifatnya, dan dalam bahasa arab hati disebut al-Qalb yang membalik atau membolak balik sifatnya. Oleh sebab hati ini sifatnya berbolak balik, maka Nabi saw mengajar kita agar sentiasa berdoa يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا علي دينك وعلي طاعتك memohon keredhaan hidayah petunjuk bimbingan agar hati kita sentiasa ditetapkan oleh Allah swt.
Ada manusia beriman diwaktu siang kufur diwaktu malam dan sebaliknya, ini semua tanda hati manusia itu mudah berbolak balik dan hendaklah kita berdoa dan mohon hidayah dan dijauhi kekufuran.
Allah swt mengutuskan Nabi saw untuk mengajar kita akan tanda-tanda kebesaran Allah swt, menyucikan hati, dan mengajar kita akan al-Kitab seperti yang disebut dalam al-Quran. Manusia sebelum diutuskan Nabi berada dalam kekufuran rosak akidah, rosak syariah dan akhlak, maka Rasulullah saw datang untuk membawa kebenaran memperbetulkan akidah, syariat dan akhlak mereka.
Imam Junaid al-Baghdadi mengatakan ilmu Tasawuf itu ialah ilmu untuk manusia mengambil setiap sifat yang terpuji dan meninggalkan sifat tercela. Imam al-Syibli pula menyatakan ilmu Tasawuf ialah ilmu untuk mengabdikan diri kepada Allah swt tanpa keluh kesah, segala ujian Allah swt beri diterima dengan hati yang redha, sabar dan pasrah.
Faedah mendalami ilmu Tasawuf ialah untuk mengosongkan hati manusia daripada perkara selain Allah swt dan menghiasinya kepada tuhan sekalian alam. Namun ini bukan bererti dunia kita tinggalkan, dunia tetap digunapakai sebagai tempat bercucuk tanam menuju akhirat. Dunia diletak ditangan bukan dihati.
Dalam beribadat, kita hendaklah ada ihsan, iaitu seolah-olah kita melihat Allah swt walapun kita tidak melihat allah swt pada hakikatnya tetapi yakin dan percaya Allah swt maha melihat kita. Dan bagaimana kita melihat ala mini dengan kebesaran Allah swt. Dunia jika bertapak dihati, maka tidak aka nada lagi kebesaran Allah dalam diri manusia, dan manusai akan mula menuju kehancuran disebabkan nafsu yang keji dan akhirnya mendatangkan kecelakaan kepada amal ibadahnya jua.
Hukum mempelajari Ilmu Tasawuf ini adalah fardhu ain, wajib kerana tanpa mempelajari ilmu ini, kita bimbang amal kita akan terhalang dari mendapat pahala dan redha daripada Allah swt. Bimbang amal kita menjadi debu-debu yang beterbangan, yang sia-sia kerana ada penyakit-penyakit hati seperti riak, ujub dan sebagainya.
Rasulullah saw dan para sahabat sangat mementingkan amal hati disamping amal zahir. Rasulullah sentiasa beristighfar dan menghubungkan dirinya dengan Allah swt setiap masa dan bermunajat dimalam hari. Ini sebagai contoh tauladan untuk kita bagaimana menyucikan hati dan membina hubungan batiniah dengan Allah swt.
Ujian sentiasa ada dalam kita mengharungi kehidupan ini, untuk menjaga hati bukan suatu yang mudah, namun kita kena memperbetulkan terlebih dahulu akidah kita, kepercayaan kita, iman kita kepada qada’ dan qadar. Kemudian sentiasa sabar dengan ketentuan yang ditaqdirkan, dan lihatlah kehidupan-kehidupan manusia yang mungkin lebih teruk diuji ddaripada kita.
Hati ini hendaklah dipujuk (dididik dilenturkan) dengan sentiasa membaca al-Quran dan mentadabbur, ingatlah Allah swt sebut di dalam al-Quran, orang beriman itu pasti akan diuji, dan makin kuat ujian, makin tinggi kesabaran, maka itulah tanda kasih saying Allah untuk meninggikan darjat seseorang hambaNya.
Mempelajari kitab penawar bagi hati ini merupakan muqaddimah kepada ilmu tasawuf. Dan ingat, untuk mendalami ilmu tasawuf dan penyucian hati, kita hendaklah terlebih dahulu mempelajari ilmu syariah dan mengenal akan segala yang Halal dan yang Haram dalam setiap perbuatan dan zahir amalan kita. Ini kerana, setiap amal zahir itulah yang akan mempengaruhi dan membentuk hati kita. Amal zahir yang sentiasa taat pada perintah Allah dan mengenal akan yang halal dan yang haram, maka itulah yang akan membawa kepada ketenangan hati dan membawa kepada kebaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan