
Faedah Akhirat pula dengan kita mendengar akan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim, Hadith-hadith Nabi
saw, mendengar ilmu yang bermanfaat.
Sekiranya tidak mampu untuk membaca al-Quran, paling tidak
isikanlah masa kita dengan mendengar ayat-ayat suci al-Quran, jadikanlah
al-Quran itu sebagai terapi jiwa dengan kita mendengar dan lebih baik lagi
mendengar pula akan huraiannya.
Hadith-hadith nabi juga diantara perkara yang wajib kita dengar
kerana sifat hadith itu menerang dan menghuraikan ayat-ayat al-Quran. Bagaimana
kita hendak mendapat pertunjuk daripada Allah swt sekiranya al-Quran dan Hadith
kita tidak suka mendengarnya, sedangkan jalan menuju akhirat itu ada pada
al-Quran dan hadith Nabi saw. Para ulamak terdahulu sangat mengambil peri
penting akan al-Quran dan Hadith-hadith Nabi saw. Malah mereka menghabiskan
masa mereka untuk memahami al-Quran dan Hadith-hadith baginda Nabi saw.
Diceritakan, seorang syeikh mengajar hadith disebalik tirai,
sehinggalah suatu hari dia merasakan anak muridnya itu seorang yang bersungguh
dan sangat rajin dalam mempelajari hadith. Lalu satu hari dia pun membuka tirai
yang menjadi hijab diantaranya dengan anak muridnya selama ini. Alangkah terkejutnya
anak murid tadi melihat wajah gurunya seumpama keldai. Lalu gurunya berkata,
wahai anak muridku, Nabi saw bersabda “ janganlah kamu mengangkat kepalamu
mendahului imam kerana ditakuti Allah swt akan mengubah wajah/kepalamu menjadi
himar/ keldai”. (riwayat Muslim). Aku dulu disaat mendengar hadith ini aku
berkata adakah akan berlaku perkara seperti ini, lalu akupun mendahului imam
ketika dalam solatku, maka akhirnya jadilah wajahku seperti apa yang disabdakan
oleh Baginda Nabi saw.- Tuhfatul ahwazi.
Hendaklah kita banyak mendengar hadith-hadith nabi saw, dan
ulamak-ulamak terdahulu sangat memuliakan majlis simak/ dengar hadith. Ada dikalangan
mereka bila mendengar sahaja hadith nabi dibaca, mereka akan terus duduk dengan
penuh hormat, beradab dan takzim.
Selain itu, telinga juga hendaklah digunakan untuk mendengar
ilmu yang memberi manfaat. Ilmu yang tiada memberi manfaat hendaklah dijauhi
dan ulamak khilaf dalam soal mendengar ilmu yang tidak bermanfaat seperti ilmu
sihir, ilmu falsafah dan sebagainya. Namun harus hukumnya kita mendengar
selagimana kita mempunyai pertimbangan akal yang baik dan kecerdikan dalam
menilai. Tetapi sebahagian ulamak mengatakan haram mendengar ilmu yang tidak
memberi manfaat keran dibimbangi orang yang tidak cerdik dan tidak mampu
membuat pertimbangan akan menjadi sesat atau setidaknya timbul pelbagai kecelaruan
dan keraguan pada dirinya yang boleh membawa kepada musibah.
Nabi Saw mengajar kita agar berdoa “ Ya Allah lindungi aku dari
ilmu yang tidak memberi manfaat, dari nafsu yang tidak pernah kenyang, dari
hati yang tidak khusyuk, dan dari doa yang tidak didengari” ini menunjukkan
ilmu yang tidak bermanfaat itu hendaklah kita elakkan dari mendengarnya, dan
disurh kita untuk berdoa dijauhi dari perkara yang tiada faedah.
Tanda seorang hamba yang bersyukur dengan nikmat telinga yang
Allah swt berikan ini hendaklah dia memelihara telinganya dari perkara yang
haram seperti mendengar umpatan dan mengadu domba, mendengar suara perempuan
yang mendatangkan fitnah, serta mendengar muzik dan alatan muzik yang
diharamkan.
Mengumpat, adu domba, fitnah merupakan dosa besar yang perlu kita
jauhi. Sekiranya kita mendengar ada suara-suara umpatan dan seumpamanya, maka
hendaklah kita jauhkan diri kita sehingga tidak mendengar akan perkara
tersebut. Kecuali jika kita orang yang dipertanggung jawabkan untuk mendengar
dan menyelesaikan perkara tersebut seperti seorang kadi, peguam, hakim
mendengar aduan daripada seorang isteri akan perihal suaminya yang tidak baik. Maka
itu tidak termasuk membuka aib atau mendengar umpatan yang terlarang.
Kita juga hendaklah memelihara telinga dari mendengar suara
wanita yang boleh mendatangkan fitnah. Suara wanita bukanlah aurat, ianya boleh
didengar, tetapi para wanita hendaklah mengelak dari berbicara dengan lelaki
dengan suara yang menggoda, manja, yang boleh mendatangkan fitnah. Bagi lelaki
pula hendaklah ia menjauhi telinganya dari mendengar bicara bisikan wanita yang
dia rasa suara itu boleh membawa fitnah kepada hatinya sehingga ia tergoda.
Telinga juga hendaklah dijauhi dari muzik dan alatan muzik yang
diharamkan. Dalam hal ini, kita kena memahami, bahawa perbahasan kitab ini
terkait dengan ilmu tasawuf. Jalan-jalan tasawuf dan penyusian hati itu tidak
sama seperti method dan pendekatan feqah ataupun method dakwah. Sebab pendekatan
ini adalah untuk islah memperelok hati kita. Sebab itu dikatakan Haram. Kerana menutup
pintu-pintu kelalaian dari muzik dan peralatan yang mengasyikkan. Namun bagi
ahli syariah, muzik dan alat itu sangat panjang perbahasannya dari sudut feqh
dan ianya khilaf dikalangan para ulamak feqh. Malah kalau menggunakan method
dakwah pula pendekatan dengan muzik ini juga ada sudut pandang yang berbeza. Justeru
itu, perlu kita fahami ilmu apa yang sedang kita pelajari dan pintu mana yang
sedang kita masuki, agar dapat kita fahami dengan baik method dan matlamat dari
setiap cabang ilmu tersebut. Dan tidak menyalahkan yang lainnya kerana sudut pandang yang berbeza.
Selain itu. Telinga yang mendengar ini juga diumpamakan seperti makanan yang
masuk kedalam perut. Jika seseorang itu silap makan, maka mudharat akan
menimpanya. Begitulah juga soal telinga yang mendengar, jika banyak perkara
yang dipasakkan ditelinga ini yang positif, maka yang positiflah yang akan
difikirkan dan melahirkan hati jiwa yang tenang, sebaliknya jika yang negative yang
dipasakkan ditelinga ini setiap hari, maka akan lahirlah pemikiran yang negative
dan hati yang rosak dan keji. Malah makanan jika tersilap makan, dengan ubat
dan beberpa hari sahaja boleh baik dan sembuh, tetapi telinga yang mendengar
yang tidak baik, kekadang merosakkan hati dibawanya sampai ke mati.
Diceritakan dalam kitab tobaqat al-Kubra, Imam al-Buwaitu
dipenjarakan, maka menjelang hari jumaat, imam buwaiti akan mencuci pakaiannya
dan mandi kemudian memakai pakaian yang dicucinya serta mengenakan haruman wangi,
lalu bila dia mendengar sahaja laungan muezzin untuk solat jumaat, bergegas ia
lagi ke pintu gerbang penjara untuk menyahut seruan muezzin. Lalu dihalau oleh
penjaga penjara. Imam Buwaiti pun mengangkat tangan, lalu berdoa, Ya Allah sesungguhnya
aku telah menyahut panggilan muezzin sedangkan mereka menghalangiku.
Gunakanlah telinga kita untuk mendengar perkara yang baik. Azan
yang dilaungkan untuk kita dengar, kekadang kita abaikan atau tidak indahkan,
sedangkan itu syiar yang perlu kita dengar dan menyahutnya.
Ingatlah, setiap yang kita dengar dari telinga yang dipinjamkan
oleh Allah swt ini, akan dihisab dan diadili diakhirat nanti, semoga dengan
kita melihat dan mendengar perkara yang baik-baik, pemikiran kita jadi baik,
hati kita jadi tenang, amal ibadah kita juga turut khusyuk insyallah.
Wallahua’lam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan