Di Petik daripada kitab Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qader Bin Abdul Muthalib al-Indonesi al-Mandili rhm, Kitab Pertama Pada Menyatakan Tujuh Anggota, Fasal yang ke Tiga Tentang Lidah.
Lidah yang dimaksudkan disini ialah percakapan, pertuturan dan kata-kata yang keluar daripada mulut tetapi disebutnya lidah kerana inilah anggota yang kecil, tetapi indah dan unik ciptaannya seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali rhm.
Imam al-Ghazali menyatakan, keimanan dan kekufuran seseorang itu tersangatlah jelas apabila dengan lidah. dan lidah ini merupakan tempat segala kejahatan.
Nabi saw bila ditanya "Apakah sebesar-besar perkara yang memasukkan seseorang ke dalam syurga? lalu jawab baginda saw : Taqwa dan akhlak yang baik. Lalu ditanya lagi : Apakah sebesar-besar perkara yang memasukkan manusia ke dalam neraka? baginda saw menjawab : dua rongga iaitu mulut dan faraj".
Imam Ibnu Athaillah rhn menyatakan : Amal lidah itu untuk zikir, zikir itu ada zikir lisan dan zikir qalbu... zikir lisan itu zikir lahiriah yang besar keutamaannya, ada yg terkhusus dengan waktu dan tempat, ada yg tidak terkhusus dengan waktu dan tempat...
Lidah merupakan anggota yang dijadikan oleh Allah swt untuk digunapakai kepada ke taatan. Antara fungsi lidah yang membawa ketaatan dan tujuan akhirat ialah :
1. Membaca al-Quran : Lidah yang sentiasa dibasahi dengan ayat-ayat suci al-Quran akan menerangi hati si pembacanya, malah Baginda Nabi saw bersabda "Bacalah olehmu akan al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat nanti memberi syafaat kepada si pembacanya".
Orang yang membaca al-Quran tidak akan rugi, sepertimana yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud : " Sesungguhnya mereka yang membaca al-Quran, yang mendirikan sembahyang, yang menginfaqkan rezeki yang Kami berikan kepada mereka samada secara terang atau tersembunyi, mereka itulah golongan yang mengharap satu perniagaan yang tiada rugi".
2. Membaca hadith-hadith Nabi saw : Hendaklah kita menggunakan lidah kita untuk mempelajari dan membaca hadith-hadith Nabi saw. Berapa ramai dikalangan kita yang menghidupkan majlis ta'lim membaca hadith-hadith Nabi saw dirumahnya? Bacalah hadith-hadith untuk mendatangkan cinta dan kasih kita kepada Baginda Nabi saw. Baca dan kenalkanlah baginda nabi saw kepada anak-anak dan ahli keluarga kita. Ambillah kitab hadith, tidak kira kecil mahupun besar, yang penting hidupkan ta'lim dan bacaan hadith-hadith Nabi saw dalam keluarga kita.
Hadith merupakan petunjuk yang menerangkan, menghuraikan, memperincikan al-Quran.
3. Berzikir : Lidah kita ini hendaklah diguna pakai untuk sentiasa berzikir kepada Allah swt. Ada zikir yang mempunyai ruang masa dan tempat seperti solat, dan ada zikir yang tidak mempunyai ruang masa dan tempat dan kita boleh berzikir bila-bila masa, dan dimana sahaja selagi bukan yang dilarang. Hidupnya kita nanti di kubur dengan zikir yang kita amalkan di dunia ini.
4. Menyampaikan ilmu yang bermanfaat : Lidah hendaklah digunakan untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat untuk kemaslahatan ummat. Setiap patah ilmu yang keluar dari mulut dan lidah yang membawa kebaikan, semuanya akan dihitung oleh Allah swt. Disebut oleh Syeikh Abdul Qader rhm, Ilmu Yang Manfaat, dengan maksud yang lain, walaupun kekadang ada ilmu yang betul dan benar, tetapi ianya tidak sesuai untuk diajar, disampaikan atau diberitahu kepada masyarakat, kerana dikhuatiri salah faham padanya, silap maksudnya, maka mudharatnya nanti akan lebih besar, maka ianya tidak manfaat untuk diperkatakan walaupun ianya ada sumber dan betul.
5. Memberi Nasihat : Lidah diguna pakai untuk memberi nasihat yang baik dan membawa kepada keamanan ketaatan serta ketaqwaan. Nasihatlah dari hati untuk masuk kehati, nasihat yang ikhlas akan tetap dihitung dengan kebaikan dan merupakan amal soleh yang tidak akan disia-siakan oleh Allah swt.
6. Antara kebaikan lain daripada lidah yang dituntut ialah menyeru manusia kepada kebaikan, melaksanakan perintah-perintah Allah swt dan melarang manusia dari melakukan kemungkaran. Ini bertepatan sepertimana yang disebutkan oleh Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud : " Dan jadilah kamu dikalangan umat yang menyeru kepada kebaikan, memerintahkan yang ma'ruf, dan mencegah kemungkaran...".
Kita juga diingatkan bahawa lidah juga sering terkait dengan beberapa dosa. Dan perkara ini hendaklah kita jauhi dan hindari, antaranya :
1. Bercakap bohong atau berdusta. Berdusta merupakan dosa dan diantara tanda-tanda kemunafikan apabila seseorang itu bercakap dia akan berdusta. Dusta dalam perkara-perkara yang menyakiti maka ianya termasuk dalam dosa-dosa besar, tetapi sekiranya dusta itu bukan niat untuk menyakiti ianya termasuk dalam dosa kecil.
Dalam hal berdusta ini juga, ulamak memperbahaskan, ada ketikanya berdusta itu tidak berdosa sekiranya ianya menuntut hajat yang bersangatan seperti mengelak daripada mudharat yang besar. Contohnya : seseorang yang kita lihat sedang bersembunyi dari seorang yang ingin menzaliminya, maka hendaklah kita berdusta malah wajib berdusta akan perihal persembunyian seseorang itu agar ianya terselamat daripada dizalimi atau dibunuh.
2. Antara dosa yang hadir dari lidah juga ialah memungkiri janji atau suka berjanji manis tetapi tidak menepati janji. ini juga termasuk di dalam tanda-tanda kemunafikan yang akan ada di dalam diri seseorang.
3. Kita juga dilarang mengumpat. Ijmak ulamak menyatakan mengumpat ini merupakan dosa besar kerana terdapat ayat al-Quran yang memperumpamakan orang yang mengumpat itu seumpama memakan daging orang yang diumpatkan. Ini menunjukkan keharaman dan dosa mengumpat.
4. Antara dosa lidah juga ialah mengadu domba atau disebut Namimah. Nabi saw bersabda, "Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba".
Ingatlah lidah ini diibaratkan senjata yang bermata dua yang boleh membawa kepada kebaikan dan boleh juga membawa kepada kebinasaan.
Sayyidina Muaz bin Jabal pernah meminta nasihat daripada Baginda Nabi saw, lalu Nabi saw menasihatinya : Wahai Muaz hendaklah engkau menahan ini (dengan menunjukkan lidah baginda yang sangat mulia) dari perkara yang tiada manfaat bagi engkau"
Sayyidina Abu Bakar r.a pula pernah berkata kepada para sahabat " Ketahuilah olehmu bahawa lidah ini adalah tempat segala kebinasaan dan jagalah olehmu akan dia"
Semoga kita dapat menjaga lidah kita dari sebarang kata-kata yang tiada faedah dan maksiat.
Nabi saw bersabda " daripada kebaikkan seseorang itu, ia tinggalkan perkara yang tiada manfaat baginya".
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan