Selasa, 8 Ogos 2017

Jaga Perut Untuk Suci Hati - Bahagian 1


Petikan daripada Slot Penawar Bagi Hati di Ikimfm, mengambil manfaat dari kitab "Penawar Bagi Hati" Karangan Syeikh Abdul Qader Bin Abdul Munthalib al-Indonesi al-Mandili rhm, Kitab yang pertama pada membahaskan tentang 7 anggota yang perlu dijaga, Fasal yang ke empat tentang PERUT.


Perut merupakan anggota yang dijadikan Allah swt dan ianya juga tidak terlepas daripada pertanggungjawapan kelak diakhirat. Setiap yang masuk ke dalam perut akan dihisab dan dihitung oleh Allah swt, yang halal, yang haram atau pun yang syubha.

Fungsi perut yang dijadikan oleh Allah swt ialah membantu untuk mengubah makanan yang dimakan menjadi darah, air mani, dan sebagainya. Perut juga memainkan peranan membawa kesejahteraan kepada anggota atau organ lain seperti jantung, limpa, paru-paru, dan sebagainya.

Kedua-dua fungsi yang dijadikan oleh Allah swt ini agar kita terhindar dari kesakitan dan membolehkan kita beribadah mengabdikan diri kita kepada Allah swt.

Itulah matlamat dari setiap anggota yang Allah swt jadikan. Allah tidak menjadikannya sia-sia, tetapi kenikmatan yang digunakan dari setiap anggota itu mestilah digunakan atas dasar pengabdian dan ketaatan kepada Yang Maha Menjadikan.

Perut ini juga ada fungsi kepada dunia seperti bersedap-sedap dengan makanan, minuman dan jimak. kerana ketiga-tiga fungsi kesedapan ini tidak akan dinikmati jika perut dalam keadaan sakit.

Bagaimana cara kita untuk mensyukuri Nikmat Perut ?

Antara cara kita mensyukuri nikmat perut ialah :

1. Menjauhi dari makanan yang Haram & Syubha (perkara yang tidak diyakini kehalalannya atau keharamannya).

2. Menjauhi diri kita dari bersangatan kenyang

Kenapa Kita perlu menjaga perut kita dari sumber yang haram dan Syubha?

1. Kerana disana adanya janji Allah swt orang yang memakan dari sumber yang haram dan syubha maka akan diseksa dia oleh api neraka malah perutnya nanti akan dimakan oleh api neraka yang menyala-nyala.

Allah swt berfirman maksudnya :
"Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim itu sesungguhnya akan dimakan perut-perut mereka itu oleh api neraka yang menyala-nyala".

Nabi saw bersabda maksudnya :
"Setiap daging yang tumbuh dibadan yang bersumberkan makanan yang haram, maka api nerakalah tempat yang selayak baginya".

Nabi saw bersabda lagi maksudnya :
" Allah swt tidak terima solat orang yang memasukkan ke dalam rongga (mulutnya) makanan yang haram".

2. Orang yang tidak menjaga perutnya, akan terhijab dari mendapat irsyad, hidayah, petunjuk daripada Allah swt untuk melaksanakan amal soleh. 

3. Mereka juga akan terhindar dari melakukan kebajikan, dan sekiranya ia melakukan juga, tidak akan dikurniakan padanya pahala dan jadilah amalan tadi sia-sia dan tidak ada nilainya disisi Allah swt.

Cuba kita perhatikan beberapa kisah dibawah ini bagaimana para salaf al-Soleh terdahulu sangat terperinci dan berhati-hati dalam soal makan dan minum :

Imam Bishri al-Hafi rhm pernah berkata
"Memasukkan atau memakan tanah itu lebih baik daripada memakan dari makanan yang haram".

Sayyidina Abu Bakar al-Sidiq r.a diceritakan pernah menjolok-jolok tekaknya kerana termakan daripada sumber yang syubha, dan beliau berkata, seandainya dengan menjolok tekak ini akan menggadaikan nyawa ku itu lebih aku rela daripada daging yang tumbuh dari makanan yang haram dan syubha".

Imam Abu Hanifah r.a pernah tidak memakan daging kambing beberapa tahun lamanya kerana beliau mendengar ada penternak kambing ditempatnya, kambingnya dicuri, lalu dia bimbang termakan kambing dari yang hilang dicuri itu. Ini adalah sikap warak yang ada pada Imam Abu Hanifah rhm.

Imam al-Nawawi menceritakan bagaimana Imam al-Syairazi suatu hari tercicir wangnya satu dinar di dalam masjid, kemudian beliau kembali masuk ke dalam masjid dan mendapati wang dinarnya ada ditempat yang beliau duduk sebelum itu, tetapi beliau tidak jadi untuk mengambilnya kerana boleh jadi wang itu kepunyaan orang lain yang juga tercicir di situ.

Diceritakan juga bagaimana Ibrahim adham rhm telah memulang semula upah yang diterimanya keran tidak pasti adakah kerja dan amanah yang dibuatnya betul-betul sempurna atau pun tidak. Beliau tidak mahu makan upah yang syubha. 

Di ceritakan Sayyidah Balijah tidak pernah makan buah-buahan selama 30 tahun kerana penduduk dikampungnya tidak menunaikan hak pembahagian harta secara adil dan tidak diberikan kepada para wanita. dan dia bimbang berniaga dan berurusan dengan orang yang syubha.

Banyak lagi kisah-kisah pedoman kehidupan yang boleh kita ambil dari orang soleh terdahulu "Bagaimana mereka memelihara soal makanan dan minuman agar terhindar daripada perkara yang haram dan syubha".

Kesimpulannya, kita bersyukur, dalam negara kita, kita mempunyai badan berautoriti seperti JAKIM melalui Bahagian Hub Halal yang bertanggungjawab dalam pengeluaran Sijil dan Logo Halal. Justeru perlulah kita memastikan setiap produk yang kita beli mempunyai Logo dan Pensijilan Halal.

Insyallah kita sambung pada bahagian kedua dalam fasal tentang perut berkaitan Musibah Disebalik Kekenyangan.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan