Isnin, 28 Ogos 2017

Jaga faraj (Kemaluan) Untuk Suci Hati

Perkongsian Minggu Lepas - Slot Penawar Bagi Hati Ikim.fm
Insyaallah malam ini bersambung Kitab Pertama Pada Fasal Yang Ke 6 & 7 Pada Menyatakan Tentang Kedua Tangan & Kedua Kaki pada Jam 9-10 malam insyaallah.
Sedikit Nota Perkongsian Minggu Lepas Pada perbahasan berkaitan FARAJ (Kemaluan) - Jaga Kemaluan Untuk Suci Hati 
1. Bila dalam kitab ini disebut perkataan Faraj, maka dia juga membawa maksud kemaluan lelaki.
2. Kemaluan merupakan anggota yang dijadikan Allah swt juga bertujuan akhirat dan dunia. Dan diantara tujuan Akhirat ialah dengan kemaluan tadi dapatlah berjimak diantara lelaki dan perempuan melalui pernikahan yang sah, kemudian mendapat anak zuriat yang sah.
3. Dalam Sabdaan Nabi saw suka dengan ummatnya yang ramai, malah anak ini merupakan saham bagi ibu dan ayah walaupun ianya telah meninggal dunia, tetapi masih boleh mendapat pahala dengan berkat doa anak yang soleh.
4. Malah Imam Ibnu Hajar rhm menyatakan, setiap amalan kebaikan dibuat oleh anak tadi didunia maka ibu dan ayahnya turut mendapat bahagian pahala tetapi tidak pada kejahatannya.
5. Kemaluan juga dinisbahkan kepada dunia dengan bersedap-sedapan kerana jimak, dan nafsu.
6. Di antara tanda seseorang hamba itu bersyukur dengan kenikmatan kemaluan yang Allah kurniakan kepadanya ialah dengan digunakan seperti yang diperintahkan olehNya. Maksudnya, Jangan Berzina, Jangan melakukan Liwat, Jangan melakukan perbuatan Onani melainkan dengan tangan dan jari isterinya sahaja.
7. Allah swt menyifatkan diantara tanda orang beriman yang berjaya itu ialah yang dapat memelihara kemaluannya seperti disebut di dalam surah al-Mukminun.
8. Selain itu, untuk menjaga kemaluan dari perbuatan keji, hendaklah kita menjaga mata dari melihat serta menggambarkan susuk tubuh wanita yang diharamkan. Kerana dosa zina itu bermula dari mata dan fikiran yang tidak baik.
9. Diceritakan pada zaman dahulu ada seorang lelaki soleh yang bekerja mencari nafkah dengan cara menjaja dan menjual kain. lelaki ini sangat tampan dan kacak. Satu hari ada wanita kaya yang tertarik dengan lelaki tersebut. Saat lelaki penjual kain tadi lalu dihadapan rumahnya, wanita ini pun panggil. Lelaki ini datang dan seperti biasa akan membuka bungkusan dan menghamparkan kain-klain yang dijualnya di ruang tamu rumah wanita tadi. Saat lelai tadi sedang membuka bungkusan kainnya, wanita tadi telah mengunci pintu. Kemudian ia menyatakan, wahai pemuda, sesungguhnya aku tidak pun tertarik dengan kain-kain yang engkau jual, tetapi aku tertarik dengan kekacakan engkau, sudikan engkau bersamaku (berzina). lelaki tadi terkejut lantas sentiasa mengingati Allah. Perempuan tadi mengugutnya sekiranya lelaki itu tidak mahu melayan kehendak nafsunya dia akan menjerit dan menfitnah lelaki itu cuba merogolnya, agar nanti orang kampung datang dan memukulnya.
Lelaki ini berfikir panjang lalu meminta izin untuk ke tandas, di dalam tandas dia menyambung mencari idea dan memikirkan bagaimana hendak melepaskan diri dari wanita tersebut, dan sentiasa hatinya takut kepada Allah.
Wanita itu seronok dan beranggapan lelaki itu telah berjaya ditawan dan masuk ke perangkapnya.
Lelaki tadi tetiba mendapat ilham iaitu dia akan membuang air besar, lalu mengambil najisnya dan dilumurkan ke kepala rambut dan badannya agar nampak jijik kotor dan berbau busuk. Dia membuat perkara tersebut semata-mata tidak mahu bermaksiat.
Kemudian dia pun keluar dari tandas dan wanita tadi terkejut dengan bau busuk dan pengotornya lelaki itu. Perempuan tersebut dengan segera membuaka pintu dan menghalau lelaki tadi dan dikatakan lelaki itu gila dan pengotor. Lelaki tersebut kemudiannya berlari balik ke rumah dan mandi untuk membersihkan najis yang berada dibadannya dan dia berasa bersyukur kerana terselamat dari wanita tersebut. Selepas mandi, di dapati badannya berbau wangian misk, malah wangian itu menjadi karomah kepadanya sehingga dia meninggal dunia.
10. Kisah ini merupakan satu pengajaran bagaimana lelaki soleh ini menjaga kemaluan dan dirinya dari terjebak dengan maksiat zina.
11. Bagi mereka yang baru mendapat anak, diajarkan oleh orang-orang soleh agar dibacakan surah al-Qadr ketelinga anak tadi kemudian berdoalah AYa Allah ampunilah dia, Rahmatilah dia, dan peliharalah kemaluan dia"
12. Fakta 2005-2015 terdapat lebih 500k anak luar nikah didaftarkan. 2017 ?
13. terdapat lebih 15k perempuan dalam lingkungan 12-19 tahun melahirkan anak tanpa nikah.
14. Sesungguhnya, pintu taubat sentiasa terbuka, dan sekiranya perkara ini telah berlaku, dan Allah telah sembunyikannya dari pengetahuan orang lain, maka wajib kita menetupinya dan mintalah keampunan dariNya moga diampuni dosa-dosa dari perbuatan zina tersebut.
Wallahua'lam...

Selasa, 15 Ogos 2017

Jaga Perut Untuk Suci Hati - Bahagian 2

Dipetik daripada kitab Penawar Bagi Hati Karangan Syeikh Abdul Qader Bin Abdul Munthalib al-Indonesia al-Mandili rhm, pada Kitab yang pertama tentang 7 anggota yang perlu dijaga, Fasal yang keempat pada menyatakan tentang PERUT.

Diantara tanda kita mensyukuri nikmat perut kurnian Allah swt ini ialah, Hendaklah kita menjauhi dari bersangatan kenyang. Ini kerana dengan bersangatan kenyang akan mendatangkan beberapa musibah iaitu :

Jauhilah bersangatan kenyang kerana :

1. Akan menyebab hati menjadi keras
2. Akan membangkitkan anggota untuk buat yg sia-sia dan kejahatan
3. Akan membinasakan kecerdikan dan kepintaran kerana sedikit faham dan pengetahuan
4. Akan menjadi sebab sedikit ibadah kerana berat badannya ngantuk matanya
5. Akan tiada nikmat kesedapan dalam ibadah
6. Ditakuti byk jatuh kepada yg haram dan syubha
7. Menyusahkan hati dan memenatkan badannya dalam mencari menyediakan makan dan mendatangkan mudharat
8. Akan menjadi asbab bersangatan sakit ketika mati
9. Mengurangkan pahala akhir
10. Akan dihisab diakhirat                        

Nabi saw bersangatan :
Org beriman itu Makan ada satu perut, sedangkan orang kafir Makan pada 7 perut, memadailah bagi anak Adam itu Makan dengan beberapa suapan utk membetulkan tulang belakang ya, jika ia menambah, maka tidaklah dr tambahan itu dia menunaikan hak perut dgn 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman, 1/3 untuk udara (riwayat syaikhan drpd Sayyidina Ibnu Umar rhm)

Imam al-Ghazali rhm pernah berkata "Jagalah perut mu baik-baik dan perbaikilah ia. Perut merupakan tempat segala kebaikan, segala kejahatan, segala pertolongan. Jauhilah perut dengan perkara yang Haram dan Jagalah dengan perkara yang halal".

Bishri bin al-Harith pernah berkata : terdapat 2 sebab yang mengeraskan hati iaitu : Banyak bercakap dan Banyak Makan.

Diceritakan suatu hari Imam al-Thauri makan sambil bertambah, lalu ditanya tentang persoalan orang yang makan banyak. Imam al-Tahuri menjawab "Keldai jika semakin banyak ia makan, semakin kuat ia bekerja"... lalu Imam al-Thauri menambah apa yang dia makan, dan sesudah itu, ia bangkit solat dan berterusan hingga ke subuh".

Ini menunjukkan kepada kita makan kenyang itu tidaklah menjadi satu kesalahan selagi mana ianya sekadar mendatangkan kepuasan dan tidak memudharatkan.

Imam Ibnu Hajar rhm menyatakan "Apa yang ditegah atau dilarang daripada makan yang kenyang itu ialah apabila makan itu membawa musibah dengan beratnya badan dan malas beribadah, ia juga ditegah apabila bersangatan kenyang itu membawa kepada mudharat, sakit, malas, dan tidur sahaja. Malah bersangatan kenyang yang makruh itu boleh membawa kepada Haram sekiranya membawa kepada mafsadah kebinasaan dan kemudharatan yang berat".

Imam al-Syafie juga berkata : "Bersangatan kenyang itu, akan melemahkan badan, mengeraskan hati, membinasakan kecerdikan dan malas beribadah".

Setiap yang dimakan, setitik air, mahupun sebutir nasi, ingatlah, ianya tidak akan terlepas dari hitungan dan nilaian Allah swt. Jika halal, berbahagialah, tetapi sebaliknya jika haram, menanti azabnya nauzubillah.

Pernah suatu ketika Imam al-Syibli rhm pernah berjanji pada dirinya " Sesungguhnya aku berjanji tidak menjauhi dan tidak akan memakan makanan yang haram", pada suatu ketika ketika beliau berada digurun sahara, beliau ternampak pokok buah tin dan menghampirinya. Di saat beliau ingin memetiknya, beliau terdengar suara menyatakan "Wahai Imam Syibli, janganlah kamu memetik dan mengambil aku, seseungguhnya aku milik dan kepunyaan seorang Yahudi". 

Memakan kenyang tidaklah salah sekiranya tidak mendatangkan mudharat dan lebih-lebih lagi kita mengetahui makanan itu ada keberkatan.

Diceritakan ketika Imam al-Syafie datang ke rumah anak muridnya Imam Ahmad bin Hanbal, Beliau makan dengan banyak, kemudian beliau berbaring tidur tidak bertahajjud, tatkala subuh menjelang beliau solat subuh tanpa berwudhuk.  Selepas itu anak Imam Ahmad bertanya kepada bapanya " Wahai ayah inikah imam al-Syafie yang sering engkau ceritakan? kenapa dia makan dengan banyak, tidur tidak bertahajjud, dan solat subuh tanpa berwudhuk?... lalu Imam al-Syafie menjawab persoalan itu kepada Imam Ahmad... Sesungguhnya beliau makan dengan banyak kerana beliau berada dirumah orang yang mulia, dan kemulian makanan itu dengan keberkatan (pasti tiada yang haram), tidak bertahajjud keran berfikir menyelesaikan beberapa permaslaahan hukum, dan solat subuh tanpa wudhuk kerana wudhuk isyaknya masih ada dan beliau bukannya tidur". Masya Allah...

Semoga kita mendapat manfaat bersama..

Selasa, 8 Ogos 2017

Jaga Perut Untuk Suci Hati - Bahagian 1


Petikan daripada Slot Penawar Bagi Hati di Ikimfm, mengambil manfaat dari kitab "Penawar Bagi Hati" Karangan Syeikh Abdul Qader Bin Abdul Munthalib al-Indonesi al-Mandili rhm, Kitab yang pertama pada membahaskan tentang 7 anggota yang perlu dijaga, Fasal yang ke empat tentang PERUT.


Perut merupakan anggota yang dijadikan Allah swt dan ianya juga tidak terlepas daripada pertanggungjawapan kelak diakhirat. Setiap yang masuk ke dalam perut akan dihisab dan dihitung oleh Allah swt, yang halal, yang haram atau pun yang syubha.

Fungsi perut yang dijadikan oleh Allah swt ialah membantu untuk mengubah makanan yang dimakan menjadi darah, air mani, dan sebagainya. Perut juga memainkan peranan membawa kesejahteraan kepada anggota atau organ lain seperti jantung, limpa, paru-paru, dan sebagainya.

Kedua-dua fungsi yang dijadikan oleh Allah swt ini agar kita terhindar dari kesakitan dan membolehkan kita beribadah mengabdikan diri kita kepada Allah swt.

Itulah matlamat dari setiap anggota yang Allah swt jadikan. Allah tidak menjadikannya sia-sia, tetapi kenikmatan yang digunakan dari setiap anggota itu mestilah digunakan atas dasar pengabdian dan ketaatan kepada Yang Maha Menjadikan.

Perut ini juga ada fungsi kepada dunia seperti bersedap-sedap dengan makanan, minuman dan jimak. kerana ketiga-tiga fungsi kesedapan ini tidak akan dinikmati jika perut dalam keadaan sakit.

Bagaimana cara kita untuk mensyukuri Nikmat Perut ?

Antara cara kita mensyukuri nikmat perut ialah :

1. Menjauhi dari makanan yang Haram & Syubha (perkara yang tidak diyakini kehalalannya atau keharamannya).

2. Menjauhi diri kita dari bersangatan kenyang

Kenapa Kita perlu menjaga perut kita dari sumber yang haram dan Syubha?

1. Kerana disana adanya janji Allah swt orang yang memakan dari sumber yang haram dan syubha maka akan diseksa dia oleh api neraka malah perutnya nanti akan dimakan oleh api neraka yang menyala-nyala.

Allah swt berfirman maksudnya :
"Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim itu sesungguhnya akan dimakan perut-perut mereka itu oleh api neraka yang menyala-nyala".

Nabi saw bersabda maksudnya :
"Setiap daging yang tumbuh dibadan yang bersumberkan makanan yang haram, maka api nerakalah tempat yang selayak baginya".

Nabi saw bersabda lagi maksudnya :
" Allah swt tidak terima solat orang yang memasukkan ke dalam rongga (mulutnya) makanan yang haram".

2. Orang yang tidak menjaga perutnya, akan terhijab dari mendapat irsyad, hidayah, petunjuk daripada Allah swt untuk melaksanakan amal soleh. 

3. Mereka juga akan terhindar dari melakukan kebajikan, dan sekiranya ia melakukan juga, tidak akan dikurniakan padanya pahala dan jadilah amalan tadi sia-sia dan tidak ada nilainya disisi Allah swt.

Cuba kita perhatikan beberapa kisah dibawah ini bagaimana para salaf al-Soleh terdahulu sangat terperinci dan berhati-hati dalam soal makan dan minum :

Imam Bishri al-Hafi rhm pernah berkata
"Memasukkan atau memakan tanah itu lebih baik daripada memakan dari makanan yang haram".

Sayyidina Abu Bakar al-Sidiq r.a diceritakan pernah menjolok-jolok tekaknya kerana termakan daripada sumber yang syubha, dan beliau berkata, seandainya dengan menjolok tekak ini akan menggadaikan nyawa ku itu lebih aku rela daripada daging yang tumbuh dari makanan yang haram dan syubha".

Imam Abu Hanifah r.a pernah tidak memakan daging kambing beberapa tahun lamanya kerana beliau mendengar ada penternak kambing ditempatnya, kambingnya dicuri, lalu dia bimbang termakan kambing dari yang hilang dicuri itu. Ini adalah sikap warak yang ada pada Imam Abu Hanifah rhm.

Imam al-Nawawi menceritakan bagaimana Imam al-Syairazi suatu hari tercicir wangnya satu dinar di dalam masjid, kemudian beliau kembali masuk ke dalam masjid dan mendapati wang dinarnya ada ditempat yang beliau duduk sebelum itu, tetapi beliau tidak jadi untuk mengambilnya kerana boleh jadi wang itu kepunyaan orang lain yang juga tercicir di situ.

Diceritakan juga bagaimana Ibrahim adham rhm telah memulang semula upah yang diterimanya keran tidak pasti adakah kerja dan amanah yang dibuatnya betul-betul sempurna atau pun tidak. Beliau tidak mahu makan upah yang syubha. 

Di ceritakan Sayyidah Balijah tidak pernah makan buah-buahan selama 30 tahun kerana penduduk dikampungnya tidak menunaikan hak pembahagian harta secara adil dan tidak diberikan kepada para wanita. dan dia bimbang berniaga dan berurusan dengan orang yang syubha.

Banyak lagi kisah-kisah pedoman kehidupan yang boleh kita ambil dari orang soleh terdahulu "Bagaimana mereka memelihara soal makanan dan minuman agar terhindar daripada perkara yang haram dan syubha".

Kesimpulannya, kita bersyukur, dalam negara kita, kita mempunyai badan berautoriti seperti JAKIM melalui Bahagian Hub Halal yang bertanggungjawab dalam pengeluaran Sijil dan Logo Halal. Justeru perlulah kita memastikan setiap produk yang kita beli mempunyai Logo dan Pensijilan Halal.

Insyallah kita sambung pada bahagian kedua dalam fasal tentang perut berkaitan Musibah Disebalik Kekenyangan.

Wallahua'lam.

Khamis, 3 Ogos 2017

Jaga Lidah Untuk Suci Hati

Di Petik daripada kitab Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qader Bin Abdul Muthalib al-Indonesi al-Mandili rhm, Kitab Pertama Pada Menyatakan Tujuh Anggota, Fasal yang ke Tiga Tentang Lidah.

Lidah yang dimaksudkan disini ialah percakapan, pertuturan dan kata-kata yang keluar daripada mulut tetapi disebutnya lidah kerana inilah anggota yang kecil, tetapi indah dan unik ciptaannya seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali rhm.

Imam al-Ghazali menyatakan, keimanan dan kekufuran seseorang itu tersangatlah jelas apabila dengan lidah. dan lidah ini merupakan tempat segala kejahatan.

Nabi saw bila ditanya "Apakah sebesar-besar perkara yang memasukkan seseorang ke dalam syurga? lalu jawab baginda saw : Taqwa dan akhlak yang baik. Lalu ditanya lagi : Apakah sebesar-besar perkara yang memasukkan manusia ke dalam neraka? baginda saw menjawab : dua rongga iaitu mulut dan faraj".

Imam Ibnu Athaillah rhn menyatakan : Amal lidah itu untuk zikir, zikir itu ada zikir lisan dan zikir qalbu... zikir lisan itu zikir lahiriah yang besar keutamaannya, ada yg terkhusus dengan waktu dan tempat, ada yg tidak terkhusus dengan waktu dan tempat... 

Lidah merupakan anggota yang dijadikan oleh Allah swt untuk digunapakai kepada ke taatan. Antara fungsi lidah yang membawa ketaatan dan tujuan akhirat ialah :

1. Membaca al-Quran : Lidah yang sentiasa dibasahi dengan ayat-ayat suci al-Quran akan menerangi hati si pembacanya, malah Baginda Nabi saw bersabda "Bacalah olehmu akan al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat nanti memberi syafaat kepada si pembacanya".

Orang yang membaca al-Quran tidak akan rugi, sepertimana yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud : " Sesungguhnya mereka yang membaca al-Quran, yang mendirikan sembahyang, yang menginfaqkan rezeki yang Kami berikan kepada mereka samada secara terang atau tersembunyi, mereka itulah golongan yang mengharap satu perniagaan yang tiada rugi".

2. Membaca hadith-hadith Nabi saw : Hendaklah kita menggunakan lidah kita untuk mempelajari dan membaca hadith-hadith Nabi saw. Berapa ramai dikalangan kita yang menghidupkan majlis ta'lim membaca hadith-hadith Nabi saw dirumahnya? Bacalah hadith-hadith untuk mendatangkan cinta dan kasih kita kepada Baginda Nabi saw. Baca dan kenalkanlah baginda nabi saw kepada anak-anak dan ahli keluarga kita. Ambillah kitab hadith, tidak kira kecil mahupun besar, yang penting hidupkan ta'lim dan bacaan hadith-hadith Nabi saw dalam keluarga kita.

Hadith merupakan petunjuk yang menerangkan, menghuraikan, memperincikan al-Quran. 

3. Berzikir : Lidah kita ini hendaklah diguna pakai untuk sentiasa berzikir kepada Allah swt. Ada zikir yang mempunyai ruang masa dan tempat seperti solat, dan ada zikir yang tidak mempunyai ruang masa dan tempat dan kita boleh berzikir bila-bila masa, dan dimana sahaja selagi bukan yang dilarang. Hidupnya kita nanti di kubur dengan zikir yang kita amalkan di dunia ini.



4. Menyampaikan ilmu yang bermanfaat : Lidah hendaklah digunakan untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat untuk kemaslahatan ummat. Setiap patah ilmu yang keluar dari mulut dan lidah yang membawa kebaikan, semuanya akan dihitung oleh Allah swt. Disebut oleh Syeikh Abdul Qader rhm, Ilmu Yang Manfaat, dengan maksud yang lain, walaupun kekadang ada ilmu yang betul dan benar, tetapi ianya tidak sesuai untuk diajar, disampaikan atau diberitahu kepada masyarakat, kerana dikhuatiri salah faham padanya, silap maksudnya, maka mudharatnya nanti akan lebih besar, maka ianya tidak manfaat untuk diperkatakan walaupun ianya ada sumber dan betul.

5. Memberi Nasihat : Lidah diguna pakai untuk memberi nasihat yang baik dan membawa kepada keamanan ketaatan serta ketaqwaan. Nasihatlah dari hati untuk masuk kehati, nasihat yang ikhlas akan tetap dihitung dengan kebaikan dan merupakan amal soleh yang tidak akan disia-siakan oleh Allah swt.

6. Antara kebaikan lain daripada lidah yang dituntut ialah menyeru manusia kepada kebaikan, melaksanakan perintah-perintah Allah swt dan melarang manusia dari melakukan kemungkaran. Ini bertepatan sepertimana yang disebutkan oleh Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud : " Dan jadilah kamu dikalangan umat yang menyeru kepada kebaikan, memerintahkan yang ma'ruf, dan mencegah kemungkaran...".

Kita juga diingatkan bahawa lidah juga sering terkait dengan beberapa dosa. Dan perkara ini hendaklah kita jauhi dan hindari, antaranya :

1. Bercakap bohong atau berdusta. Berdusta merupakan dosa dan diantara tanda-tanda kemunafikan apabila seseorang itu bercakap dia akan berdusta. Dusta dalam perkara-perkara yang menyakiti maka ianya termasuk dalam dosa-dosa besar, tetapi sekiranya dusta itu bukan niat untuk menyakiti ianya termasuk dalam dosa kecil.

Dalam hal berdusta ini juga, ulamak memperbahaskan, ada ketikanya berdusta itu tidak berdosa sekiranya ianya menuntut hajat yang bersangatan seperti mengelak daripada mudharat yang besar. Contohnya : seseorang yang kita lihat sedang bersembunyi dari seorang yang ingin menzaliminya, maka hendaklah kita berdusta malah wajib berdusta akan perihal persembunyian seseorang itu agar ianya terselamat daripada dizalimi atau dibunuh.

2. Antara dosa yang hadir dari lidah juga ialah memungkiri janji atau suka berjanji manis tetapi tidak menepati janji. ini juga termasuk di dalam tanda-tanda kemunafikan yang akan ada di dalam diri seseorang.

3. Kita juga dilarang mengumpat. Ijmak ulamak menyatakan mengumpat ini merupakan dosa besar kerana terdapat ayat al-Quran yang memperumpamakan orang yang mengumpat itu seumpama memakan daging orang yang diumpatkan. Ini menunjukkan keharaman dan dosa mengumpat.

4. Antara dosa lidah juga ialah mengadu domba atau disebut Namimah. Nabi saw bersabda, "Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba".

Ingatlah lidah ini diibaratkan senjata yang bermata dua yang boleh membawa kepada kebaikan dan boleh juga membawa kepada kebinasaan.

Sayyidina Muaz bin Jabal pernah meminta nasihat daripada Baginda Nabi saw, lalu Nabi saw menasihatinya : Wahai Muaz hendaklah engkau menahan ini (dengan menunjukkan lidah baginda yang sangat mulia) dari perkara yang tiada manfaat bagi engkau"

Sayyidina Abu Bakar r.a pula pernah berkata kepada para sahabat " Ketahuilah olehmu bahawa lidah ini adalah tempat segala kebinasaan dan jagalah olehmu akan dia"

Semoga kita dapat menjaga lidah kita dari sebarang kata-kata yang tiada faedah dan maksiat.

Nabi saw bersabda " daripada kebaikkan seseorang itu, ia tinggalkan perkara yang tiada manfaat baginya".

Wallahualam.