Isnin, 28 Ogos 2017

Jaga faraj (Kemaluan) Untuk Suci Hati

Perkongsian Minggu Lepas - Slot Penawar Bagi Hati Ikim.fm
Insyaallah malam ini bersambung Kitab Pertama Pada Fasal Yang Ke 6 & 7 Pada Menyatakan Tentang Kedua Tangan & Kedua Kaki pada Jam 9-10 malam insyaallah.
Sedikit Nota Perkongsian Minggu Lepas Pada perbahasan berkaitan FARAJ (Kemaluan) - Jaga Kemaluan Untuk Suci Hati 
1. Bila dalam kitab ini disebut perkataan Faraj, maka dia juga membawa maksud kemaluan lelaki.
2. Kemaluan merupakan anggota yang dijadikan Allah swt juga bertujuan akhirat dan dunia. Dan diantara tujuan Akhirat ialah dengan kemaluan tadi dapatlah berjimak diantara lelaki dan perempuan melalui pernikahan yang sah, kemudian mendapat anak zuriat yang sah.
3. Dalam Sabdaan Nabi saw suka dengan ummatnya yang ramai, malah anak ini merupakan saham bagi ibu dan ayah walaupun ianya telah meninggal dunia, tetapi masih boleh mendapat pahala dengan berkat doa anak yang soleh.
4. Malah Imam Ibnu Hajar rhm menyatakan, setiap amalan kebaikan dibuat oleh anak tadi didunia maka ibu dan ayahnya turut mendapat bahagian pahala tetapi tidak pada kejahatannya.
5. Kemaluan juga dinisbahkan kepada dunia dengan bersedap-sedapan kerana jimak, dan nafsu.
6. Di antara tanda seseorang hamba itu bersyukur dengan kenikmatan kemaluan yang Allah kurniakan kepadanya ialah dengan digunakan seperti yang diperintahkan olehNya. Maksudnya, Jangan Berzina, Jangan melakukan Liwat, Jangan melakukan perbuatan Onani melainkan dengan tangan dan jari isterinya sahaja.
7. Allah swt menyifatkan diantara tanda orang beriman yang berjaya itu ialah yang dapat memelihara kemaluannya seperti disebut di dalam surah al-Mukminun.
8. Selain itu, untuk menjaga kemaluan dari perbuatan keji, hendaklah kita menjaga mata dari melihat serta menggambarkan susuk tubuh wanita yang diharamkan. Kerana dosa zina itu bermula dari mata dan fikiran yang tidak baik.
9. Diceritakan pada zaman dahulu ada seorang lelaki soleh yang bekerja mencari nafkah dengan cara menjaja dan menjual kain. lelaki ini sangat tampan dan kacak. Satu hari ada wanita kaya yang tertarik dengan lelaki tersebut. Saat lelaki penjual kain tadi lalu dihadapan rumahnya, wanita ini pun panggil. Lelaki ini datang dan seperti biasa akan membuka bungkusan dan menghamparkan kain-klain yang dijualnya di ruang tamu rumah wanita tadi. Saat lelai tadi sedang membuka bungkusan kainnya, wanita tadi telah mengunci pintu. Kemudian ia menyatakan, wahai pemuda, sesungguhnya aku tidak pun tertarik dengan kain-kain yang engkau jual, tetapi aku tertarik dengan kekacakan engkau, sudikan engkau bersamaku (berzina). lelaki tadi terkejut lantas sentiasa mengingati Allah. Perempuan tadi mengugutnya sekiranya lelaki itu tidak mahu melayan kehendak nafsunya dia akan menjerit dan menfitnah lelaki itu cuba merogolnya, agar nanti orang kampung datang dan memukulnya.
Lelaki ini berfikir panjang lalu meminta izin untuk ke tandas, di dalam tandas dia menyambung mencari idea dan memikirkan bagaimana hendak melepaskan diri dari wanita tersebut, dan sentiasa hatinya takut kepada Allah.
Wanita itu seronok dan beranggapan lelaki itu telah berjaya ditawan dan masuk ke perangkapnya.
Lelaki tadi tetiba mendapat ilham iaitu dia akan membuang air besar, lalu mengambil najisnya dan dilumurkan ke kepala rambut dan badannya agar nampak jijik kotor dan berbau busuk. Dia membuat perkara tersebut semata-mata tidak mahu bermaksiat.
Kemudian dia pun keluar dari tandas dan wanita tadi terkejut dengan bau busuk dan pengotornya lelaki itu. Perempuan tersebut dengan segera membuaka pintu dan menghalau lelaki tadi dan dikatakan lelaki itu gila dan pengotor. Lelaki tersebut kemudiannya berlari balik ke rumah dan mandi untuk membersihkan najis yang berada dibadannya dan dia berasa bersyukur kerana terselamat dari wanita tersebut. Selepas mandi, di dapati badannya berbau wangian misk, malah wangian itu menjadi karomah kepadanya sehingga dia meninggal dunia.
10. Kisah ini merupakan satu pengajaran bagaimana lelaki soleh ini menjaga kemaluan dan dirinya dari terjebak dengan maksiat zina.
11. Bagi mereka yang baru mendapat anak, diajarkan oleh orang-orang soleh agar dibacakan surah al-Qadr ketelinga anak tadi kemudian berdoalah AYa Allah ampunilah dia, Rahmatilah dia, dan peliharalah kemaluan dia"
12. Fakta 2005-2015 terdapat lebih 500k anak luar nikah didaftarkan. 2017 ?
13. terdapat lebih 15k perempuan dalam lingkungan 12-19 tahun melahirkan anak tanpa nikah.
14. Sesungguhnya, pintu taubat sentiasa terbuka, dan sekiranya perkara ini telah berlaku, dan Allah telah sembunyikannya dari pengetahuan orang lain, maka wajib kita menetupinya dan mintalah keampunan dariNya moga diampuni dosa-dosa dari perbuatan zina tersebut.
Wallahua'lam...

Selasa, 15 Ogos 2017

Jaga Perut Untuk Suci Hati - Bahagian 2

Dipetik daripada kitab Penawar Bagi Hati Karangan Syeikh Abdul Qader Bin Abdul Munthalib al-Indonesia al-Mandili rhm, pada Kitab yang pertama tentang 7 anggota yang perlu dijaga, Fasal yang keempat pada menyatakan tentang PERUT.

Diantara tanda kita mensyukuri nikmat perut kurnian Allah swt ini ialah, Hendaklah kita menjauhi dari bersangatan kenyang. Ini kerana dengan bersangatan kenyang akan mendatangkan beberapa musibah iaitu :

Jauhilah bersangatan kenyang kerana :

1. Akan menyebab hati menjadi keras
2. Akan membangkitkan anggota untuk buat yg sia-sia dan kejahatan
3. Akan membinasakan kecerdikan dan kepintaran kerana sedikit faham dan pengetahuan
4. Akan menjadi sebab sedikit ibadah kerana berat badannya ngantuk matanya
5. Akan tiada nikmat kesedapan dalam ibadah
6. Ditakuti byk jatuh kepada yg haram dan syubha
7. Menyusahkan hati dan memenatkan badannya dalam mencari menyediakan makan dan mendatangkan mudharat
8. Akan menjadi asbab bersangatan sakit ketika mati
9. Mengurangkan pahala akhir
10. Akan dihisab diakhirat                        

Nabi saw bersangatan :
Org beriman itu Makan ada satu perut, sedangkan orang kafir Makan pada 7 perut, memadailah bagi anak Adam itu Makan dengan beberapa suapan utk membetulkan tulang belakang ya, jika ia menambah, maka tidaklah dr tambahan itu dia menunaikan hak perut dgn 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman, 1/3 untuk udara (riwayat syaikhan drpd Sayyidina Ibnu Umar rhm)

Imam al-Ghazali rhm pernah berkata "Jagalah perut mu baik-baik dan perbaikilah ia. Perut merupakan tempat segala kebaikan, segala kejahatan, segala pertolongan. Jauhilah perut dengan perkara yang Haram dan Jagalah dengan perkara yang halal".

Bishri bin al-Harith pernah berkata : terdapat 2 sebab yang mengeraskan hati iaitu : Banyak bercakap dan Banyak Makan.

Diceritakan suatu hari Imam al-Thauri makan sambil bertambah, lalu ditanya tentang persoalan orang yang makan banyak. Imam al-Tahuri menjawab "Keldai jika semakin banyak ia makan, semakin kuat ia bekerja"... lalu Imam al-Thauri menambah apa yang dia makan, dan sesudah itu, ia bangkit solat dan berterusan hingga ke subuh".

Ini menunjukkan kepada kita makan kenyang itu tidaklah menjadi satu kesalahan selagi mana ianya sekadar mendatangkan kepuasan dan tidak memudharatkan.

Imam Ibnu Hajar rhm menyatakan "Apa yang ditegah atau dilarang daripada makan yang kenyang itu ialah apabila makan itu membawa musibah dengan beratnya badan dan malas beribadah, ia juga ditegah apabila bersangatan kenyang itu membawa kepada mudharat, sakit, malas, dan tidur sahaja. Malah bersangatan kenyang yang makruh itu boleh membawa kepada Haram sekiranya membawa kepada mafsadah kebinasaan dan kemudharatan yang berat".

Imam al-Syafie juga berkata : "Bersangatan kenyang itu, akan melemahkan badan, mengeraskan hati, membinasakan kecerdikan dan malas beribadah".

Setiap yang dimakan, setitik air, mahupun sebutir nasi, ingatlah, ianya tidak akan terlepas dari hitungan dan nilaian Allah swt. Jika halal, berbahagialah, tetapi sebaliknya jika haram, menanti azabnya nauzubillah.

Pernah suatu ketika Imam al-Syibli rhm pernah berjanji pada dirinya " Sesungguhnya aku berjanji tidak menjauhi dan tidak akan memakan makanan yang haram", pada suatu ketika ketika beliau berada digurun sahara, beliau ternampak pokok buah tin dan menghampirinya. Di saat beliau ingin memetiknya, beliau terdengar suara menyatakan "Wahai Imam Syibli, janganlah kamu memetik dan mengambil aku, seseungguhnya aku milik dan kepunyaan seorang Yahudi". 

Memakan kenyang tidaklah salah sekiranya tidak mendatangkan mudharat dan lebih-lebih lagi kita mengetahui makanan itu ada keberkatan.

Diceritakan ketika Imam al-Syafie datang ke rumah anak muridnya Imam Ahmad bin Hanbal, Beliau makan dengan banyak, kemudian beliau berbaring tidur tidak bertahajjud, tatkala subuh menjelang beliau solat subuh tanpa berwudhuk.  Selepas itu anak Imam Ahmad bertanya kepada bapanya " Wahai ayah inikah imam al-Syafie yang sering engkau ceritakan? kenapa dia makan dengan banyak, tidur tidak bertahajjud, dan solat subuh tanpa berwudhuk?... lalu Imam al-Syafie menjawab persoalan itu kepada Imam Ahmad... Sesungguhnya beliau makan dengan banyak kerana beliau berada dirumah orang yang mulia, dan kemulian makanan itu dengan keberkatan (pasti tiada yang haram), tidak bertahajjud keran berfikir menyelesaikan beberapa permaslaahan hukum, dan solat subuh tanpa wudhuk kerana wudhuk isyaknya masih ada dan beliau bukannya tidur". Masya Allah...

Semoga kita mendapat manfaat bersama..

Selasa, 8 Ogos 2017

Jaga Perut Untuk Suci Hati - Bahagian 1


Petikan daripada Slot Penawar Bagi Hati di Ikimfm, mengambil manfaat dari kitab "Penawar Bagi Hati" Karangan Syeikh Abdul Qader Bin Abdul Munthalib al-Indonesi al-Mandili rhm, Kitab yang pertama pada membahaskan tentang 7 anggota yang perlu dijaga, Fasal yang ke empat tentang PERUT.


Perut merupakan anggota yang dijadikan Allah swt dan ianya juga tidak terlepas daripada pertanggungjawapan kelak diakhirat. Setiap yang masuk ke dalam perut akan dihisab dan dihitung oleh Allah swt, yang halal, yang haram atau pun yang syubha.

Fungsi perut yang dijadikan oleh Allah swt ialah membantu untuk mengubah makanan yang dimakan menjadi darah, air mani, dan sebagainya. Perut juga memainkan peranan membawa kesejahteraan kepada anggota atau organ lain seperti jantung, limpa, paru-paru, dan sebagainya.

Kedua-dua fungsi yang dijadikan oleh Allah swt ini agar kita terhindar dari kesakitan dan membolehkan kita beribadah mengabdikan diri kita kepada Allah swt.

Itulah matlamat dari setiap anggota yang Allah swt jadikan. Allah tidak menjadikannya sia-sia, tetapi kenikmatan yang digunakan dari setiap anggota itu mestilah digunakan atas dasar pengabdian dan ketaatan kepada Yang Maha Menjadikan.

Perut ini juga ada fungsi kepada dunia seperti bersedap-sedap dengan makanan, minuman dan jimak. kerana ketiga-tiga fungsi kesedapan ini tidak akan dinikmati jika perut dalam keadaan sakit.

Bagaimana cara kita untuk mensyukuri Nikmat Perut ?

Antara cara kita mensyukuri nikmat perut ialah :

1. Menjauhi dari makanan yang Haram & Syubha (perkara yang tidak diyakini kehalalannya atau keharamannya).

2. Menjauhi diri kita dari bersangatan kenyang

Kenapa Kita perlu menjaga perut kita dari sumber yang haram dan Syubha?

1. Kerana disana adanya janji Allah swt orang yang memakan dari sumber yang haram dan syubha maka akan diseksa dia oleh api neraka malah perutnya nanti akan dimakan oleh api neraka yang menyala-nyala.

Allah swt berfirman maksudnya :
"Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim itu sesungguhnya akan dimakan perut-perut mereka itu oleh api neraka yang menyala-nyala".

Nabi saw bersabda maksudnya :
"Setiap daging yang tumbuh dibadan yang bersumberkan makanan yang haram, maka api nerakalah tempat yang selayak baginya".

Nabi saw bersabda lagi maksudnya :
" Allah swt tidak terima solat orang yang memasukkan ke dalam rongga (mulutnya) makanan yang haram".

2. Orang yang tidak menjaga perutnya, akan terhijab dari mendapat irsyad, hidayah, petunjuk daripada Allah swt untuk melaksanakan amal soleh. 

3. Mereka juga akan terhindar dari melakukan kebajikan, dan sekiranya ia melakukan juga, tidak akan dikurniakan padanya pahala dan jadilah amalan tadi sia-sia dan tidak ada nilainya disisi Allah swt.

Cuba kita perhatikan beberapa kisah dibawah ini bagaimana para salaf al-Soleh terdahulu sangat terperinci dan berhati-hati dalam soal makan dan minum :

Imam Bishri al-Hafi rhm pernah berkata
"Memasukkan atau memakan tanah itu lebih baik daripada memakan dari makanan yang haram".

Sayyidina Abu Bakar al-Sidiq r.a diceritakan pernah menjolok-jolok tekaknya kerana termakan daripada sumber yang syubha, dan beliau berkata, seandainya dengan menjolok tekak ini akan menggadaikan nyawa ku itu lebih aku rela daripada daging yang tumbuh dari makanan yang haram dan syubha".

Imam Abu Hanifah r.a pernah tidak memakan daging kambing beberapa tahun lamanya kerana beliau mendengar ada penternak kambing ditempatnya, kambingnya dicuri, lalu dia bimbang termakan kambing dari yang hilang dicuri itu. Ini adalah sikap warak yang ada pada Imam Abu Hanifah rhm.

Imam al-Nawawi menceritakan bagaimana Imam al-Syairazi suatu hari tercicir wangnya satu dinar di dalam masjid, kemudian beliau kembali masuk ke dalam masjid dan mendapati wang dinarnya ada ditempat yang beliau duduk sebelum itu, tetapi beliau tidak jadi untuk mengambilnya kerana boleh jadi wang itu kepunyaan orang lain yang juga tercicir di situ.

Diceritakan juga bagaimana Ibrahim adham rhm telah memulang semula upah yang diterimanya keran tidak pasti adakah kerja dan amanah yang dibuatnya betul-betul sempurna atau pun tidak. Beliau tidak mahu makan upah yang syubha. 

Di ceritakan Sayyidah Balijah tidak pernah makan buah-buahan selama 30 tahun kerana penduduk dikampungnya tidak menunaikan hak pembahagian harta secara adil dan tidak diberikan kepada para wanita. dan dia bimbang berniaga dan berurusan dengan orang yang syubha.

Banyak lagi kisah-kisah pedoman kehidupan yang boleh kita ambil dari orang soleh terdahulu "Bagaimana mereka memelihara soal makanan dan minuman agar terhindar daripada perkara yang haram dan syubha".

Kesimpulannya, kita bersyukur, dalam negara kita, kita mempunyai badan berautoriti seperti JAKIM melalui Bahagian Hub Halal yang bertanggungjawab dalam pengeluaran Sijil dan Logo Halal. Justeru perlulah kita memastikan setiap produk yang kita beli mempunyai Logo dan Pensijilan Halal.

Insyallah kita sambung pada bahagian kedua dalam fasal tentang perut berkaitan Musibah Disebalik Kekenyangan.

Wallahua'lam.

Khamis, 3 Ogos 2017

Jaga Lidah Untuk Suci Hati

Di Petik daripada kitab Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qader Bin Abdul Muthalib al-Indonesi al-Mandili rhm, Kitab Pertama Pada Menyatakan Tujuh Anggota, Fasal yang ke Tiga Tentang Lidah.

Lidah yang dimaksudkan disini ialah percakapan, pertuturan dan kata-kata yang keluar daripada mulut tetapi disebutnya lidah kerana inilah anggota yang kecil, tetapi indah dan unik ciptaannya seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali rhm.

Imam al-Ghazali menyatakan, keimanan dan kekufuran seseorang itu tersangatlah jelas apabila dengan lidah. dan lidah ini merupakan tempat segala kejahatan.

Nabi saw bila ditanya "Apakah sebesar-besar perkara yang memasukkan seseorang ke dalam syurga? lalu jawab baginda saw : Taqwa dan akhlak yang baik. Lalu ditanya lagi : Apakah sebesar-besar perkara yang memasukkan manusia ke dalam neraka? baginda saw menjawab : dua rongga iaitu mulut dan faraj".

Imam Ibnu Athaillah rhn menyatakan : Amal lidah itu untuk zikir, zikir itu ada zikir lisan dan zikir qalbu... zikir lisan itu zikir lahiriah yang besar keutamaannya, ada yg terkhusus dengan waktu dan tempat, ada yg tidak terkhusus dengan waktu dan tempat... 

Lidah merupakan anggota yang dijadikan oleh Allah swt untuk digunapakai kepada ke taatan. Antara fungsi lidah yang membawa ketaatan dan tujuan akhirat ialah :

1. Membaca al-Quran : Lidah yang sentiasa dibasahi dengan ayat-ayat suci al-Quran akan menerangi hati si pembacanya, malah Baginda Nabi saw bersabda "Bacalah olehmu akan al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat nanti memberi syafaat kepada si pembacanya".

Orang yang membaca al-Quran tidak akan rugi, sepertimana yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud : " Sesungguhnya mereka yang membaca al-Quran, yang mendirikan sembahyang, yang menginfaqkan rezeki yang Kami berikan kepada mereka samada secara terang atau tersembunyi, mereka itulah golongan yang mengharap satu perniagaan yang tiada rugi".

2. Membaca hadith-hadith Nabi saw : Hendaklah kita menggunakan lidah kita untuk mempelajari dan membaca hadith-hadith Nabi saw. Berapa ramai dikalangan kita yang menghidupkan majlis ta'lim membaca hadith-hadith Nabi saw dirumahnya? Bacalah hadith-hadith untuk mendatangkan cinta dan kasih kita kepada Baginda Nabi saw. Baca dan kenalkanlah baginda nabi saw kepada anak-anak dan ahli keluarga kita. Ambillah kitab hadith, tidak kira kecil mahupun besar, yang penting hidupkan ta'lim dan bacaan hadith-hadith Nabi saw dalam keluarga kita.

Hadith merupakan petunjuk yang menerangkan, menghuraikan, memperincikan al-Quran. 

3. Berzikir : Lidah kita ini hendaklah diguna pakai untuk sentiasa berzikir kepada Allah swt. Ada zikir yang mempunyai ruang masa dan tempat seperti solat, dan ada zikir yang tidak mempunyai ruang masa dan tempat dan kita boleh berzikir bila-bila masa, dan dimana sahaja selagi bukan yang dilarang. Hidupnya kita nanti di kubur dengan zikir yang kita amalkan di dunia ini.



4. Menyampaikan ilmu yang bermanfaat : Lidah hendaklah digunakan untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat untuk kemaslahatan ummat. Setiap patah ilmu yang keluar dari mulut dan lidah yang membawa kebaikan, semuanya akan dihitung oleh Allah swt. Disebut oleh Syeikh Abdul Qader rhm, Ilmu Yang Manfaat, dengan maksud yang lain, walaupun kekadang ada ilmu yang betul dan benar, tetapi ianya tidak sesuai untuk diajar, disampaikan atau diberitahu kepada masyarakat, kerana dikhuatiri salah faham padanya, silap maksudnya, maka mudharatnya nanti akan lebih besar, maka ianya tidak manfaat untuk diperkatakan walaupun ianya ada sumber dan betul.

5. Memberi Nasihat : Lidah diguna pakai untuk memberi nasihat yang baik dan membawa kepada keamanan ketaatan serta ketaqwaan. Nasihatlah dari hati untuk masuk kehati, nasihat yang ikhlas akan tetap dihitung dengan kebaikan dan merupakan amal soleh yang tidak akan disia-siakan oleh Allah swt.

6. Antara kebaikan lain daripada lidah yang dituntut ialah menyeru manusia kepada kebaikan, melaksanakan perintah-perintah Allah swt dan melarang manusia dari melakukan kemungkaran. Ini bertepatan sepertimana yang disebutkan oleh Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud : " Dan jadilah kamu dikalangan umat yang menyeru kepada kebaikan, memerintahkan yang ma'ruf, dan mencegah kemungkaran...".

Kita juga diingatkan bahawa lidah juga sering terkait dengan beberapa dosa. Dan perkara ini hendaklah kita jauhi dan hindari, antaranya :

1. Bercakap bohong atau berdusta. Berdusta merupakan dosa dan diantara tanda-tanda kemunafikan apabila seseorang itu bercakap dia akan berdusta. Dusta dalam perkara-perkara yang menyakiti maka ianya termasuk dalam dosa-dosa besar, tetapi sekiranya dusta itu bukan niat untuk menyakiti ianya termasuk dalam dosa kecil.

Dalam hal berdusta ini juga, ulamak memperbahaskan, ada ketikanya berdusta itu tidak berdosa sekiranya ianya menuntut hajat yang bersangatan seperti mengelak daripada mudharat yang besar. Contohnya : seseorang yang kita lihat sedang bersembunyi dari seorang yang ingin menzaliminya, maka hendaklah kita berdusta malah wajib berdusta akan perihal persembunyian seseorang itu agar ianya terselamat daripada dizalimi atau dibunuh.

2. Antara dosa yang hadir dari lidah juga ialah memungkiri janji atau suka berjanji manis tetapi tidak menepati janji. ini juga termasuk di dalam tanda-tanda kemunafikan yang akan ada di dalam diri seseorang.

3. Kita juga dilarang mengumpat. Ijmak ulamak menyatakan mengumpat ini merupakan dosa besar kerana terdapat ayat al-Quran yang memperumpamakan orang yang mengumpat itu seumpama memakan daging orang yang diumpatkan. Ini menunjukkan keharaman dan dosa mengumpat.

4. Antara dosa lidah juga ialah mengadu domba atau disebut Namimah. Nabi saw bersabda, "Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba".

Ingatlah lidah ini diibaratkan senjata yang bermata dua yang boleh membawa kepada kebaikan dan boleh juga membawa kepada kebinasaan.

Sayyidina Muaz bin Jabal pernah meminta nasihat daripada Baginda Nabi saw, lalu Nabi saw menasihatinya : Wahai Muaz hendaklah engkau menahan ini (dengan menunjukkan lidah baginda yang sangat mulia) dari perkara yang tiada manfaat bagi engkau"

Sayyidina Abu Bakar r.a pula pernah berkata kepada para sahabat " Ketahuilah olehmu bahawa lidah ini adalah tempat segala kebinasaan dan jagalah olehmu akan dia"

Semoga kita dapat menjaga lidah kita dari sebarang kata-kata yang tiada faedah dan maksiat.

Nabi saw bersabda " daripada kebaikkan seseorang itu, ia tinggalkan perkara yang tiada manfaat baginya".

Wallahualam.

Selasa, 25 Julai 2017

Jaga Telinga Untuk Suci Hati


Image result for jaga telinga utk hatiTelinga yang sifatnya mendengar ini merupakan salah satu anggota yang akan dipertanggung jawabkan oleh Allah swt nanti diakhirat untuk di audit dan ditanya. Oleh itu telinga ini dijadikan Allah swt untuk beberapa faedah. Faedah telinga ada yang membawa kepada urusan dunia dan urusan akhirat. Antara faedah dunia ialah dengan kita bersedap-sedap mendengar seperti kita mendengar bunyi-bunyian burung berkicauan, angina yang bertiup, ombak yang menghempas pantai, bunyi suara suami atau isteri yang membebel, maka itu semua adalah faedah dunia. Dan kita boleh memahami apa yang kita dengar.


Faedah Akhirat pula dengan kita mendengar akan ayat-ayat  suci al-Quran al-Karim, Hadith-hadith Nabi saw, mendengar ilmu yang bermanfaat.

Sekiranya tidak mampu untuk membaca al-Quran, paling tidak isikanlah masa kita dengan mendengar ayat-ayat suci al-Quran, jadikanlah al-Quran itu sebagai terapi jiwa dengan kita mendengar dan lebih baik lagi mendengar pula akan huraiannya.

Hadith-hadith nabi juga diantara perkara yang wajib kita dengar kerana sifat hadith itu menerang dan menghuraikan ayat-ayat al-Quran. Bagaimana kita hendak mendapat pertunjuk daripada Allah swt sekiranya al-Quran dan Hadith kita tidak suka mendengarnya, sedangkan jalan menuju akhirat itu ada pada al-Quran dan hadith Nabi saw. Para ulamak terdahulu sangat mengambil peri penting akan al-Quran dan Hadith-hadith Nabi saw. Malah mereka menghabiskan masa mereka untuk memahami al-Quran dan Hadith-hadith baginda Nabi saw.

Diceritakan, seorang syeikh mengajar hadith disebalik tirai, sehinggalah suatu hari dia merasakan anak muridnya itu seorang yang bersungguh dan sangat rajin dalam mempelajari hadith. Lalu satu hari dia pun membuka tirai yang menjadi hijab diantaranya dengan anak muridnya selama ini. Alangkah terkejutnya anak murid tadi melihat wajah gurunya seumpama keldai. Lalu gurunya berkata, wahai anak muridku, Nabi saw bersabda “ janganlah kamu mengangkat kepalamu mendahului imam kerana ditakuti Allah swt akan mengubah wajah/kepalamu menjadi himar/ keldai”. (riwayat Muslim). Aku dulu disaat mendengar hadith ini aku berkata adakah akan berlaku perkara seperti ini, lalu akupun mendahului imam ketika dalam solatku, maka akhirnya jadilah wajahku seperti apa yang disabdakan oleh Baginda Nabi saw.- Tuhfatul ahwazi.

Hendaklah kita banyak mendengar hadith-hadith nabi saw, dan ulamak-ulamak terdahulu sangat memuliakan majlis simak/ dengar hadith. Ada dikalangan mereka bila mendengar sahaja hadith nabi dibaca, mereka akan terus duduk dengan penuh hormat, beradab dan takzim.

Selain itu, telinga juga hendaklah digunakan untuk mendengar ilmu yang memberi manfaat. Ilmu yang tiada memberi manfaat hendaklah dijauhi dan ulamak khilaf dalam soal mendengar ilmu yang tidak bermanfaat seperti ilmu sihir, ilmu falsafah dan sebagainya. Namun harus hukumnya kita mendengar selagimana kita mempunyai pertimbangan akal yang baik dan kecerdikan dalam menilai. Tetapi sebahagian ulamak mengatakan haram mendengar ilmu yang tidak memberi manfaat keran dibimbangi orang yang tidak cerdik dan tidak mampu membuat pertimbangan akan menjadi sesat atau setidaknya timbul pelbagai kecelaruan dan keraguan pada dirinya yang boleh membawa kepada musibah.

Nabi Saw mengajar kita agar berdoa “ Ya Allah lindungi aku dari ilmu yang tidak memberi manfaat, dari nafsu yang tidak pernah kenyang, dari hati yang tidak khusyuk, dan dari doa yang tidak didengari” ini menunjukkan ilmu yang tidak bermanfaat itu hendaklah kita elakkan dari mendengarnya, dan disurh kita untuk berdoa dijauhi dari perkara yang tiada faedah.

Tanda seorang hamba yang bersyukur dengan nikmat telinga yang Allah swt berikan ini hendaklah dia memelihara telinganya dari perkara yang haram seperti mendengar umpatan dan mengadu domba, mendengar suara perempuan yang mendatangkan fitnah, serta mendengar muzik dan alatan muzik yang diharamkan.

Mengumpat, adu domba, fitnah merupakan dosa besar yang perlu kita jauhi. Sekiranya kita mendengar ada suara-suara umpatan dan seumpamanya, maka hendaklah kita jauhkan diri kita sehingga tidak mendengar akan perkara tersebut. Kecuali jika kita orang yang dipertanggung jawabkan untuk mendengar dan menyelesaikan perkara tersebut seperti seorang kadi, peguam, hakim mendengar aduan daripada seorang isteri akan perihal suaminya yang tidak baik. Maka itu tidak termasuk membuka aib atau mendengar umpatan yang terlarang.

Kita juga hendaklah memelihara telinga dari mendengar suara wanita yang boleh mendatangkan fitnah. Suara wanita bukanlah aurat, ianya boleh didengar, tetapi para wanita hendaklah mengelak dari berbicara dengan lelaki dengan suara yang menggoda, manja, yang boleh mendatangkan fitnah. Bagi lelaki pula hendaklah ia menjauhi telinganya dari mendengar bicara bisikan wanita yang dia rasa suara itu boleh membawa fitnah kepada hatinya sehingga ia tergoda.
 
Telinga juga hendaklah dijauhi dari muzik dan alatan muzik yang diharamkan. Dalam hal ini, kita kena memahami, bahawa perbahasan kitab ini terkait dengan ilmu tasawuf. Jalan-jalan tasawuf dan penyusian hati itu tidak sama seperti method dan pendekatan feqah ataupun method dakwah. Sebab pendekatan ini adalah untuk islah memperelok hati kita. Sebab itu dikatakan Haram. Kerana menutup pintu-pintu kelalaian dari muzik dan peralatan yang mengasyikkan. Namun bagi ahli syariah, muzik dan alat itu sangat panjang perbahasannya dari sudut feqh dan ianya khilaf dikalangan para ulamak feqh. Malah kalau menggunakan method dakwah pula pendekatan dengan muzik ini juga ada sudut pandang yang berbeza. Justeru itu, perlu kita fahami ilmu apa yang sedang kita pelajari dan pintu mana yang sedang kita masuki, agar dapat kita fahami dengan baik method dan matlamat dari setiap cabang ilmu tersebut. Dan tidak menyalahkan yang lainnya kerana sudut pandang yang berbeza.

Selain itu. Telinga yang mendengar  ini juga diumpamakan seperti makanan yang masuk kedalam perut. Jika seseorang itu silap makan, maka mudharat akan menimpanya. Begitulah juga soal telinga yang mendengar, jika banyak perkara yang dipasakkan ditelinga ini yang positif, maka yang positiflah yang akan difikirkan dan melahirkan hati jiwa yang tenang, sebaliknya jika yang negative yang dipasakkan ditelinga ini setiap hari, maka akan lahirlah pemikiran yang negative dan hati yang rosak dan keji. Malah makanan jika tersilap makan, dengan ubat dan beberpa hari sahaja boleh baik dan sembuh, tetapi telinga yang mendengar yang tidak baik, kekadang merosakkan hati dibawanya sampai ke mati.

Diceritakan dalam kitab tobaqat al-Kubra, Imam al-Buwaitu dipenjarakan, maka menjelang hari jumaat, imam buwaiti akan mencuci pakaiannya dan mandi kemudian memakai pakaian yang dicucinya serta mengenakan haruman wangi, lalu bila dia mendengar sahaja laungan muezzin untuk solat jumaat, bergegas ia lagi ke pintu gerbang penjara untuk menyahut seruan muezzin. Lalu dihalau oleh penjaga penjara. Imam Buwaiti pun mengangkat tangan, lalu berdoa, Ya Allah sesungguhnya aku telah menyahut panggilan muezzin sedangkan mereka menghalangiku.

Gunakanlah telinga kita untuk mendengar perkara yang baik. Azan yang dilaungkan untuk kita dengar, kekadang kita abaikan atau tidak indahkan, sedangkan itu syiar yang perlu kita dengar dan menyahutnya.

Ingatlah, setiap yang kita dengar dari telinga yang dipinjamkan oleh Allah swt ini, akan dihisab dan diadili diakhirat nanti, semoga dengan kita melihat dan mendengar perkara yang baik-baik, pemikiran kita jadi baik, hati kita jadi tenang, amal ibadah kita juga turut khusyuk insyallah.
 
Wallahua’lam…
 
 

Selasa, 18 Julai 2017

Jaga mata Untuk Suci Hati

Image result for jaga mata untuk hatiMata ini dijadikan Allah swt untuk beberapa faedah. Faedah mata ada yang membawa kepada urusan dunia dan urusan akhirat. Faedah Akhirat dengan kita melihat akan kebesaran-kebesaran Allah swt dan dikembalikan kepada Allah swt seperti melihat langit, bulan bintang, matahari dan seumpamanya maka datang dalam hati keyakinan dari penglihatan itu akan Kewujudan Allah swt, Keesaan Allah, Qurdahnya Allah. Maka ini yang disebut oleh baginda Nabi Muhammad saw, agar kita melihat alam ini dan berfikir akan kebesaran Allah  تفكروا في خلق الله ولا تتفكروا في ذات الله … itu fungsi dan faedah dari mata yang membawa kepada akhirat.

Dan diantara cara untuk menjaga kesucian hati, hendaklah mata itu sentiasa memandang kepada perkara yang baik dan mendorong kearah kebaikan seperti al-Quran, jalan-jalan ke Masjid, dan majlis-majlis menuntut ilmu.

Mata juga membawa kepada faedah dunia seperti melihat  kepada kehidupan, pekerjaan, bangunan, kenderaan, kekeluargaan dan sebagainya dan hendaklah kita menjaganya dari perkara yang mendatangkan musibah.

Tanda seorang hamba yang bersyukur dengan nikmat mata yang Allah swt berikan ini hendaklah dia memelihara pandangan matanya dari perkara yang haram seperti melihat perempuan yang bukan mahramnya, melihat kepada aurat dan perkara-perkara maksiat.

Allah swt berfirman maksudnya ; Hai Rasulullah, katakana bagi setiap lelaki yang beriman, PEJAMKAN olehmu akan mata kamu daripada perkara yang tiada harus bagimu melihatnya , dan peliharalah olehmu akan faraj (kemaluanmu) dari perkara yang haram, dan yang demikian itu (memelihara) itu adalah yang baik bagimu. Allah swt sangat mengetahui dengan apa yang kamu kerjakan (zahir dan batin). – surah an-Nur:30

Hukum menjaga mata dari melihat yang haram adalah WAJIN kerana ini merupakan perintah Allah swt. Sesiapa yang mengingkarinya maka ia termasuk dalam orang yang jahat perangainya dan dimurkai Allah swt dan ada perhitungan seksaannya daripada bahagian maksiat mata tersebut.

Justeru Allah swt menyuruh kita menjaga mata dan faraj sebagai asbab untuk membersihkan hati daripada segala dosa dan sebab bagi membanyakkan pekerjaan yang baik-baik.

Allah swt berfirman : Allah swt mengetahui akan khianat mata (mencuri memandang yang haram) dan mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati (cita-cita keinginan untuk mengerjakan kejahatan atau kebaikan)

Nabi saw bersabda : Sesungguhnya memandang kepada bahagian daripada bentuk tubuh wanita itu seperti anak panah yang beracun daripada segala anak panah iblis (mudah untuk membawa kepada kebinasaan). Maka barangsiapa yang meninggalkan pandangan maksiat itu kerana takut kepada Allah swt, maka Allah swt akan mendatangkan kepadanya kenikmatan dan kesedapan dalam ibadah.

Baginda Nabi saw juga bersabda ; Ada bagi tiap-tiap manusia itu bahagiannya daripada zina. Maka dua matanya itu berzina dan zina kedua mata itu dengan cara memandang kepada apa yang dilarang untuk dia melihatnya.

Bagi ASWJ, mata akan memandang zat Allah swt di dalam syurga dengan tiada menyerupai kelakuan melihat yang baharu. Dan nikmat yang paling besar ialah apabila melihat seorang hamba akan tuhannya. Maka mata yang ingin melihat akan zat tuhannya itu hendaklah dipelihara dan dimuliakan sehabis-habisnya dan tidak dikotori dari memandang yang haram didunia ini.

Pandangan merupakan pangkal bencana yang menimpa manusia. Sesungguhnya pandangan akan melahirkan lintasan dalam hati. Kemudian lintasan hati akan melahirkan fikiran. Fikiran  akan melahirkan syahwat. Syahwat membangkitkan keinginan. Kemudian keinginan itu menjadi kuat, dan berubah menjadi tekad yang bulat. Maka apa yang tadinya melintas dalam fikiran menjadi kenyataan, dan itu pasti akan terjadi selama tidak ada yang menghalanginya. Maka sungguh bagus suatu nasihat: kesabaran dalam menundukkan pandangan masih lebih ringan daripada kesabaran dalam menanggung beban sakit setelahnya.- Ibnu Qayyim

Suatu hari ditanya kepada Imam Abi Sujak rhm, sohibul matan Abi Syujak, tatkala umurnya yang begitu berusia dan dikatakan usianya mencecah 160 tahun, ditanya bagaimana dalam usia yang begitu tiada satupun anggota pancainderanya yang tercedera? Maka dijawabnya Kami menjaganya diwaktu kecil, Allah swt menjaganya diwaktu besar.

Nabi saw bersabda :

إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوْسَ عَلىَ الطُّرُقَاتِ، قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ الله, مَجَالِسُنَا، مَا لَنَا بُدٌّ مِنْهَا. قَالَ: فَإِنْ كُنْتُمْ لاَ بُدَّ فَاعِلِيْنَ فَأَعْطُوْا الطَّرِيْقَ حَقَّهُ، قَالُوْا: وَمَا حَقَّهُ؟ قَالَ: غَضُّ البَصَرِ وَكَفُّ الأَذَى وَرَدُّ السَّلاَمِ

“Janganlah kalian duduk-duduk di pinggir jalan-jalan.’Para sahabat berkata, ‘Wahai Rasulullah, itu tempat kumpul kami. Kami tidak dapat meninggalkannya.’Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ‘Jika kalian harus melakukan hal itu, berikan kepada jalan itu haknya.’Para sahabat bertanya, ‘ Apakah haknya?’Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ‘Menundukkan pandangan, menghilangkan gangguan, dan menjawab salam.’” (HR Al-Bukhari, no.6229; Muslim, no.2121)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda,

لاَتُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ, فَإِنَّمَا لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الأَخِيْرَةُ

Janganlah kamu mengikutkan pandangan dengan pandangan berikutnya. Sebab hanya pandangan pertama saja yang dibolehkan bagimu, tidak untuk pandangan setelahnya.”

Makruf al-Karkhi rhm pernah berkata : Jagalah pandangan matamu walau kepada kambing betina.

Hidup kita ini secara realitinya hari ini dikelilingi maksiat terutamanya dari wanita yang tidak menutup aurat, justeru banyakkan dan lazimilah lidah dan hati kita dengan istighfar setiap kali kita memandang kehidupan keliling kita supaya maksiat yang dipandang itu tidak terlintas dengan fikiran syahwat dan bertapak di dalam hati.

Malah diceritakan, ada ulamak kita yang berdoa dihadapan kaabah disebalik musibah kehidupan hari ini yang sukar untuk mengawal penglihatannya kepada wanita-wanita disekelilingnya, lalu dia berdoa “ Ya Allah, jadikanlah penglihatanku kepada wanita-wanita itu seumpama aku melihat tembok batu yang tiada syahwat padanya”.

 لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم



Berita Harian - Perkongsian Penerbit Rancangan IKIM

Image may contain: 1 person

ILMU TASAWUF DIDIK HATI AKHLAK MULIA

ILMU TASAWUF DIDIK HATI AKHLAK MULIA 
Image result for penawar bagi hati
Ilmu tasawuf bukan ilmu baru, tetapi ilmu ini telah ada sejak zaman Nabi kita Muhammad saw, para sahabat, salafuna soleh, dan berterusan diamalkan oleh ahlinya hingga ke hari ini.

Ilmu Tasawuf yang dipelajari akan membolehkan kita mengetahui kelakuan hati berbanding kelakuan zahir yang sememangnya nampak dipandangan mata kasar.

Kelakuan hati yang baik menjadikan manusia bersifat tawadhuk, menunduk, sentiasa berasa hina dihadapan Allah swt. Menjadikan manusia sabar. Sabar bukan sekadar menahan kemarahan dan ujian, tetapi sabar dengan makna الربط mengikat nafsu dari perbuatan keji dan ianya memerlukan sifat mujahadah yang tinggi.

Ikat Nafsu tidak seperti kita mengikat lembu dan kambing yang nampak ada talinya, tetapi nafsu diikat dengan Iman dana mal yang tidak dapat dilihat dengan zahir.

Tasawuf juga akan mengenalkan kita dengan penyakit-penyakit hati dan sifat-sifat tercela, membesar diri, takabbur, dengki dan sifat-sifat yang dimurkai oleh Allah swt.

Sifat Takabbur dan Berbangga itu hanya sifat yang khusus milik Allah swt dan tidak boleh ada dalam diri manusia, jika ada, ia akan membawa kepada kecelaan dan dosa.

Hati manusia sering berbolak balik sifatnya, dan dalam bahasa arab hati disebut al-Qalb yang membalik atau membolak balik sifatnya. Oleh sebab hati ini sifatnya berbolak balik, maka Nabi saw mengajar kita agar sentiasa berdoa  يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا علي دينك وعلي طاعتك memohon keredhaan hidayah petunjuk bimbingan agar hati kita sentiasa ditetapkan oleh Allah swt.

Ada manusia beriman diwaktu siang kufur diwaktu malam dan sebaliknya, ini semua tanda hati manusia itu mudah berbolak balik dan hendaklah kita berdoa dan mohon hidayah dan dijauhi kekufuran.

Allah swt mengutuskan Nabi saw untuk mengajar kita akan tanda-tanda kebesaran Allah swt, menyucikan hati, dan mengajar kita akan al-Kitab seperti yang disebut dalam al-Quran. Manusia sebelum diutuskan Nabi berada dalam kekufuran rosak akidah, rosak syariah dan akhlak, maka Rasulullah saw datang untuk membawa kebenaran memperbetulkan akidah, syariat dan akhlak mereka.

Imam Junaid al-Baghdadi mengatakan ilmu Tasawuf itu ialah ilmu untuk manusia mengambil setiap sifat yang terpuji dan meninggalkan sifat tercela. Imam al-Syibli pula menyatakan ilmu Tasawuf ialah ilmu untuk mengabdikan diri kepada Allah swt tanpa keluh kesah, segala ujian Allah swt beri diterima dengan hati yang redha, sabar dan pasrah.

Faedah mendalami ilmu Tasawuf ialah untuk mengosongkan hati manusia daripada perkara selain Allah swt dan menghiasinya kepada tuhan sekalian alam. Namun ini bukan bererti dunia kita tinggalkan, dunia tetap digunapakai sebagai tempat bercucuk tanam menuju akhirat. Dunia diletak ditangan bukan dihati.

Dalam beribadat, kita hendaklah ada ihsan, iaitu seolah-olah kita melihat Allah swt walapun kita tidak melihat allah swt pada hakikatnya tetapi yakin dan percaya Allah swt maha melihat kita. Dan bagaimana kita melihat ala mini dengan kebesaran Allah swt. Dunia jika bertapak dihati, maka tidak aka nada lagi kebesaran Allah dalam diri manusia, dan manusai akan mula menuju kehancuran disebabkan nafsu yang keji dan akhirnya mendatangkan kecelakaan kepada amal ibadahnya jua.

Hukum mempelajari Ilmu Tasawuf ini adalah fardhu ain, wajib kerana tanpa mempelajari ilmu ini, kita bimbang amal kita akan terhalang dari mendapat pahala dan redha daripada Allah swt. Bimbang amal kita menjadi debu-debu yang beterbangan, yang sia-sia kerana ada penyakit-penyakit hati seperti riak, ujub dan sebagainya.

Rasulullah saw dan para sahabat sangat mementingkan amal hati disamping amal zahir. Rasulullah sentiasa beristighfar dan menghubungkan dirinya dengan Allah swt setiap masa dan bermunajat dimalam hari. Ini sebagai contoh tauladan untuk kita bagaimana menyucikan hati dan membina hubungan batiniah dengan Allah swt.

Ujian sentiasa ada dalam kita mengharungi kehidupan ini, untuk menjaga hati bukan suatu yang mudah, namun kita kena memperbetulkan terlebih dahulu akidah kita, kepercayaan kita, iman kita kepada qada’ dan qadar. Kemudian sentiasa sabar dengan ketentuan yang ditaqdirkan, dan lihatlah kehidupan-kehidupan manusia yang mungkin lebih teruk diuji ddaripada kita.

Hati ini hendaklah dipujuk (dididik dilenturkan)  dengan sentiasa membaca al-Quran dan mentadabbur, ingatlah Allah swt sebut di dalam al-Quran, orang beriman itu pasti akan diuji, dan makin kuat ujian, makin tinggi kesabaran, maka itulah tanda kasih saying Allah untuk meninggikan darjat seseorang hambaNya.

Mempelajari kitab penawar bagi hati ini merupakan muqaddimah kepada ilmu tasawuf. Dan ingat, untuk mendalami ilmu tasawuf dan penyucian hati, kita hendaklah terlebih dahulu mempelajari ilmu syariah dan mengenal akan segala yang Halal dan yang Haram dalam setiap perbuatan dan zahir amalan kita. Ini kerana, setiap amal zahir itulah yang akan mempengaruhi dan membentuk hati kita. Amal zahir yang sentiasa taat pada perintah Allah dan mengenal akan yang halal dan yang haram, maka itulah yang akan membawa kepada ketenangan hati dan membawa kepada kebaikan.