![]() |
TG. Syeikh Ibrahim Masran al-Banjari |
Ini risalah yang dinamakan dia "AL-MURSYID ASH-SHOLIH PADA MENYATAKAN ADAB DAN AHKAM MENYEMBELIH"
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذي شرع لعباده التقرب إليه بذبح
القربان وقرن النحر بالصلاة في محكم القرآن ، وأشهد أن لا إله إلا الله
وحده لا شريك له ذو الفضل والامتنان ، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده وسوله
أفضل من قام بشرائع الإسلام وحقق الإيمان , صلى الله وسلم عليه وعلى آله
وأصحابه ومن تبعهم بإحسان . أما بعد :
Berkata hamba yang mengharap ampunan Allah Al-Baari Al-Bashir,
Ibrahim ibn Masran Al-Banjari zut taqshir : Sebahagian ikhwan yang mulia
telah meminta kepada faqir tentang petua-petua dan ahkam berkait
tentang penyembelihan binatang dan munasabah dengan hari raya korban
yang bakal tiba, maka terfikirlah dizihin faqir untuk menulisnya dalam
suatu risalah yang kecil sekalipun faqir bukan ahlinya.
Maka faqir dhobitkan khulasah beberapa perkara yang berkaitan
dengannya. Faqir kutip daripada beberapa buah kitab feqh Mazhab Syafi'e
seperti Hasyiah Al-Baijuri, I'anah Ath-Thalibin, Al-Iqna', Al-Majmu',
Mughni Al-Muhtaj, Tuhfah Al-Muhtaj, Sabil Al-Muhtadin, Matla'
Al-Badrain, dan selainnya atas jalan ikhtisar seadanya. Serta faqir
berikan beberapa tanbihaat dan fawaed berhubung dengannya. Lalu faqir
namakan risalah ini : Al-Mursyid Ash-Sholih, Pada Menyatakan Adab dan
Ahkam Sembelih.
Semoga risalah yang kecil ini bermanfaat buat diri faqir dan para pembaca semua. Allahumma Aamiin.
- Disyaratkan penyembelih itu adalah Muslim. Serta hendaklah ia menyembelih kerana Allah dan bukan kerana selainNya.
- Asas sembelihan korban dan sembelihan biasa tiada banyak bezanya, kecuali pada bacaan بسم الله الرحمن الرحيم dan, الله اكبر serta menerangkan untuk siapa korban itu dilakukan.
- Disukai yang menyembelih binatang korban itu adalah orang yang berkorban, sekalipun ia perempuan. Bagaimanapun harus baginya mewakilkan kepada orang lain. Imam an-Nawawi رحمه الله تعالى menghukumkan makruh bagi anak kecil dan perempuan haid melaksanakan sembelihan.
- Disyaratkan binatang itu ada hayat mustaqirrah pada mula-mula sembelihan. Antara tanda ada hayat mustaqirrah ialah kuat geraknya ketika disembelih dan menyembur darahnya, atau memada dengan kuat geraknya sahaja mengikut pendapat Imam an-Nawawi رحمه الله تعالى .
- Sunat menajamkan pisau atau parang yang hendak digunakan serta tidak mengasahnya dihadapan binatang korban.
- Sunat diberi binatang itu minum sebelum ia disembelih dan jangan disembelih binatang tersebut di hadapan binatang korban yang lain.
- Sunat merebahkan binatang korban dengan menghadapkan mukanya ke arah qiblat serta di atas lambung kiri. Dikala merebahkan binatang itu, sunat membaca: رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيم
- Sunat penyembelih menghadap qiblat dan dalam keadaan berwudu'.
- Wajib atas orang yang menyembelih itu memotong halqum (tempat keluar masuk nafas) dan mari' (tempat laluan makanan yang terletak di bawah halqum) sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Hendaklah menyembelih dengan bersungguh-sungguh dan tidak bermain-main. Hendaklah berlaku ihsan dan tidak menzalimi binatang tersebut.
- Sunat disembelih pada bahagian hujung leher (sebelah atas) untuk binatang yang berleher pendek seperti lembu, kerbau dan kambing. Adapun bagi binatang yang berleher panjang seperti unta, maka sunat disembelih pada bahagian pangkal leher (berhampiran dada), kerana mengikut sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Hikmahnya adalah memudahkan roh binatang itu keluar.
- Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing itu dengan dibaringkannya di atas tanah sebelah rusuk kirinya serta diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu. Adapun unta, maka sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta itu berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. Rujuklah dalam al-Mughni.
- Sunat juga meletakkan sebelah kaki penyembelih ke atas batang leher binatang atau lambungnya supaya binatang itu tidak dapat menggerakkan kepalanya.
- Ketika hendak menyembelih binatang korban, sunat dibaca seperti berikut :
اللهُ اَكْبَرْ! اللهُ اَكْبَرْ! اللهُ اَكْبَرْ! بِسْمِ الله اللَّهُمَّ صَلِّي عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد
Kemudian berniat, seperti berikut :
اللَّهُمَّ هَاذِهِ أُضْحِيَّةً مِنْكَ
وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنِّيْ, اللهُ اَكْبَرْ اللهُ اَكْبَرْ اللهُ
اَكْبَرْ وَلِلَّهِ الْحَمْد
Maksudnya: "Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah Ya
Tuhanku kurniakan selawat dan rahmat keatas Sayyidina Muhammad. Ya Allah
ya Tuhanku, Ini korban daripada Engkau dan kembali kepada Engkau, maka
terimalah korban daripada hamba. Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!
Allah Maha Besar! Dan kepada Allah lah kembali segala pujian."
14. Bagi tukang sembelih yang diwakilkan untuk menyembelih,
hendaklah menyebutkan atau meniatkan nama-nama pemilik korban. Harus ia
mendahulukan niat sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.
Peserta korban pula disunatkan hadir menyaksikan penyembelihan tersebut.
Niatnya adalah seperti berikut :
اللَّهُمَّ هَاذِهِ أُضْحِيَّة لِ........ ("فلان بن فلان") مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا
Maksudnya : "Ya Allah, sembelihan korban ini, adalah
untuk......(nama peserta korban)..... dari Engkau dan kepada Engkau,
maka terimalah daripada kami korban ini.."
Jika tujuan sembelihan itu adalah untuk 'aqiqah, maka diniatkan :
اللَّهُمَّ هَاذِهِ عَقِيْقَة لِ........ ("فلان بن فلان") مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا
Maksudnya : “Ya Allah, sembelihan aqiqah ini, adalah
untuk....(nama peserta korban).... dari Engkau dan kepada Engkau, maka
terimalah daripada kami aqiqah ini.."
15. Sunat dibiarkan binatang itu setelah disembelih sehingga ia mati.
(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Waktu penyembelihan
korban adalah bermula setelah matahari terbit pada 10 Zulhijjah dan
sesudah qadar selesai solat dua rakaat solat iedil adha berserta dua
khutbah yang ringkas. Afdhalnya adalah ketika matahari naik segalah.
Waktu penyembelihan korban ini berlanjutan sehingga terbenam matahari
13 Zulhijjah. Jika disembelih binatang korban itu setelah berakhir hari
tasyriq (10-13 Zulhijjah), maka sembelihannya tidak dianggap sembelihan
korban.
Tetapi bagi korban wajib (korban nazar) yang tidak sempat dilakukan
pada tempoh hari tasyriq itu, binatang itu tetap wajib disembelih
sekalipun di luar waktunya dan sembelihan itu dikira sebagai qadha'.
Demikian fatwa dalam Hasyiah I'anah.
(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Haram bagi penyembelih
mengambil upah kulit atau tanduk atau ekor atau daging daripada pemilik
korban dengan jalan upah. Tetapi harus baginya menerima daging tersebut
daripada pemilik korban dengan jalan sedekah jika ia termasuk orang
miskin atau dengan jalan hadiah jika dia bukan orang miskin.
(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Telah banyak orang
awam yang jatuh ke dalam syubhat akibat mewakilkan sembelihan dan agihan
daging TANPA menyatakan apakah ia korban wajib (kerana nazar) atau
korban sunat. Perkara ini mendatangkan beberapa masalah dan hukum
penting iaitu :
1) Jika korban itu adalah korban wajib, maka kesemua dagingnya
wajib disedekahkan kepada faqir miskin dalam keadaan mentah, serta haram
memindahkan daging korban tersebut daripada tempat sembelihan ke negeri
lain. Ini pendapat jumhur Syafi'iyyah.
2) Jika korban itu korban sunat, maka sebahagian daging korban
itu harus dihadiahkan (bahagian hadiah) atau dimakan oleh orang yang
berkorban (bahagian milik tuan korban). Maka milik bahagiannya (hak
milik tuan yang berkorban) itu dihukumkan harus dipindahkan ke negeri
lain, manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada faqir miskin
(bahagian sedekah) hukumnya wajib disedekahkan di tempat korban serta
haram dipindahkan ke negeri lain. Rujuklah Hasyiah I'anah Ath-Thalibin
bagi al-'Allamah As-Sayid Al-Bakri رحمه الله تعالى.
(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Haram memberi sedekah
atau hadiah walaupun sedikit kepada orang kafir sekalipun dia kaum
kerabat, jiran tetangga atau ahli pakatan dalam parti dan sekalipun ia
faqir miskin daripada kafir zimmi, samada ia korban wajib atau korban
sunat kerana korban adalah perkara yang berhubung dengan ibadat.
Sekiranya ada bahagian daging itu yang diberi, dihadiah atau dijual
kepada orang kafir, maka wajib diganti dengan yang lain sekira-kira
menyamai qadar berkenaan. Sebagaimana dicatatkan dalam Matla'
al-Badrain dan Sabil Al-Muhtadin dan selainnya.
Berkata guru kami, harus memberi kepada orang kafir jika daging itu
TELAH menjadi milik si faqir atau miskin, yakni setelah berlaku
pembahagian daging korban. Syaratnya pemilikan itu adalah dengan jalan
sedekah atas faqir miskin. Maka si faqir atau si miskin itu mendapat
daging dan daging itu menjadi MILIKnya, maka ia boleh sama ada
memakannya, menjualnya atau menghadiahkan kepada orang lain termasuk
kafir yang faqir. Itu pun hanya korban sunat sahaja. Adapun bagi korban
wajib, hukumnya haram.
Wal hasil, jika berasa ingin memberi kepada orang kafir juga, jalan
yang terbaik adalah dengan memberi daging yang dibeli dikedai, yakni
bukan daripada daging korban. Mengutamakan orang Islam itulah yang
dipilih bagi orang memahami.
(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Binatang yang sah
disembelih untuk dibuat korban adalah binatang ternakan beraki empat
seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri atau kibasy. Daripada
jenis binatang yang disebutkan itu, binatang jenis kambing, biri-biri
dan kibasy tidak boleh berkongsi, ia tertentu untuk seorang sahaja. Maka
jika dua orang berkongsi satu kambing pada korbannya, maka tidak sah
korbannya. Adapun unta, lembu, dan kerbau, boleh berkongsi atasnya
sehingga kepada tujuh orang sahaja. Tiada boleh lebih daripada itu.
(Tanbih) Binatang seperti ayam tidak memadai dibuat
korban atau aqiqah. Namun jika seorang itu benar-benar tidak mempunyai
kemampuan, harus baginya berbuat demikian tetapi hendaklah dia bertaqlid
kepada mazhab Ibn Abbas رضي الله عنهما. Demikian fatwa dalam Hasyiah
Baijuri.
(Faedah) Ini suatu faedah. Afdhal buat korban bagi
seseorang itu dengan seekor unta, kemudian seekor lembu, kemudian seekor
kibasy atau biri-biri, kemudian seekor kambing biasa. Ini dinisbahkan
dengan banyaknya daging kepada setiap jenis binatang. Kemudian berkongsi
seekor unta atau seekor lembu.
(Faedah) Ini suatu faedah. Seorang yang berkorban
dengan tujuh ekor kibasy lebih afdhal daripada tujuh ekor kambing.
Manakala tujuh ekor kambing lebih afdhal daripada seekor unta dan seekor
lembu atau kerbau kerana bertambah taqarrubnya kepada Allah dengan
banyaknya darah yang mengalir daripada sembelihan binatang korban.
(Faedah) Ini suatu faedah. Afdhal binatang yang
dibuat korban itu yang bewarna putih, kemudian yang bewarna kuning, yang
putih tetapi tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya
berwarna putih, kemudian sebahagian yang berwarna hitam, kemudian yang
berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.
(Faedah) Ini suatu faedah. Binatang jantan yang
tidak banyak berkahwin lebih afdhal dari binatang betina. Sebaliknya
binatang betina yang belum melahirkan anak adalah lebih afdhal daripada
binatang jantan yang banyak berkahwin untuk disembelih sebagai ibadat
korban.
(Faedah) Ini suatu faedah bagi orang yang ingin
menyembelih binatang sama ada untuk korban atau untuk sembelihan biasa.
Petua ini juga diamalkan oleh guru kami Tuan Guru Haji Hashim Pasir
Tumbuh رحمه الله تعالى.
1. Supaya daging tidak berlemak :-
- Ada wudhu’ ketika sembelih binatang.
- Mata pisau disapu terlebih dahulu dengan minyak yang ada dibahagian hidung kita.
- Hulu pisau dibungkus dengan kertas atau sebagainya.
- Mata pisau dikilir atau digerakkan dengan belakang tapak tangan.
- Mata pisau diletak dekat butir halkum binatang
- Kedudukan seluruh badan kita jangan berbetulan dengan mata pisau
- Tahan nafas sewaktu hendak sembelih dan semasa sembelih maka nafas dilepas secara perlahan-lahan
3. Bacaan ketika mahu sembelih binatang supaya daging tidak berbau busuk :-
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الحَمْدُ
اللّهُمَّ هَذَا هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ
فَتَقَبَّلْ مِنَّا كَمَا تَقَبَّلْتَهُ مِنْ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ
خَلِيْلِكَ وَمِنْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبِيْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اللّهُمَّ
إِنِّي أَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ
4. Selesai sembelih binatang, maka sapukan hujung mata pisau kepada
pipi binatang tadi supaya lalat tidak datang menghurungi daging.
5. Supaya cukup atau memadai daging bagi setiap jamuan, insya'Allah, maka bacalah :-
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ِلإِيْلاَفِ قُرَيْشٍ إِيلاَفِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ
... kemudian hembus dan sapu kepada badan binatang bermula bahu hingga punggungnya.
6. Jangan basuh tangan dan mata pisau sehingga binatang sembelihan benar-benar telah mati
7. Sebaiknya tukang sembelih tidak menjadi tukang yang memandikan
mayat kerana biasanya boleh membawa kepada daging menjadi keras
والله تعالى أعلم بالصواب وإليه المرجع والماب
وصلى الله وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
والحمد لله رب العالمين
Al-Faqir ila Allah Al-Baari
Ibnu Masran Al-Banjari
9 Zulhijjah 1433H
![]() |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan