
Saya ingin berkongsi akan Hadith-hadith kelebihan surah Yaasiin dan sebahagian daripada pandangan para ulamak tentang kehebatan dan mukjizat surah Yaasiin.
Hadith Pertama :
Riwayat daripada Sayyidina Anas r.a, Rasulullah saw bersabda :
"إن لكل شيء قلبا ، وقلب القرآن يس ، ومن قرا يس كتب الله له قراءتها قراءة القرآن عشر مرات"
Ertinya : Sesungguhnya bagi tiap sesuatu itu ada hati, maka hati bagi al-Quran ialah surah Yaasiin. Sesiapa yang membaca surah Yaasiin, Allah swt akan menulis baginya dengan bacaan surah Yaasin itu seumpama ia membaca al-Quran 10 kali.
- Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Abu Isa al-Tirmizi. Terdapat juga riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. dengan sanad yang lain. Hadith ini dikatakan Hadith Gharib dengan sanad yang Dhoif.
Hadith Kedua :
Riwayat daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda :
"من قرأ يس في ليلة أصبح مغفورا له ، ومن قرأ حم التي يذكر فيها الدخان أصبح مغفورا له"
Ertinya : Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada malam hari, bangkit ia dalam keadaan diampunkan dosa baginya. dan barang siapa yang membaca surah Dhukhan, bangkit ia dalam keadaan diampunkan dosa baginya.
- Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hafidz Abu Ya'la dengan sanad yang baik. Terdapat juga riwayat yang mempunyai maksud yang sama tetapi lafaz yang sedikit berbeza yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dalam sohihnya, daripada Jundub bin Abdullah r.a, Rasulullah saw bersabda :
"من قرأ يس في ليلة ابتغاء وجه الله عز وجل غفر له"
Ertinya : Sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam hari dengan tujuan mengharap redha Allah, diampunkan dosa baginya.
Hadith Ketiga :
Riwayat daripada Ma'kil bin Yasaar r.a, Rasulullah saw bersabda :
إقرءوها على موتاكم -أي يس
Ertinya : Bacalah kamu akannya (surah Yaasiin) ke atas orang yang mati dikalangan kamu.
- Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, dan al-Nasaie.
Kelebihan surah Yaasin ini juga disebut oleh para ulamak, seperti yang dinaqalkan oleh Imam Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya :
Pertama :
انها لا تقرأ عند أمر عسير إلا يسره الله تعالى
Maksudnya : Sesiapa yang membaca Yaasin ketika dalam kesusahan, nescaya Allah swt akan memudahkan urusan baginya.
Kedua :
قراءتها عند الميت لتنزل الرحمة والبركة
Maksudnya : sekiranya dibaca pada jenazah, nescaya akan diturunkan Rahmat dan Keberkatan.
Ketiga :
ليسهل عليه خروج الروح
Maksudnya : Untuk memudahkan keluarnya ruh (ke atas orang yang sedang nazak)
والله أعلم
Kesimpulannya :
Membaca Yaasin seperti yang dibuat di Masjid dan Surau atau tempat-tempat tertentu di malam Jumaat itu suatu yang sangat baik dan ada asasnya walaupun dikatakan Bid'ah, maka ia termasuk dalam kategori BID'AH HASANAH. Walaupun hari Jumaat disunatkan membaca Surah al-Kahfi, namun membaca surah Yaasin pada malamnya juga tidaklah dilarang dan terdapat nas dan dalil secara umum "bagi sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam hari akan dibangkitkan dalam keadaan diampuni dosa-dosanya".
Alangkah beruntungnya mereka yang terus menerus membaca surah Yaasin pada malam Jumaat dengan harapan dibangkitkan pada pagi penghulu segala hari iaitu hari Jumaat dengan diampunkan dosa-dosanya, kemudian disambung terus dengan amalan-amalan sunat Jumaat seperti subuh berjemaah dengan membaca surah al-Sajadah, kemudian berwirid dan membaca surah al-Kahfi yang disunatkan untuk menghidari fitnah Dajjal, memperbanyakkan Salam dan Selawat ke atas Baginda Rasulullah saw, dan lain-lain amalan sunat Jumaat.
Semoga kita semua dapat mengambil manfaat... teruskan beramal semoga diberkati...
Rujukan : Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 3, Surah Yaasin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan