Isnin, 15 September 2014

Kewajipan dan Akibat Meninggal Sembahyang

Sembahyang / Solat
Sembahyang / Solat dari sudut bahasanya membawa maksud Doa. Menurut syarak pula, Sembahyang itu ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam menurut syarat-syarat yang tertentu.

Sembahyang adalah suatu kefardhuan yang telah diwajibkan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya. Setiap hari kita diwajibkan untuk sembahyang  lima waktu iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, dan Isyak.


Dalil Tentang Lima Waktu Sembahyang.

1) Firman Allah swt dalam surah al-Ruum ayat 17-18 :

Ertinya : "Maka mengucapkanlah kesucian bagi Allah (bertasbih) ketika kamu berada diwaktu petang (asar) dan ketika kamu berada di waktu pagi (subuh). Dan bagiNyalah segala puji-pujian di semua langit dan di bumi di kala kamu berada di malam hari (Maghrib dan Isyak) dan ketika kamu berada di waktu Zohor".

2) Firman Allah swt dalam surah Qaaf ayat 39-40 :

Ertinya : " ... dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari (Subuh) dan sebelum terbenam (nya) (Zohor dan Asar) . Dan bertasbihlah kepadaNya di malam hari... (Maghrib dan Isyak) ".

3) Firman Allah swt dalam surah al-Israa ayat 78 :

Ertinya : " Dirikanlah sembahyang setelah gelincir matahari (Zohor dan Asar) sampai gelap malam (Maghrib dan Isyak) dan (dirikanlah pula sembahyang) Subuh. Sesungguhnya sembahyang subuh itu disaksikan (oleh Malaikat)".

Dalil Tentang Kewajipan Sembahyang.

Kewajipan sembahyang lima waktu berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj, 2 tahun sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

1) Firman Allah swt dalam surah al-Nisa' ayat 77 :

وأقيموا الصلاة
Ertinya : " Dirikan oleh kamu akan sembahyang... "

2) Hadith riwayat daripada Sayyidina Anas bin Malik r.a daripada Nabi saw :

"فرض الله على أمتي ليلة الإسراء خمسين صلاة فلم أزل أراجعه وأسأله التخفيف حتى جعلها خمسا في كل يوم وليلة"

Ertinya : "Allah telah mewajibkan ke atas umatku pada malam Israk sebanyak 50 solat, maka aku sentiasa pergi dan balik untuk memohon keringanan kepada Allah sehingga dijadikan 5 waktu sembahyang dalam sehari semalam".- Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim

Sembahyang fardhu 5 waktu dimulai dengan waktu zohor dengan cara yang diajarkan oleh Malaikat Jibril a.s kepada Baginda Nabi saw pada waktu siang dan berterusan selama 2 hari disamping Ka'abah.


Akibat Meninggalkan Sembahyang

1) Mengingkari kefardhuan sembahyang maka jadilah seseorang itu MURTAD dan KAFIR..
2) Meninggalkan sembahyang tanpa uzur syarak adalah HARAM, BERDOSA BESAR.

Mereka yang mengingkari kefardhuan sembahyang dianggap MURTAD , dan Sultan atau Pemerintah wajib membunuhnya dengan dipenggal lehernya. Mayatnya diurus dengan tidak mengikut tatacara mayat seorang muslim.

Sekiranya meninggalkan sembahyang kerana malas sahaja, maka disuruh taubat selama 3 hari dan disuruh dirikan sembahyang. sekiranya dia enggan juga mendirikan sembahyang walau dengan satu waktu, maka pemerintah boleh membunuhnya dengan hukuman had, tetapi mayatnya diuruskan seperti umat islam yang lain.

Baginda Nabi saw bersabda :

"العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر"

Ertinya : "Janji setia antara kita dengan mereka ialah sembahyang. Barangsiapa yang meninggalkannya (ingkar tidak wajib sembahyang) maka kafirlah dia".

"من ترك الصلاة متعمدا فقد كفر جهارا"

Ertinya : "Siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja (ingkar), maka dia telah kafir secara terang-terangan".

"من ترك الصلاة متعمدا فقد برئت منه ذمة الله وذمة رسوله" 

Ertinya : "Siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka terangkatlah perlindungan Allah dan perlindungan RasulNya".

Nabi Saw bersabda :

Ertinya : " Sesiapa yang memelihara sembahyang, ia akan diberi cahaya, bukti dan keselamatan di hari kiamat. Siapa yang mengabaikannya, ia tidak akan diberi cahaya atau bukti atau keselamatan, malah di hari kiamat ia akan di tempatkan bersama-sama Firaun, Qorun, Haman, dan Ubai bin Khalaf".



Kesimpulannya :

Sembahyang merupakan suatu kefardhuan yang wajib ditunaikan oleh setiap fardhu muslim yang cukup syarat-syaratnya. Mengingkari akan kefardhuan sembahyang atau mencelanya boleh membawa kepada kemurtadan dan kekafiran. Seorang Islam yang meninggalkan sembahyang pula dihukumkan haram dan berdosa besar.

Akibat meninggalkan sembahyang adalah sangat besar, dan tidak akan selamat dari azam Allah swt serta kemurkaanNya.

Namun sebagai umat PENDAKWAH, kita bukan ingin sekadar menghukum bahawa orang itu Murtad, Haram, Pendosa Besar atau Fasiq dan sebagainya, tetapi ayuh berusaha memberi kefahaman dan pimpinlah tangan-tangan mereka untuk pergi ke rumah Allah dan menunaikan sembahyang. Ajarilah mereka dengan hikmah dan bijaksana, agar tersebar syariat yang benar ini dengan mahabbah kasih sayang.

Wallahu a'lam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan