1.
Soalan : Apakah “Alam
Barzakh”?
Jawapan :
“Alam
Barzakh” ialah pemisah. Alam Barzakh
merupakan sebuah alam yang mula-mula di tempuh antara alam-alam Akhirat, dan
dinamakan juga sebagai “Alam Kubur”. Alam Kubur merupakan alam yang dilalui oleh orang yang telah mati dan akan berpanjangan
hingga hari kiamat.
Allah SWt berfirman dalam surah al-Mukmin, ayat 46 :
Ertinya : Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut- pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat- beratnya!"
Ada yang
diseksa dan ada yang dilepaskan dari seksaan kubur. Ada yang disoal oleh
Mungkar dan Nangkir dan ada yang tidak. Ada yang dibuka pintu neraka dan ruhnya
diseksa. Ada yang dibuka pintu syurga dan ruhnya diberi nikmat. Ada yang
menghadapi fitnah kubur (Dihimpit).
Imam Mujahid
berkata :
" الـبـرزخ هـو الــحـاجـز
مـا بـيـن الـدنـيـا
و الآخـرة "
Ertinya : Alam Barzakh itu
tembok pemisah di antara Dunia dan Akhirat.
Alam Barzakh
juga diumpamakan suatu garisan yang menceraikan antara bayangan dan matahari,
dan garisan yang menceraikan antara air tawar dengan air masin. Allah SWT
berfirman :
مَرَجَ
البَحرَينِ يَلتَقِيَانِ (19)
Ertinya : “Dia
membiar (melepaskan) dua lautan mengalir yang keduanya (kemudian) bertemu
(antara laut air masin dengan air tawar di muka kuala) antara keduanya ada
batas (benteng) yang tidak dilampaui oleh masing-masing”.
(Surah
Ar-Rahman : 19)
Tiadalah
yang satu melampaui yang lain sehingga bercampur antara keduanya. Demikianlah ibarat Alam Barzakh itu. Alam Barzakh
merupakan alam di antara Alam Dunia dan Alam Akhirat . Disitulah manusia akan
menetap dan menjalani kehidupan yang tiada lagi amal melainkan perhitungan
kecil sementara menunggu saat dibangkitkan semula ke Alam Akhirat untuk
perhitungan yang lebih besar.
Firman Allah
SWT :
Ertinya :
(Orang kafir itu) hingga apabila seseorang mereka didatangi kematian dia
berkata : “ Wahai Tuhanku, kembalikan aku agar aku berbuat baik dalam perkara
yang telah aku lalaikan”, sesekali tidak, sesungguhnya itu sekadar perkataan
yang diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada Barzakh (kehidupan baru
yang membatasi antara Dunia dan Akhirat) sampai hari mereka dibangkitkan.
(Surah
Al-Mukminuun : 99-100)
2. Soalan :Apakah yang berlaku setelah seseorang itu meninggal dunia? Badannya ? Rohnya?
Jawapan :

Imam
al-Ghazali menyatakan : Mati itu ibarat menghentikan pergerakan semua sekali
anggota, sedangkan segala anggota itu adalah menjadi alat, manakala roh
mempergunakannya untuk kepentingannya.
Ibnu Arabi
pula menyatakan : orang-orang yang mati itu ialah orang yang berpindah,
sedangkan hidupnya masih kekal, tidak musnah, cuma yang hilang itu ialah
Pemerintah (Wali iaitu Roh) daripada kerajaannya (Kerajaan Badan), di mana
Allah SWT telah menyerahkan kepada Roh mentadbir Badan dalam masa
pemerintahannya. Dan bila telah tamat tempoh masa pemerintahannya, maka
terlepaslah kekuasaannya kepada pemerintahannya (Badan) dan kembalilah ia
kepada kehidupan yang lain yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Dalam kitab
Al-Hikam ada menyatakan :
"اِنَّكُم خُلِقْتُم لِلأَبَدِ
لَكِنَّكُم تَنْتَقِلُوْنَ مِنْ دَارٍ إلى دَارٍ حَتَّى يَسْتَقِرَّ بِكُمُ
القَرَارِ.
Ertinya :
“Sesungguhnya anda dijadikan untuk hidup kekal, akan tetapi anda pastilah
berpindah dari sebuah negeri (alam) ke sebuah negeri (alam) yang lain (menurut
perkembangan alam itu : sunnah yang ditetapkan Allah) sehingga anda ditetapkan
di negeri yang kekal (Akhirat)”.
Kesimpulannya,
bila seseorang itu meninggal dunia, maka akan bercerailah roh dan jasad. Jasad
akan mati dan kaku serta keadaannya terserahlah kepada Allah SWT samada
dihancurkan atau dipelihara olehNya sebagai kemuliaan atau penghinaan, manakala
roh pula akan hidup di alam lain iaitu alam barzakh yang tidak ada lagi
kekuasaan baginya untuk menguasai dan mentadbir jasad. Dan roh akan hidup dalam
keadaan mendapat nikmat atau azab bergantung kepada amalan kehidupannya di Alam
Dunia.
3. Soalan :Apa yang
berlaku di Alam Kubur? Dan bagaimanakah rupa kubur itu kepada orang yang
ditanam di dalamnya?
Jawapan :
Rasulullah SAW bersabda :
القَبْرُ اِمَّا رَوْضَةٌ
مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ اَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Ertinya : Kubur
itu samada taman dari taman-taman syurga atau
lubang dari
lubang-lubang neraka.
Kubur akan menjadi taman-taman syurga bagi orang yang
beriman dan menjadi lubang-lubang neraka bagi mereka yang menderhakai Allah SWT,
yang menyekutukannya dengan yang lain.
Dalam sebuah hadith riwayat daripada Imam al-Tirmizi
ada menceritakan:
“Kubur itu juga akan ditaqdirkan oleh Allah SWT
berkata-kata. Ia akan berkata : Akulah rumah dagang, akulah rumah menyendiri,
akulah rumah tanah dan akulah rumah cacing”.
Manakala apabila seseorang mukmin dikuburkan, kubur
pun berkata kepadanya :
"Marhaban wa Ahlan Wasahlan, Engkaulah
orang yang paling aku sukai, siapa yang berjalan di atasku (dipermukaan bumi)
menuju ke arahku (masuk ke dalam kubur). Hari ini akulah penguasamu dan engkau
telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang akan aku lakukan
terhadapmu”. Maka pada ketika itu juga, diluaskan kuburnya sejauh mata
memandang dan dibukakan pintu baginya menuju ke syurga.
Sementara jika yang dikuburkan itu seorang yang
derhaka atau kafir, kubur itu berkata kepadanya : "La Marhaban Wala Ahlan Wasahlan, sesungguhnya
engkaulah orang yang paling aku benci, siapa yang pernah berjalan di atasku
(dipermukaan bumi) menuju ke arahku (masuk ke dalam kubur). Hari ini akulah
penguasamu dan engkau telah kembali kepadaku. Engkau akan mengetahui apa yang
akan aku lakukan terhadapmu”. Lalu pada ketika itu juga, kedua tepi kubur
menyempit sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.
Dalam riwayat daripada Ibnu Abi al-Dunya daripada
Abdullah bin Ubaid, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Sesungguhnya seorang mayat itu ketika berada di dalam
kubur dan dia mendengar langkah kaki orang yang menghantarnya. Tidak ada yang
lebih awal bercakap dengannya daripada lubang kuburnya. Ia berkata : “betapa
kasihannya engkau wahai anak Adam! Bukankah engkau telah diperingatkan supaya
berhati-hati tentang diriku, juga tentang kesempitan, himpitan, bau
busuk,kengerian dan cacing-cacingku? Sudahkah engkau mempersiapkan diri untuk
itu? Dan apa pula yang engkau persiapkan untukku?
Lagi riwayat dari Ibnu Abi al-Dunya dan Ibnu Mandah, daripada
Umar bin Zar, dia menyatakan bahawa : “Jika seorang Mukmin memasuki lubang
kuburnya, bumi akan berseru : “Apakah dia orang yang taat atau derhaka?”.
Jika dia orang yang soleh, maka akan datang yang
berseru dari sudut kubur : “Berubahlah engkau wahai kubur kepada hijau dan
jadilah engkau penyayang terhadapnya. Dia adalah benar-benar orang baik bagi
Allah dan sebaik-baik hamba yang dikembalikan kepadamu”.
Maka berkatalah bumi : “ sekarang adalah saatnya dia
memperolehi kemuliaan”.
Diriwayatkan daripada al-Khatib dalam kitabnya
al-Tarikh, dari Yazid al-Raqasyi, beliau menceritakan : “Pernah sampai kepada
saya satu berita, bahawa apabila seseorang mayat diletakkan di dalam kuburnya,
dia akan dikelilingi oleh amalannya. Kemudian amalan-amalan itu ditaqdirkan
oleh Allah dapat bercakap, katanya : “Wahai orang yang bersendirian di dalam
kuburnya, telah terputuslah sudah engkau daripada teman-teman dan keluargamu,
lalu tidaklah ada lagi yang lebih lemah lembut terhadapmu selain kami
(amalannya)”.
Kemudian Yazid pun menangis sambil berkata : “Bahagia dan
beruntunglah bagi siapa yang temannya orang soleh, dan celaka bagi siapa yang
temannya orang jahat”.
Nabi Saw bersabda :
استغفروا لأخيكم وسلوا له التثبيت فإنه الآن
يسأل
Ertinya : Mohonlah kamu keampunan dosa bagi
saudara-saudaramu (yang telah meninggal dunia), dan mintalah dari Allah akan
keteguhan bagi si mati untuk menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir,
kerana pada waktu ini dia sedang disoal.
Kesimpulannya, riwayat-riwayat di atas telah
menjelaskan kepada kita tentang keadaan-keadaan yang akan berlalu di Alam Kubur. Persoalan malaikat Mungkar dan
Nakir, seksa dan azab bagi yang derhaka dan menyekutukan Allah, nikmat dan
kebahagian bagi mereka yang beriman kepada Allah, kesempitan dan keluasan
kubur, semuanya pasti berlaku dan termasuk dalam perkara al-Samiyyat yang wajib
diimani.
4. Soalan :Adakah mereka di Alam Barzakh mengetahui atau
menyedari apa yang berlaku di dunia seperti keluarganya?
Jawapan :
Ramai beranggapan, bahawa setelah seseorang meninggal
dunia, tidaklah akan ada apa-apa lagi melainkan hanya tinggal kenangan sahaja.
Ini sebenarnya satu kesilapan. Kita berbeza alam. Alam bagi kita orang hidup
dipanggil Alam Dunia, sementara Alam bagi orang mati dipanggil Alam Barzakh. Di
antara dua alam ini, Alam Barzakhlah yang lebih ajaib. Kita di Alam Dunia
langsung tidak mempunyai maklumat tentang penghuni Alam Barzakh, sedangkan
penghuni-penghuni Alam Barzakh, mereka itu mengetahui hal keadaan kita di Alam
Dunia, bahkan lebih mendalam lagi pengetahuan dan pendengaran mereka itu
terhadap orang hidup.
Banyak riwayat menerangkan perkara ini antaranya :
Riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik r.h katanya :
Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : “Sesungguhnya semua amalan kamu
diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kamu yang telah meninggal dunia.
Jika amal-amal itu baik, mereka pun merasai gembira, tetapi jika sebaliknya,
mereka berdoa : “Ya Allah janganlah engkau matikan mereka sehingga Engkau
berikan kepada mereka petunjuk, sebagaimana Engkau telah berikan kepada kami
petunjuk”. – Hadith Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi dalam Nawadir al-Usul
Riwayat daripada Abdul Ghafur Bin Abdul Aziz daripada
bapanya yang menerima riwayat daripada datuknya katanya: Rasulullah SAW
bersabda : “Diperlihatkan segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis kepada
Allah dan kepada Para Nabi serta ibu bapa pada hari Jumaat. Mereka senang dan
gembira dengan perbuatan-perbuatan yang baik dan menjadikan wajah-wajah mereka
tambah berseri-seri. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah dan jangan kamu
menyakiti orang-orang yang telah meninggal di antara kamu (dengan amal
perbuatan buruk kamu)”.
Dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, al-Marwazi dan Ibn
Abi al-Dunya, daripada Abi Said al-Khudri memberitakan bahawa Nabi SAW :
إِنَّ
المَيِّتَ يَعْرِفُ مَن يَغْسِلُهُ وَيَحْمِلُهُ وَيَدِيْلُهُ فِي قَبْرِهِ
Ertinya :
Sesungguhnya orang yang mati itu mengetahui orang yang memandikannya, orang
yang mengusungnya ke kubur, dan mengenal orang yang menurunkannya ke dalam
kubur.
Dalam suatu hadith riwayat daripada
Saidatina Aisyah r.ha, Rasulullah SAW bersabda :
ما
من رجل يزور قبررأخيه ويجلس عليه إلا استأنس به ورد عليه حتى يقوم
Ertinya :
Tiadalah seorang lelaki yang menziarahi kubur saudaranya dan ia duduk
disampingnya, melainkan saudaranya itu akan merasa terhibur atau beramah mesra
dengannya dan dia menjawab salamnya sehingga ia berdiri (berangkat balik).
Hadith
Riwayat daripada Abu Daud al-Tayaalisi, daripada Jaabir bin Abdullah
meriwayatkan bahawa Baginda Nabi SAW bersabda :
ان
اعمالكم تعرض على عشائركم وعلى اقربائكم في قبورهم، فإن كانوا خيرا استبشروا به،
وان كان غير ذلك، قالوا : اللهم الهمهم ان يعملوا بطاعتك
Ertinya :
Sesungguhnya amalan-amalan kamu itu akan dilaporkan kepada kerabat-kerabat kamu
yang sedang di dalam kubur. Seandainya amalan atau perbuatan kamu itu baik,
maka mereka akan bergembira dengan sebabnya, sebaliknya jika tidak demikian
maka mereka akan berdoa : “Wahai Allah, ilhamkanlah mereka agar mereka beramal
atau melakukan ketaatan kepada Engkau”.
Kesimpulannya, mereka yang telah
meninggal dan berada di Alam Barzakh mengetahui apa yang dilakukan dan dibuat
oleh ahli keluarganya yang berada di Alam Dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan