Kelebihan yang terdapat dalam bulan Zulhijjah ini disebut oleh Allah swt di dalam Al-Quran, dan Hadith-hadith Baginda Nabi Muhammad saw, dan para ulamak salaf mahupun khalaf.
1) Baginda Nabi saw bersabda :
ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله عزوجل من هذه الأيام - يعني أيام العشر- قالوا : يا رسول الله ولا جهاد في سبيل الله؟ قال : ولا جهاد في سبيل الله إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء
- رواه البخاري و أبو داود و الترمذي و ابن ماجه -
Ertinya : Tidak ada hari di mana suatu amal soleh lebih dicintai Allah melebihi amal soleh yang dilakukan di hari-hari ini (iaitu 10 hari awal dalam bulan Zulhijjah). Para Sahabat bertanya : Wahai Rasulallah! Walaupun jihad di jalan Allah? Nabi saw bersabda : Walaupun jihad di jalan Allah kecuali mereka yang keluar dengan diri dan hartanya kemudian ia tidak ada suatu pun yang kembali (ia mati syahid)
2) Firman Allah swt dalam surah al-Fajr :
والفجر (1) وليال عشر (2) - سورة الفجر
Ertinya : Demi waktu Fajr , Dan Malam yang Sepuluh.
Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa 10 malam yang disebut dalam ayat di atas itu merujuk kepada 10 malam yang awal dari bulan Zulhijjah. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair dan Mujahid.
3) Diperintahkan oleh Allah swt agar memperbanyakkan bertasbih, bertahlil, bertakbir, dan bertahmid pada hari-hari yang dimaklumi.
Firman Allah swt dalam surah al-Hajj ayat 22:
ويذكروا اسم الله في أيام معلومات على ما رزقهم من بهيمة الأنعام
Ertinya : Dan mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan (tanda syukur) di atas rezeki yang telah dikurniakan kepada mereka daripada binatang-binatang ternakan.
Sayyidina Ibnu Abas r.a berkata bahawa yang dimaksudkan hari-hari yang ditentukan dalam ayat di atas ialah 10 hari awal dari bulan Zulhijjah.
4) Hari di mana umat Islam berhimpun di padang 'Arafah melaksanakan tuntutan manasik haji.
Baginda Nabi saw bersabda :
الحج عرفة
Ertinya : Haji itu 'Arafah (wuquf di arafah)
5) Hari di mana umat Islam melaksanakan ibadah korban dengan binatang-binatang al-An'am ternakan.
Firman Allah swt dalam surah al-Kauthar ayat 2 :
فصل لربك وانحر
Ertinya : Maka Solatlah kerana Tuhanmu dan Sembelihlah
6) Hari di mana umat Islam bersedekah dengan daging binatang-binatang yang telah dibuat korban, serta menjalinkan hubungan silaturrahim.
Firman Allah swt dalam surah al-Hajj :36
... وأطعموا القانع والمعتر....
Ertinya : Dan Berikanlah makan (Daging Korban) itu kepada yang tidak meminta dan yang meminta...
Firman Allah swt dalam surah al-Hajj :28
... وأطعموا البائس والفقير...
Ertinya : Dan Berikanlah makan (Daging Korban) itu kepada yang miskin dan yang fakir.
7) Bulan Zulhijjah bulan yang terkumpul di dalamnya ibadah-ibadah utama iaitu : Solat, Puasa, Sedekah, dan Haji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan